Friday, April 23, 2010

Kisah Seorang Nurse...

Bahagian 1- Perjuangan kita belum selesai!


~Nurse mesti sentiasa tersenyum walaupun penat~

Kisah yang berlaku pada tahun 2009, kali pertama pelajar-pelajar Nursing UIAM(batch ke-5) menjalani praktikal di HTAA selama 2 bulan setengah. Berkat kesabaran, akhirnya praktikal ini berjaya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Ini hanyalah secebis perkongsian dari seorang pelajar Nursing. Sesungguhnya bagi kami, jalan untuk menjadi seorang Profesional & Islamic Nurse yang betul-betul mantap masih jauh & panjang.Baca & hayatilah serta berfikirlah dengan mata hati. Selamat menghayati kisah ini


~Nurse berusaha yang terbaik untuk kesihatan peaskit~

Bermulanya minggu praktikal pelajar-pelajar nursing UIA tahun satu selepas bercuti selama seminggu. Tidak seperti kuliah lain, kami langsung tidak mempunyai cuti yang panjang sepanjang tempoh belajar 4 tahun kat UIA ni. Paling lama pun,seminggu. Deputy Dean Academic yang sangat menekankan ttg pengorbanan. “You have to sacrifice more than others because you serve the creation of Allah.They need you to support them, they also do not want to be ill…. so on, so forth” itulah yang terkesan dihati. Jadi selepas final exam kami dipeningkan pula dengan posting.



Memandangkan semasa posting,kami tidak disibukkan dengan assignment,kuiz, exam & sebagainya, maka tiada kedengaran walau sepatah pun istilah ‘study’ waktu ini,kalau ada pun,kami hanya buka buku teks balik untuk cek beberapa ‘procedure’ yang tidak berapa yakin untuk dilakukan kerana belum dipelajari. Alhamdulillah, Biro Dakwah & Tarbiyyah NURSS yang dianggotai oleh kebanyakan pelajar DQ telah bertindak bijak merancang untuk mengadakan halaqah sepanjang posting selama 2 minggu. Selepas kami berbincang, esoknya kumpulan halaqah diumumkan di dalam kelas dan satu mesyuarat diadakan dikalangan fasi yang dilantik. Walaupun pada mulanya,kami buntu memikirkan tentang konsep yang bagaimana perlu diwujudkan dalam halaqah ini? Bagaimana hendak membahagikan kumpulan kerana syif berbeza dan berbagai masalah yang timbul.Namun, berkat pertolongan Allah dan semangat sahabat-sahabat seperjuangan, akhirnya halaqah posting ini berjalan seperti yang dirancang. Sedikit perkongsian sepanjang terlibat menolong biro DnT(Dakwah & Tarbiyyah) untuk mengadakan halaqah ni. Sebenarnya pada awalnya, ramai yang kurang bersetuju dengan halaqah posting. Antara alasannya ; letihlah… nak buat bila? Mana sempat balik dari wad mesti semua penat… Syif kita xsama… kita buat tazkirah biasa-biasa dahlah dlm kelas,halaqah sokmo dah kan…. (Sokmo bila pun xtahu lah)

Ya Allah…bukan senang nak ajak orang wat baik ni kan? Sampai dikalangan dak2 DnT sendiri pun, tiada yang semangat nak buat. Senior-senior yang cakapnya berdegar-degar semasa mesyuarat pertama hari tu pun diam seribu bahasa, tiada sebarang tindakan walaupun posting semakin dekat. Akhirnya kami bertekad untuk buat jugak halaqah ni, kita mesti bertindak walau apa pun cabaran mendatang. Tetapi halaqah ini hanya dibuat untuk pelajar tahun satu shaja kerana kami tiada masa untuk berjumpa senior sebelum masa posting tersebut. Kami akan menganalisa dahulu sebelum halaqah ini berjalan serta kami mendapatkan maklum balas dari rakan sekelas…Antara elemen dalam halaqah:

1. Al-Qur’an(tjwid, tafsir n fadhilat srh2 pillihan)
2. Tazkirah. Fokus peranan nurse Muslim & pengalaman dlm ward.
3.Fiqh Ibadah.Fokus pada rukhsah solat & ibadah untuk pesakit semasa di dalam ward.

Alhamdulillah,halaqah ini berjalan dengan lancar. Banyak manfaat yang kami dapat.
Selepas halaqah pertama selesai, kami menyiapkan serba sedikit strategi untuk ‘approach’ pesakit supaya mereka solat. Kami menerangkan tentang kewajipan solat ke atas Muslim dalam keadaan apa sekalipun. Tolong wudhu’kan, ajar cara solat dan sebagainya. Keesokan harinya, kami bekerja pada syif petang. Bermula pukul 2 petang- 9malam. Bayangkan, 4 waktu solat yang perlu dilalui. Jadi,tanggung jawab siapakah untuk mengajak pesakit solat? Berapa besarkah dosa meninggalkan solat? Bukan orang yang tidak solat itu sahaja yang berdosa.Malah, org yang tahu mereka tidak solat tetapi tidak menyuruh & tidak mengajak,juga berdosa…MashaAllah, sangat besar tanggungjawab menjadi nurse kerana mereka yang bersama pesakit sepanjang masa & sepanjang hari.

Hari pertama kami bekerja syif petang sungguh mencabar. ‘operasi solat’ kami kurang berjaya. Tapi Alhamdulillah..ada juga pesakit kami yang nak solat lepas dengar penerangan kami..
“Aii..Nampaknya susahlah akak..macam kita dibenci je.Tanye je ‘patient’ tu nak gi mana,dia cakap nak gi toilet tapi tak pandang pun muka kita...” Mimi mengeluh.
“Ala..mane taknye..tengok je muka korang..ni mesti nk suruh aku solat ni.mestilah dia tak nak pandang..”Ezah.

Ya Allah...berilah kami kekuatan. Tanya je pesakit,macam2 alasan walaupun mereka boleh sangat nak solat.dah 'explain' panjang lebar ni..angguk2 kepala..last2 refuse jugak.siap offer nak tolong ambikkan air,nak tolong wudhu’kan....tak nak jugak. Takpelah.at least ade yang nak.Tak baik pulak kecewa sebab hati manusia kan Allah yang pegang. Cuma nak kongsilah.Antara jawapan2 dari pesakit kami ni…

“Takpelah nak,anak makcik dah solat kat rumah.Kalau sihat nanti,makcik qadha’ lah…”
“Takpe,makcik ada pampers ni.camane nk solat…”
“makcik sakit tekak lah”
“makcik ade jarum kat tgn ni..susahlah nk wudhu’.Makcik solat lah kalau sihat.xpe2..”
“Makcik ada beg najis(stoma beg ) ni.. mane boleh solat.xpelah, Allah kan Maha Pengasih..”

Ini adalah mentaliti masyarakat kita. Bila sakit, tidak wajib solat.
Untuk pengetahuan sahabat-sahabat,kesemua keadaan di atas langsung tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak solat kerana solat WAJIB ditunaikan oleh Muslim yang mencukupi syarat-syaratnya, 5 kali sehari walau dalam apa jua keadaan. Dalam satu hadith Riwayat Muslim; Nabi Muhammad S.A.W bersabda: Sesungguhnya perbezaan di antara seseorang itu dan diantara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat.

Namun, Islam sangat mudah. Islam tidak membebankan ummatnya. Dalam beribadah, Islam menganjurkan rukhsah (kemudahan) supaya tidak membebankan ummatnya yang musafir, sakit dan berada dalam keadaan mudharat. Allah berfirman:

‘Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu di dalam agama suatu kesempitan.’ {Al-Hajj:78}

‘Allah mengkehendaki kemudahan bagimu, dan Dia tidak mengkehendaki kesukaran bagimu.’ {Al-Baqarah: 185}

Agama Islam adalah agama yang mudah diamalkan oleh segenap manusia, bersesuaian dgn fitrah manusia dan universal. Umat Islam digesa untuk mengambil rukhsah yang dianjurkan oleh Islam dan dalam masa yang sama, hendaklah menjauhi sikap bermudah-mudahan dan mengikut hawa nafsu.

Baiklah,sebelum ‘approach’ pesakit untuk solat, kita hendaklah meneliti (assess) terlebih dahulu keadaan pesakit tersebut; adakah dia cukup syarat untuk solat. Antara syarat2 sah solat ialah:
1. Suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
2. suci badan, pakaian dan tempat solat.
3. menghadap kiblat dan menutup aurat.

Kami pun bergerak mengikut cubicle(petak2 dalam wad, 1 petak = 1 cubicle)kami bertugas. Kami bertanya kepada pesakit yang nampak ‘relax’ dan tiada tetamu. Setelah penerangan dibuat dan pesakit faham, pesakit yang setuju untuk solat, biasanya akan cakap; “tapi makcik tak ada telekung lah dik.” “ok,takpe, sy ada.” “Kiblat macam mana ye dik?” Tuk soalan ni, mengikut yang saya tanya pada ustaz-ustaz & bincang dengan kawan-kawan, apabila seseorang itu berupaya untuk bergerak, mencukupi syarat seperti kita, tetapi mugkin hanya mempunyai jarum di tangan( IV Drip, branula) pesakit wajib menghadap kiblat. Tetapi, kalau pesakit itu tidak boleh bergerak, kita wudhu’kan dia atas katil dan dia boleh solat tanpa mengikut kiblat,hanya mengikut arah katilnya sahaja. Kepada sahabat-sahabt yang lebih a’rif, dialu-alukan untuk berkongsi ilmu.

Selepas itu, semasa hendak wudhu’kan pesakit, berdasarkan apa yang dipelajari semasa di Kem Imam Muda kat N9 dulu, kita hanya wudhu’kan anggota wudhu’ yang wajib: muka,tangan,kepala & kaki. Minta pesakit niat semasa membasuh muka. Kalau pesakit tu tidak boleh bangun, dia boleh bersandar pada katil. Naikkan katil di bahagian kepala dan kita lap 4 anggota badan itu,dengan syarat kita ambil air dan lalukan atas kain bukan celup di dalam air yang sama. Boleh juga kalau nak guna penyembur air (yang kita guna untuk iron baju).Buat sekali sahaja, tidak perlu sampai 3kali. Selesai wudhu’, ajar pesakit solat. Sama ada dengan cara duduk atau baring. Solat cara duduk kita dah biasa. Tapi hanya untuk pesakit yang boleh bangun. Kalau pesakit tidak boleh bangun, boleh solat cara baring.

Solat Cara Baring


~Solat baring cara telentang~


~Solat baring cara mengiring~


Solat cara baring sama ada baring atas rusuk kanan. Kalau tidak mampu, baring secara terlentang.
Setiap kali berdiri(dlm solat biasa), mata buka macam biasa.
Rukuk,tutup mata separuh,
Iktidal angkat balik kelopak mata dengan niat melakukan Iktidal.
Sujud,tutup mata sepenuhya dgn niat melakukan sujud.
Duduk antara dua sujud dgn angkat kembali kepala atau buka kembali kelopak mata.
Akhir sekali,beri salam dengan menggerakkan kepala atau mata ke kanan dan ke kiri.

Begitulah sempurna dan indahnya Islam kerana memudahkan ummatnya untuk melakukan ibadah kepada Allah tanpa rasa terbeban sedikitpun. Cuma tinggal kita sahaja yang mesti mendalami Islam supaya kita faham dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Namun, untuk mengajak pesakit solat tidak semudah yang disangka sebab sudah menjadi kebiasaan, apabila sakit, tidak perlu solat. Semoga sedikit yang dikongsi ini dapat kita manfaatkan bersama. Salam juang untuk semua!


~Nurse senyum selalu~

• Sumber Rujukan: Artikel Panduan Ibadah Solat Pesakit (dnT Nurss UIAM)
• Slide Power Point Ustaz Abd al-Razzaq Mutalib Ahmad (B.A (hons) Islamic Revealed Knowledge IIUM, Diploma Da’wa, Institute Training of Iman & Preachers., Muslim World League, Mecca.)
• Al-Qur’an Terjemahan Syaamil.

sRikandi Mumarridhah~
IMC,
UIAM Kuantan Campus

Monday, April 12, 2010

Sultan Muhammad Al-Fateh & Pembukaan Konstantinopel

Nabi Muhammad bersabda,”Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yg menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yg berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.
(H.R. Ahmad bin HanbalAl-Musnad 4/335)


~Sultan Muhammad Al-Fateh pemimpin yang baik,mempunyai tentera yang baik dan rakyat yang baik~



HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan. Disiarkan semula di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.

_________________________________________________________

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Guru al-fatih berserban putih di sebelah kuda

Wahai Sultan Murad (ayahanda Sultan Muhammad)Bukan tuanku yang akan membebaskan konstantinopel tapi anak yang di dalam buaian itu(Sultan Muhammad)"
-Syeikh Syamsudin Al Wali

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican




Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.


rantai merentang teluk horn

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.


kapal merentasi gunung-laluan coklat di blakang kanan

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin



Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.


~Kota Konstantinopel ditukarkan menjadi Istanbul setelah Islam menapak di sana~

* Sahabat-sahabatku, inilah kisah seorang pejuang muda Islam yang bertekad untuk membebaskan Kota Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh. Cita-cita beliau tercapai ketika beliau berusia 22 tahun. Tarbiyyah yang bagaimana telah beliau lalui sehingga lahir mujahid berjiwa Rabbani seperti beliau.Kisah kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh, keperibadian yang beliau miliki, kebijaksanaan beliau mengatur strategi perang, kekuatan iman serta semangat beliau untuk menawan kota Konstantinopel patut dihayati oleh jiwa-jiwa muda masa kini. Tinggalan sejarah inilah membuktikan kepada kita bahawa Islam mampu menguasai seluruh dunia dengan syarat usaha dari kita sendiri untuk menyebarluaskan Islam sehingga kalimah Islam benar-benar tertegak di seluruh dunia. Semoga kita dapat menjadikan semangat Sultan Muhammad Al-Fateh ini sebagai pendorong untuk kita berusaha dengan lebih gigih menyampaikan serta memperjuangkan kalimah Allah di muka bumi ini. Wallahua'alam.

~sRikandi Mumarridhoh~

Sumber:Blog Ustaz Fauzi
satuperkongsian.wordpress.com

Yusuf Estes terima hidayah dalam satu malam


~Paderi Kristian mendapat hidayah dari Allah~

“Ramai orang bertanya kepada saya, bagaimana pengkhutbah atau paderi boleh memeluk Islam terutamanya setelah mengetahui semua perkara negatif mengenai Islam hampir setiap hari. Bagaimanapun, saya menyifatkan pengislaman ini sebagai perkara yang cukup berharga setelah menerima hidayah Allah s.w.t,” ujarnya yang merupakan paderi tentera di Penjara Awam AS.

Hidayah tidak pernah datang dengan jangkaan.. Walau sehebat mana dia membenci Islam, Namun Allah meberinya hidayah juga untuk memeluk Islam. Begitulah kebenaran Islam merangkul kehidupan seorang paderi kelahiran Amerika Syarikat (AS), Yusuf Estes hingga beliau menerima Islam sebagai pengabadian hidupnya. Bahkan keluarganya begitu taat menganut Kristian dan merupakan orang pertama membina gereja di kawasa kelahirannya Midwest.



~Perubahan Yusuf Estes perubahan penampilan & aqidah~

Ramai kawan2 pelik dan bertanya, bagaimana pengkhutbah atau paderi boleh memeluk Islam terutamanya setelah mengetahui semua perkara negatif mengenai Islam hampir setiap hari. Dia menganggap pengislaman ini sebagai perkara nikmat yang cukup berharga dan paling besar dalam hidupnya, setelah menerima hidayah Allah.

Siapa yang tidak pelik dari kecil dia terasuh dengan persekitaran Kristian.Selalu mengikut keluarga ke gereja dan dibaptiskan pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas. Sebagai remaja, minat untuk mengunjungi gereja-gereja lain dan mendalami ajaran dan kepercayaan Kristian semakin bercambah. Membesar dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat pada agama, sedikit sebanyak membuatkan Yusuf cenderung kepada genre muzik Gospel dan klasik. Akhirnya, beliau memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang berkaitan dengan muzik dan agama. Bakatnya itu membawa beliau dilantik sebagai paderi muzik di beberapa buah gereja dan kemudiannya mula mengajar keyboard pada 1960. Beliau berjaya memiliki studionya sendiri pada 1963 dengan nama Studio Muzik Estes di Laurel, Maryland. Menurut Yusuf, ayahnya bergiat aktif dengan menyokong aktiviti gereja terutama program sekolah di gereja dan ditahbiskan sebagai paderi pada 1970. Kemudian ayah dan ibu tirinya mengenali banyak paderi dan mengunjungi Oral Roberts dan membantu dalam pembinaan Prayer Tower di Tulsa. Mereka juga adalah penyokong kuat Jimmy Swaggart, Jim dan Tammy Fae Bakker, Jerry Fallwell, John Haggi termasuklah musuh ketat bagi orang Islam, Pat Robertson.Selama 30 tahun, beliau dan ayahnya bergandingan menguruskan projek perniagaan yang berasaskan hiburan dan persembahan. Beliau turut membuka stor piano dan organ dari Texas dan Oklahoma hingga ke Florida. Akui Yusuf, bisnesnya amat menguntungkan tetapi beliau tidak menemui ketenangan jiwa.

Tetapi Pada masa yang sama, dia turut berminat mengkaji agama lain termasuklah Hindu, Yahudi, Buddha, Metafizik dan kepercayaan asal orang Amerika. tetapi dia tidak pernah mengkaji Islam secara serius berbanding agama-agama tersebut

Namun pada 1991 ketika berumur 54 tahun, beliau menemui bahawa kepercayaan mengenai agama Islam terkandung di dalam kitab Injil. Baginya, ini adalah sesuatu yang amat memeranjatkan dan melampau.

Hidayah bermula pada tahun 1991, apabila beliau memulakan bisnes dengan seorang lelaki yang berasal dari Mesir. Ayah mahu dia berjumpa dengannya.Memang pelik, mengapa ayahnya menyeruh dia berjumpa dengan manusia yang memeluk agama yang mengajurkan keganasan.

Walaupun tidak mahu berjumpa tetapi ayahnya tetap memaksa beliau berjumpa dengan lelaki itu yang bernama Mohamed Abel Rehman.Bila berjumpa, andaiannya terhadap lelaki Islam itu meleset. Dia selalu bayangkan lelaki IslAm Arab yang berjanggut dan berserban. Sebaliknya dia ialah lelaki Islam yang moden, memakai kod dan bersifat peramah.

Kesempatan bertemu dengan Mohamed, lalu Yusuf selalu mengajukan beberapa soalan berkaitan agama dan kepercayaan kepada Tuhan. Mereka kemudiannya berbual panjang dan mendapati Mohamed sangat mesra dan tidak menyampuk semasa Yusuf bercakap. Oleh itu, beliau berpendapat, yang Mohamed akan menjadi penganut Kristian yang baik.

Buat pertama kalinya, beliau bersetuju dengan pandangan ayahnya yang mahu melakukan urusan bisnes dengan lelaki yang berasal dari Mesir itu dan bercadang mengajaknya untuk mengikuti trip perniagaan ke Texas.

Peluang untuk menarik Mohamed kepada agama Kristian terbuka luas apabila Mohamed ingin berpindah keluar daripada rumah yang didudukinya dan bercadang tinggal di masjid buat sementara waktu. Yusuf memohon kebenaran dari ayahnya agar Mohamed tinggal di rumahnya supaya dapat menguruskan perniagaan dengan lancar.

Kesibukan dengan perniagaan tidak menghalang Yusuf menziarah rakan-rakan paderinya yang menetap sekitar Texas termasuklah salah seorang rakannya yang dimasukkan ke hospital kerana diserang sakit jantung. Beliau membawa Mohamed melawat rakannya yang terlantar sakit itu dengan harapan dapat berkongsi pandangan mengenai agama. Tetapi rakannya tidak berminat mengenai Islam.

Bagaimanapun suatu hari, Yusuf didatangi seorang lelaki yang berkerusi roda dan merupakan teman sebilik rakannya. Melihat keadaan dan sikapnya, beliau dapat mengagak bahawa lelaki tersebut dalam kesunyian dan memerlukan seseorang untuk membantunya.

“Saya pergi kepadanya dan berkongsi cerita mengenai kisah Nabi Yunus yang ditelan ikan paus dan tenggelam di laut tetapi tiga hari kemudian, Nabi Yunus timbul semula dan kembali ke bandarnya dengan selamat. Pengajaran daripada kisah di atas ialah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

“Selepas berkongsi cerita dengannya, lelaki itu memandang saya dan memohon maaf di atas sikapnya yang kurang sopan dan pernah berhadapan dengan masalah serius beberapa tahun lalu. Kemudian dia ingin membuat pengakuan tetapi saya bukan paderi Katolik.

“Saya terperanjat apabila lelaki itu mengaku bahawa dia adalah paderi Katolik yang dikenali sebagai Father Peter Jacob. Saya memanggilnya Pete. Dia kemudiannya berkongsi kisah hidupnya dengan saya semasa menjadi mubaligh Kristian selama 12 tahun ke serata AS dan Mexico.


Apabila dia dibenarkan keluar daripada hospital, saya mengajaknya tinggal bersama kami. Pete turut menceritakan bahawa paderi Katolik turut mendalami Islam dan ada sebahagiannya memiliki Doktor Falsafah dalam bidang berkenaan,” ceritanya panjang lebar.

Sejak Pete tinggal bersama mereka, Yusuf dan keluarganya membincangkan mengenai Kristian sewaktu makan malam sebagai usaha untuk menarik Mohamed kepada agama tersebut. Yusuf juga menyoal Mohamed mengenai jumlah versi al-Quran yang diturunkan sejak 1,400 tahun lalu. Mohamed menyatakan bahawa hanya ada satu sahaja al-Quran dan tidak ada versi yang lain. Malah al-Quran adalah kitab panduan yang diturunkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.

Selepas melalui banyak perbincangan mengenai agama, Pete berminat mengikut Mohamed ke masjid semata-mata ingin melihat aktiviti di sana. Mereka pulang awal dan Pete memberitahu Yusuf, tidak ada apa yang istimewa melainkan jemaah mendirikan sembahyang di masjid dan pulang ke rumah setelah selesai. Namun, beberapa hari kemudian, Pete menyatakan hasrat yang serupa.

“Hari sudah larut malam tetapi mereka masih belum balik. Akhirnya setelah lama menunggu saya terdengar ketukan di pintu dan sebaik membukanya, saya terkejut melihat lelaki di sebelah Mohamed yang memakai jubah dan ketayap berwarna putih dan amat mengenalinya. Rupanya lelaki itu ialah Pete! Oh Tuhan, saya memang terkejut bagaimana Pete boleh tertarik kepada Islam,” ujar Yusuf tentang perubahan yang berlaku ke atas Pete.

Yusuf yang tidak berpuas hati mendapatkan isterinya untuk bertanyakan hal tersebut. Tambah mengejutkan apabila isterinya turut tertarik dengan Islam kerana di situ terletak kebenaran yang dicari-carinya sekian lama. Untuk mendapatkan kepastian, beliau mendapatkan Mohamed dan mengajaknya berbincang di luar.

“Kami keluar berjalan dan bercakap sepanjang malam hinggalah tiba waktu bagi Mohamed untuk mendirikan solat Subuh. Ketika itu, saya tahu yang kebenaran sudah tiba akhirnya dan kini adalah masanya untuk saya memainkan peranan.

“Saya pergi ke bahagian belakang rumah dan mendapatkan papan lapis dan bersujud di atasnya seperti orang Islam bersembahyang. Saya menangis dan saya kemudiannya berdoa, ‘Ya tuhanku, sekiranya engkau ada, berikanlah aku panduan.’

Apabila saya mengangkat kepala, hati saya mula terdetik sesuatu. Tiada pari-pari atau burung berterbangan di langit atau bunyi muzik tetapi, saya sedar ada sesuatu telah berubah,”
jelasnya.

Yusuf kemudiannya naik dan mandi dengan harapan membersihkan diri daripada segala dosa yang membelenggu hidup saya selama ini. Saya seolah-olah memulakan hidup baru yang berpaksikan pada kebenaran Islam.

Tanpa menunggu masa yang lama, pada pukul 11 pagi itu juga, Yusuf melafazkan dua kalimah syahadat dengan bersaksikan Pete dan Mohamed. Malah, isterinya turut mengikut jejak yang sama. Selang beberapa bulan, ayahnya juga memilih untuk memeluk agama Islam. Yusuf tidak dapat membayangkan betapa indahnya, saat-saat mereka mendirikan sembahyang berjemaah di masjid bersama para jemaah yang lain.


~Selepas memeluk Islam Yusuf Estes mendapat ketenangan hati yang dicari-cari selama ini~

Selepas memeluk Islam, beliau mengeluarkan anak-anaknya daripada sekolah Kristian kepada sekolah untuk pelajar beragama Islam. Datuknya adalah orang terakhir dalam keluarga mereka yang melafazkan dua kalimah syahadat. Baginya Islam terlalu istimewa kerana berupaya menarik paderi sepertinya Dan selepas 10 tahun, anak-anaknya juga sudah boleh menghafaz al-Quran dengan baik.

“Islam telah mengubah cara saya melihat kehidupan ini dengan lebih bermakna,” ujarnya mengenai kehidupannya selepas bergelar Muslim

*Kisah ini memberi kita pengajaran yang cukup bermakna bahawa hidayah itu sememangnya milik Allah. Terpulang kepada-Nya siapa yang berhak mendapat hidayah-Nya. Sebagai hamba-Nya kita patut bersyukur kepada Allah kerana dilahirkan dalam keadaan beriman & Islam seterusnya kita berusaha menyampaikan kalimah yang hak kepada mereka yang belum Islam.Peringatan bersama ini mudah-mudahan menjadi penguat untuk kita sama-sama berusaha untuk memantapkan ilmu aqidah kita,ilmu tentang Islam untuk disampaikan kepada orang lain.Islam is the way of life.Wallahua'alam.