Thursday, September 10, 2009

ahlan wa sahlan RAMADHAN!



Ramadan kini tiba. Hati mukmin tidak sabar lagi untuk mengambil peluang semaksima mungkin dibulan yang berkat ini demi mendapatkan bekalan iman dan meningkatkan diri. Dihujung Syaaban, Rasulullah saw berkhutbah mengingatkan para Sahabat ra tentang Ramadan. Di sini saya mengambil kesempatan mengingatkan diri saya dan kita sekelian berkenaan Ramadan dan persiapan untuk memasukkinya.

Kita memasuki bulan berkat dimana pahala dilipatkali gandakan bagi mereka yang mengharap ganjaran dan keredhaan Allah swt. Dengan ini hamba-hambaNya semakin bertaqarrub kepadaNya dan lebih berpeluang memasuki Syurga yang disediakan Allah swt. Dari Qutaibah, dari Ismail bin Jaafar dari Abi Suhail, dari ayahnya dari Abu Hurairah ra. sabda Rasulullah saw bermaksud, “Apabila datang Ramadan, dibukakan pintu-pintu Syurga” (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).



Dengan berpuasa, kita menahan diri dari makan, minum, hubungan suami isteri, menjaga lidah, pemandangan dan hati hanya semata-mata kerana Allah. Oleh itu Allah sendiri yang akan membalasnya. Sabda Rasulullah saw bermaksud, “Sesiapa yang mendirikan (solat dan ibadah) di malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh iman dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu” (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

Didalam Ramadan, kita melipatgandakan ibadah solat kita, dan lebih membiasakan diri kita mendampingi surau, masjid dan para jemaah didalamnya yang beriman. Sabda Rasulullah saw berkenaan Ramadan bermaksud, ‘Sesiapa yang mendirikan (solat Tarawih) di bulan Ramadan, dengan penuh keimanan dan mengharap ganjaran Allah, diampunkan untuknya akan kesalahan yang telah dikerjakannya” (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).



Ramadan mengajar kita erti persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Dari Ibnu Syahab, dari Urwah bin Az-Zubair, dari Abdul Rahman bin Abdul Al-Qari’ berkata: Aku keluar bersama Umar Al-Khattab ra pada suatu malam Ramadan ke masjid dan mendapati orang ramai bersolat sendiri-sendiri dan berselerakan. Ada yang bersolat sendirian. Ada yang bersolat diikuti beberapa orang. Umar ra berkata bermaksud, “Aku lihat jika dikumpulkan mereka dibawah seorang imam, itu adalah lebih baik”. Kemudian beliau melaksanakannya dan mengumpulkan orang ramai (bersolat) diimami oleh Ubay bin Kaab ra. Pada suatu malam yang berikutnya, aku pergi bersamanya ke masjid dan melihat orang ramai bersolat di belakang seorang imam mereka. Umar ra berkata, “Alangkah baiknya bid’ah ini“… (hadis sahih riwayat Al-Bukhari).

*Artikel diambil dari blog Ustaz Halim.ini jalanku.wordpress.com.

Apa Erti Islamku???

Seharian suntuk penat belajar & bekerja sampai tiada masa untuk bermuhasabah, tidak sempat untuk bertanya khabar keadaan sahabat handai, ibu ayah yang penat bekerja demi mencari sesuap nasi buat kami adik-beradik.. MashaAllah… penulis berfikir tentang bagaimana para sahabat di zaman Rasulullah S.A.W dapat menghafal beribu-ribu hadith,Talhah, Zubair. Syed Qutb yang berjaya menulis berpuluh-puluh kitab, Ibnu Sina yang dapat menguasai bidang perubatan dan diadaptasi dalam kehidupan manusia sehingga kini. Selain itu, Imam Hasan Al-Banna, tokoh dakwah Islam yang tidak asing lagi, dapat mentarbiyyah ank-anaknya sehingga menjadi ulama’ & cendikiawan Islam sedangkan jangka hayat beliau hanyalah 43 tahun sahaja. MashaAllah, betapa kerdil diri ini jika hendak dibandingkan dengan tokoh-tokoh tersebut. Soalan itu terus bermain-main di fikiran penulis… “Apakah sumbanganku terhadap keluarga,kawan dan masyarakat sepanjang hidupku 22 tahun di muka bumi ini?”