Friday, December 18, 2009

Ma'al Hijrah 1431H!Kita di Takuk Lama?



Detik penting dalam Hijrah. “Ketika mereka dihalau orang-orang kafir, mereka berdua. Ketika mereka berdua di dalam gua. Ketika dia berkata kepada temannya ‘Jangan takut, Allah bersama kita’. Allah menurunkan ketenangan kepada mereka dan tentera yang mereka tidak melihatnya. Allah menjadikan resolusi kafir terbawah. Kalimah Allah teratas. Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”.
(At-Taubah)


~Foto : Di depan Gua Thaur, di puncak bukit Jabal Thaur. Di sini peralihan (turning point) fasa Dakwah Nabi saw dari dihina kepada keagungan, Islam di tekan kepada Kalimah Kafir terbawah, Kalimah Allah teratas dengan berjayanya Hijrah dan tertubuhnya Negara Islam di Madinah. Allahu Akbar wa liLlahil Hamd !~

Berlakunya Hijrah adalah selepas termeterinya MoU diantara Rasulullah saw mewakili Muhajirin dan 75 orang Ansar mewakili umat Islam di Madinah. Peristiwa Bai’ah Aqabah II penuh rahsia ini berlaku di kawasan dikenali hari ini dengan Masjid Bai’ah. 73 lelaki dan 2 wanita, Nusaibah binti Kaab dan Asmak binti Amru berjanji untuk berdepan dengan Kuasa-kuasa Besar Dunia, Rom dan Parsi, demi mempertahankan Rasulullah saw dan kedaulatan Islam di Madinah. Ganjaran untuk mereka adalah Syurga sahaja tanpa mendapat apa-apa dari habuan dunia. Para Ansar pula khuatir setelah mereka berhempas pulas membantu Nabi saw menang, selepas mengalahkan Quraisy, Nabi saw akan meninggalkan mereka dan pulang ke Mekah, kampung halamannya. Dengan kata lain, mereka sekadar dijadikan batu loncatan cita-cita politik Nabi saw semata-mata untuk sementara waktu. Nabi saw menjawab, “Balid Dam Al-Dam, wal Hadamul Hadam …” (Bahkan kita sama-sama luka dan binasa. Aku memerangi mereka yang memerangi kamu. Aku berdamai dengan sesiapa yang berdamai dengan kamu wahai Ansar!!”. Maknanya hidup mati Nabi saw adalah bersama Ansar. Sepuluh tahun selepas itu, pada Tahun 9H, selepas menawan Mekah, memenangi Perang Hunain dan beroleh harta rampasan yang banyak, Rasulullah saw menghadiahkannya kepada para Muallaf Mekah hingga habis segala ribuan unta, lembu dan kambing sehingga tiada satu pun yang tinggal untuk para Ansar. Dikalangan Ansar berbunyi mengatakan Nabi saw hanya beri orang kampungnya sahaja, dan takda untuk orang Madinah. Nabi saw memanggil orang Ansar dan berkhutbah bermaksud, “Tidakkah kamu dahulu sesat, hari ini Allah beri PetunjukNya?. “Benar ya Rasulullah!”, jawab mereka. “Tidakkah dulu kamu bermusuhan, hari ini kamu semua bersaudara?”. “Benar ya Rasulullah !”, jawab mereka lagi. “Tidakkah kamu suka kabilah lain membawa unta, lembu, kambing dll balik kekampung mereka, sedang kamu wahai Ansar balik ke Madinah membawa aku, rasul Allah !”. Ansar tersedar akan hakikat yang mereka tidak sedari. Nikmat membawa pulang seorang Rasul Allah, pembimbing mereka ke Akhirat dan keredhaanNya lebih besar nilainya dari membawa pulang ribuan unta, lembu dan kambing. Sekelian Ansar menangis di situ juga kerana dunia melupakan mereka hakikat dan nikmat yang lebih besar. Menangis kerana Rasulullah saw melebihkan mereka demi Akhirat mereka. “Kami redha dengan cara pembahagian yang dilakukan oleh Rasulullah saw !!”, kata orang-orang Ansar. Lebih sepuluh tahun lalu mereka dan Rasulullah saw memeterikan Bai’ah Aqabah II, hari itu kedua-dua pihak masih teguh dengan perjanjian tersebut iaitu (1) Ganjaran Syurga dan tiada habuan dunia, dan (2) Nabi saw akan terus tinggal di Madinah dan tidak menjadikan Madinah sebagai batu loncatan sementara semata-mata.


~ Foto : di puncak bukit Jabal Thaur, terletak Gua Thaur, tempat Rasulullah saw dan temannya, Abu Bakar ra. Mendapat teman sejati dalam perjuangan adalah salah satu nikmat dalam hidup.~

Begitulah keikhlasan dan kesucian hati seorang Rasul yang berjuang untuk menyebarkan dakwah Islam semata-mata. Kaum Ansar yang sentiasa setia dengan Rasulullah S.A.W sehingga Islam berjaya sampai di Madinah.Sesungguhnya kita patut menjadikan peristiwa Hijrah ini sebagai peristiwa yang cukup terkesan dalam hati sanubari kita. Bukan kita terus hanyut dan lalai dengan kemewahan dunia mengikut hawa nafsu sendiri. Rasulullah S.A.W telah berjuang habis-habisan untuk Islam. Tiada apa yang tinggal pada baginda. Segalanya dilaburkan untuk dakwah kerana Allah semata-mata.

Di samping semangat jihad yang tinggi, baginda S.A.W turut mengizinkan sahabat tercinta baginda, Abu Bakar As-Siddiq untuk berhijrah. Nabi saw meminta dia tunggu dengan sabdanya bermaksud, “Mudah-mudahan Allah mengadakan bagimu seorang teman (dalam Hijrah)”. Gembira tak terkata, Abu Bakar ra menyiapkan 2 ekor kenderaan Hijrah untuk Rasulullah saw dan dirinya sendiri. Detik bersejarah iaitu Hijrah Rasulullah saw dicipta bersama-sama dengan sahabatnya yang paling setia. Mereka juga bersama berdua di dalam Gua Thaur. Hakikat ini bukan sahaja disahkan oleh sejarah, tetapi direkodkan Allah swt hingga ke Hari Kiamat dengan firmanNya, “… Ketika kedua-dua mereka di dalam gua. Ketika dia berkata kepada temannya, ‘Jangan takut, Allah bersama kita’ “. (At-Taubah) Demikian hakikat perjuangan dan teman iaitu berdua, teman dan kita, bukan berseorang.

Betapa penting nilai seorang sahabat kepada seorang sahabatnya di saat genting seperti ini. Nilai ini ditonjolkan oleh Abu Bakar As-Siddiq terhadap Rasulullah S.A.W. Beliau tidak sedar bahawa pengorbanan beliau menyebabkan beliau dipatuk ular. Apa yang penting..."sahabatku Rasulullah S.A.W ini mesti diselamatkan dari bahaya.."

MashaALLAH.Maha Hebat Allah menjadikan manusia semulia Abu Bakar untuk melindungi kekasih-Nya, Nabi Muhammad S.A.W.Semoga kita dapat menjadikan kisah Hijrah Rasulullah S.A.W ini sebagai qudwah hasanah terbaik dalam hidup kita. Semoga amal kita diterima Allah.Salam Perjuangan! Berhijrahlah wahai sahabat! Berdakwahlah untuk ISLAM tercinta. Salam Perjuangan! Salam MAAL HIJRAH 1431 H!

Sumber: blog Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com

No comments:

Post a Comment