Wednesday, December 8, 2010

HIjrah Menuntut Sabar & Ikhlas

Syukur Alhamdulillah,tahun 1431 H telah berjaya kita lalui. Kini, kita telah menempuh beberapa hari di tahun 1432 H. Semoga apa yang telah kita lalui di hari-hari sebelum ini memberi manfaat dan diberkati,inshaAllah.

~Mari kita berhijrah ke arah yang lebih baik bermula di awal muharram 1432 H. Semoga kita istiqamah.ameen.~

Salam Maal Hijrah 1432 H kepada semua sahabat-sahabat & seluruh muslimin muslimat.


Semoga kita semua dapat menghayati kisah-kisah hijrah yang pernah terlakar di dalam sejarah ISLAM. Hijrah Rasulullah S.A.W memberi sejuta makna buat mu'min mu'minat.
Banyak tauladan dan pengajaran yang dapat diambil dari kisah Hijrah Rasulullah S.A.W merangkumi semua sifat-sifat mahmudah sebagai sahabat dan saudara seislam.

Tauladan sebagai sahabat sejati:
# Kisah pengorbanan Abu Bakar As-Siddiq menghalang Rasulullah S.A.W daripada dipatuk ular.

# Keberanian Saidina Ali r.a menggantikan tempat tidur Rasulullah S.A.W dan kecekalan Asma' binti Abu Bakar menghantar makanan dan bekalan untuk Rasulullah S.A.W dan Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika bersembunyi di Gua Thur.

# Penerimaan Kaum Ansar terhadap kaum Muhajirin menjadi teras dalam hidup bermasyarakat.

~Sama-samalah kita berusaha agar sentiasa di dalam redha Allah~

Alhamdulillah, di sepanjang perjalanan hidup ini, Allah telah memberi saya banyak peluang untuk merasai nikmat dan rahmat yang tidak terhitung banyaknya. Apa yang pasti, setiap yang kita lalui sama ada ia berupa nikmat ataupun ujian, ia memberi makna yang cukup besar buat insan bergelar hamba. Sebagai contoh terdekat, sebagai seorang pelajar Nursing, secara peribadi saya melalui saat-saat yang agak sukar apabila ditempatkan di wad-wad yang saya kurang minat(cth: gynae(sakit puan) & Labor room(dewan bersalin). Berbekalkan setitis ilmu dibandingkan selautan ilmu Allah, pengalaman yang tidak pernah ada dan hanya cakap-cakap 'lecturer' yang menjadi pegangan, saya merasakan sangat sukar untuk mahir dalam sesuatu 'procedure' yang dilakukan.Kadang-kadang rasa kurang sabar dengan keadaan ini ditambah dengan tempat praktikal yang jauh dari bandar Kuantan, terpaksa berulang-alik seminggu sekali dan macam-macam lagi kerenah dan 'polisi' buatan yang menekan pelajar-pelajar UIA. Sungguh menguji iman. Syukur Alhamdulillah Allah telah menemukan saya dengan beberapa insan yang sangat baik hati. Antara mereka ada di kalangan pesakit, staff nurse dan sahabat-sahabat dari kolej-kolej lain.

Nasihat dari seorang pesakit, "Itulah berkat sabar,dik." Bukan semua benda yang kita lalui ni pahit. Lepas dah diuji,Allah nak bagi kita tahu,sebenarnya ada je manusia baik kat sini,inshaAllah. Ikhlaskanlah hati adik dalam bekerja. Nilaian SABAR & IKHLAS ini unik. tak dapat dinilai dengan mata kasar. Kalau manusia tak dapat membalas sekalipun, adik jangan risau. Allah Maha Mengetahui setiap inci hati adik. Dia akan membalas setimpalnya, inshaAllah.
~Doa buat sahabat-sahabatku..~


Salam MAAL HIJRAH 1432 H.Berusaha!

sRikandi_Nurse
Kemaman,Terengganu.

Saturday, November 13, 2010

Alhamdulillah!

Alhamdulillah, peperiksaan semester 1 (2010/2011) telah pun berakhir.

Walaupun banyak subjek Nursing yang dilalui, antara subjek yang benar-benar memberi makna adalah Tahfiz 5 (juz 21-25). Setiap kali kelas tahfiz, hati terasa lain dari biasa. Hilang sekejap tekanan belajar dan 'posting'. Sesibuk mana pun minggu itu, kelas tahfiz tetap berjalan seperti biasa, jadi modal pun wajib dicari, kalau tidak, tak tasmik lah jawabnya.

~Masjid DQ menjadi saksi pahit manis sepanjang menghafaz Al-Qur'an~

Alhamdulillah...
sepanjang mencari jalan untuk menghafaz dan menjaga kalam Allah yang telah dihafaz, terlalu banyak ujian dan mehnah yang dilalui bersama sahabat-sahabat seperjuangan. Sesugguhnya Allah tidak menyediakan jalan mudah kepada kita untuk berjaya. Mereka yang ikhlas untuk menghafaz kalam Allah pasti akan diuji. Sehingga kini, walaupun pernah mengahfaz Al-Qur'an, tetapi untuk tasmik kali kedua ini menuntut pengorbanan yang sangat-sangat besar kerana keseluruhan ayat-ayat ini perlu dihafaz kembali.


Tiba-tiba segala nasihat dari ustaz ustazah DQ kembali diingati... Satu demi satu...

* Kalau kamu mahu ingat Al-Qur'an, pasti dalam hati kamu tiada yang lain selain Al-Qur'an..maksudnya dengan pasti kamu dapat rasa bila hati kamu bersih & Al-Qur'an akan senang masuk. Jika sebaliknya, kamu jangan kata kamu tak ingat Al-Quran.. Sebab sebenarnya Al-Qur'an telah melupakan kamu kerana kamu tak letak dia nombor satu dalam hati kamu.

* Selagi ada peluang untuk mengulang Qur'an, tolonglah ulang Qur'an dengan sungguh-sungguh. Semakin lama, kamu akan semakin sibuk tetapi tanggung jawab kamu dengan Qur'an tetap akan bertambah. Manfaatkan masa semasa belajar. Bila dah kerja dan berkeluarga, bila lagi masa kamu nak mengulang Qur'an?

* Ilmu Qur'an tidak akan pernah habis. Carilah, tuntutlah ia selagi kamu hidup. Ajarkanlah kepada mereka yang ingin belajar kerana itu tanggug jawab kamu.

~Syukran ustaz & ustazah DQ kerana mendidik kami~

Buat sahabat-sahabatku...Jangan sia-siakan masa yang ada. Teruskan mengulang Al-Qur'an dan tuntutlah ilmu Qur'an sebanyak-banyaknya. Semoga Allah sentiasa memberi kekuatan kepadaku dan sahabat-sahabat seperjuangan tahfiz untuk terus memegang kalam ini, menjaga dan berusaha mengamalkannya.
Rabbana yusahhil..ameen.

sRikandi_nurse
Kemaman, Terengganu.

Thursday, November 11, 2010

OSPE: Bila Takut Mengusai Diri

Assalamua'laikum warahmatullah..

~Keluarga Nursing UIAM~

Alhamdulillah 10 November 2010 menyaksikan wajah-wajah pucat lesi kawan-kawan bertukar ceria selepas masing-masing berjaya dalam OSPE (objective structured practical examination) pada semester ini. Tahniah kepada semua!

Kepada beberapa sahabat yang mengambil OSPE ulangan (remedial), semoga Allah memberi kalian kekuatan.InshaAllah kalian lebih mantap ilmu & skill.

Di sini saya ingin berkongsi secebis pengalaman bersama kawan-kawan semasa praktikal dan sebelum OSPE bermula. Walaupun kami mempunyai masa 9 hari sebelum menjelangnya OSPE, namun ketakutan yang dirasai ini sangatlah terkesan di hati. kerana apa? kerana OSPE ini benda besar bagi setiap jiwa pelajar Nurse. Tak tahulah nak cakap macam mana betapa OSPE ini sangat memberi kesan kepada saya sebagai seorang pelajar nursing. Walaupun daripada tahun 1 lagi OSPE ini ada, setiap kali 'exam' mesti kena lalui OSPE ini. Tapi sampai sekarang, dah tahun 3 pun tetap berdebar dan hidup jadi tak tentu hala bila dekat-dekat OSPE. Penangan OSPE ini sememangnya lebih hebat dari exam teori. Selepas survey yang dibuat secara rambang, dapatlah saya membuat kesimpulan bahawa kebanyakan kawan-kawan tak dapat melelapkan mata dan tidur dengan tenang pada malam sebelum OSPE bermula. Sebagai peserta dalam kumpulan yang pertama, sudah pastilah saya mengalami situasi yang lebih hebat. Kalau nak diceritakan, bermacam-macam lah peristiwa lawak & menyayat hati sebelum OSPE kami bermula. Masam manis suka duka bersama tetap menjadi kenangan abadi kita bersama.

~Doa senjata Mukmin~

Di sini, saya hanya ingin mengajak kawan-kawan berfikir sejenak.. daripada peristiwa OSPE yang saya ceritakan di atas... Adakah kita pernah terfikir, Bagaimana jika OSPE itu saya analogikan ia sebagai hisab yang menentukan kita ke syurga atau ke neraka. sebagai contoh, ia adalah titian Siratul Mustaqim yang wajib dilalui oleh setiap hamba Allah bagi menentukan nasibnya sama ada ke seyurga atau ke neraka. Bagaimanakah perasaan takut kita ketika itu? Dapatkah sahabat-sahabat bayangkan? Tak tahukan macam mana perasaan kita masa tu? Bagaimanalah keadaan kita pada ketika itu? Ahli keluarga kita pula bagaimana? Bila duduk berfikir sejenak, saya merasakan OSPE itu sebenarnya jauh lebih kecil dari apa yang akan kita hadapi nanti. Itu pun sudah cukup menggoncang hati dan jiwa kita yang menghadapinya. Bertubi-tubi soalan singgah di benak fikiran ini... cukupkah persiapan aku untuk menghadapi "hari besar" itu? disoal tentang setiap inci perbuatan kita tanpa tertinggal satu pun. Aku disoal tentang masa, tanggungjawab, dosa dan maksiat yang pernah dilakukan. Cukupkah amalan ibadahku untuk dibawa menghadap-NYA. Sesungguhnya saat itu pasti akan tiba dan kita semua pasti akan menghadapinya. Wallahua'alam.


Sesungguhnya Allah telah memberi kita peluang yang seluas-luasnya untuk beribadah & membuat kebajikan semasa di dunia ini. Semoga ujian kecil ini memberi pengajaran kepada kita untuk menyediakan diri kita menghadapi "peperiksaan" terbesar yang menentukan kita sama ada ke syurga atau ke nerakaa. Semoga menjadi peringatan kita bersama. Wallahua'alam.


sRikandi_nurse
Kemaman,Terengganu.

Wednesday, October 20, 2010

Allah Rindu Mendengarkan Rintihanmu Berpanjangan

Buat sahabat-sahabat dan adik-adik yang disayangi. Kuatkanlah hatimu menempuh kehidupan ini. Semoga ujian yang dilalui mematangkan dirimu...



Yakin pada Allah bukanlah mengharapkan terkabulnya segala harapan. Yakin pada Allah adalah meletakkan keredhaan pada ketentuan-Nya... Rasa bahagia dengan ujian walaupun perit. Di situ air mata menitis terasa bernilai buat menyiram api neraka. Indahnya tarbiyyah Allah, tersirat rahmat & hikmah. Diuji kita sebagai tanda sayangnya... Bahagianya kekasih Allah dihadiahi ujian yang amat hebat sebagai tanda kasih-Nya. Takkan dibiarkan terlena dalam kenikmatan yang melimpah tetapi dilindungi dengan ujian & cubaan yang tak berkesudahan. Duhai sahabat, panjatkan kesyukuran kerana itu tanda sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Allah Maha Tahu apa yang terbaik bagi hambaNya.


"Ya Allah, sentuhkanlah hati sahabatku ini...Saat dia jauh dariMu, peluklah hatinya... Saat dia mencintai sesiapa lebih dariMu, peliharalah imannya selalu... Jadikan dia hamba yang banyak berdoa,beristighfar & menangis di depanMu agar diberi kekuatan & kesabaran kerana setiap sesuatu adalah datang dari-Mu..."


Semoga Allah memberimu PELANGI untuk setiap ujian, SENYUMAN untuk setiap tangisan, RAHMAT untuk setiap cubaan, KEKUATAN untuk setiap dugaan & MAKBUL untuk setiap doa.
Salam perjuangan buat semua sahabat! Kuatkan hati. Allah sentiasa bersamamu. BERUSAHA!


"La Tahzan Innallaha maa'ana.."

sRikandi_Nurse
IMC, Kuantan.

Tuesday, October 19, 2010

Selamat Berjuang di medan Imtihan!



Minggu ini bermula lah "final exam" sem 1(3rd year) & semua batch Nursing UIAM Kuantan.Baru je habis berjuang di hoshas, paper exam menanti untuk dijawab. Ilmu mantap di dada,inshaAllah. semoga termakbul segala doa "lecturer" kita. Tak sabar nak tengok "product" nurse UIA yang bakal berkhidmat di medan hospital. Amin...


Salam mujahadah buat semua sahabat-sahabat Nursing seperjuangan. Masa yang berlalu terasa begitu cepat,sedar-sedar dah akhir sem... Sebelum melangkah ke semester 2, tahun 3(2010/2011), ujian ini mesti dihadapi. Kuatkan keyakinan kepada Allah. InshaAllah berjaya dengan cemerlang.Ceria-ceria selalu ye kawan-kawan. Semoga segala ilmu yang dipelajari diberkati Allah. Salam perjuangan!


sRikandi_Nurse
IMC,Kuantan.

Sunday, October 10, 2010

Sirah Muzikal 2010 menyingkap sejarah

Assalamua'alaikum warahmatullah.


~Teater Best!~

Pada 9 Oktober, Sirah Muzikal julung kali dianjurkan oleh Persatuan Belia Islam Nasional cawangan Shah Alam dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia & JAKIM.

Saya bersama seorang sahabat baik telah 'terbang' ke Putrajaya untuk tujuan yang satu dan niat yang cukup baik. Walaupun dari Kuantan, kami tetap bertekad untuk menghadiri program ini kerana maklumat yang kami dapati dari blog dan iklan sangat menarik. Tahniah kepada penganjur kerana telah mengambil inisiatif bagi memupuk minat remaja dan orang ramai untuk lebih peka dengan sejarah Islam dan mengambil iktibar dan pengajaran daripada sejarah yang pernah dilakarkan. Sesungguhnya manusia yang tidak mengambil peduli tentang sejarah ummah adalah manusia yang tidak akan berjaya.

Berdasarkan teater yang telah ditonton, saya melihat ia sebagai satu teater yang cukup menarik. Para pelakon telah menyampaikan watak mereka sebaik mungkin dan sejarah Islam bermula zaman jahiliyah sehingga kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyyah telah berjaya disampaikan sebaik mungkin.

Walaupun sejarah perlu diceritakan dengan detail,tetapi tidak semua yang perlu diberitahu dalam sesuatu cerita. Dalam teater ini terlalu banyak dialog yang menceritakan terlalu detail sesuatu peristiwa yang berlaku. Namun, ia cukup berharga bagi mereka yang telah tahu dengan mendalam tentang sejarah Islam. Ia cukup memberi manfaat diselangi sedikit ragam-ragam pelakon yang menggelikan hati penonton.




~Tentera Islam memggempur tentera Musuh. Penonton teruja~



~Kumpulan Nasyid Far-East menghiburkan hati penonton~

Teater diselangi dengan nasyid disampaikan oelh Nazry Johani, Nowseeheart & Far East.
Namun kami tidak menuggu sehingga program habis kerana terpaksa pulang ke UIA Gombak sebelum pukul 1 pagi. Semua pun risau je takut tak dapat masuk.Alhamdulillah kami selamat sampai ke mahallah pada 1.05 pagi dan Pak Guard hanya cek kad matrik.

Esoknya kami pulang kembali ke UIA Kuantan. Seronok dapat tengok teater ni dan dapat ilmu. Lepas ni kena rajin2 baca buku sejarah la. Kita mesti berusaha contohi peribadi Rasulullah, para sahabat, tabi' tabi'in dan para saintis Islam yang pernah melakar sejarah. Islam telah jatuh dan belum bangkit sehingga kini. JOM kita kembalikan kegemilangan ISLAM dengan melakar sejarah.


~Sultan Muhammad Al-Fateh telah berjaya menawan Kota Constantinople semasa berusia 22 tahun~

Buat para mujahid.. Kalian harapan ISLAM. Tekadkan dalam hatimu untuk menjadi seperti Salahuddin Al-Ayubi, Tariq bin Ziyad, Muhammad Al-Fateh!

Buat sahabat-sahabat... Ceburilah bidang apa sekalipun. Berusahalah untuk menjadi pakar di dalam bidang yang telah kita ceburi. Pesanan penaja=) Wallahua'alam.
BERUSAHA!


Srikandi_Nurse
IMC,Kuantan.

Friday, September 24, 2010

Wad Pediatrik Menuntut SABAR


~gambar hiasan~

Demam praktikal melanda kembali. Selepas raya, semua pelajar Nursing tahun 3 & 4 memulakan sesi praktikal bagi semester 1(2010/2011) di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah(hoshas). Kumpulan saya telah dipilih untuk menjalani praktikal di wad pediatrik. Wad kanak-kanak yang begitu mencabar. Pertama kali belajar di sini & kami sugguh kekok pada mulanya. Masuk saja kami terus mendengar jeritan & tangisan kanak-kanak. Apabila melihat jrannya menangis dengan hebat sekali dan dia turut ikut menangis. Begitulah seterusnya, kanak-kanak di sini berterus-terusan menangis dan menjerit meminta ibu memahami bisikan hatinya... "adik sakit mak..tolonglah...." "Dr ngan misi tu jahat..habis lebam tangan adik ni mama...."
"adik kuat lagi tak sakit pun...Lepas ni kita boleh balik la ummi.."

Sesungguhnya hati seorang ibu pasti sayu & pilu dengan kata-kata seperti ini. Itu baru saja lihat budak-budak yang sudah pandai bercakap, belum lagi melihat keadaan bayi-bayi yang penuh dengan wayar & tiub. Ada yang sedar, separuh sedar, ada yang mengalami kekejangan otot. Ada yang xberhenti menangis kerana keadaan yang tidak selesa.MashaAllah, Sugguh pilu berada di sini.Memang penyakit-penyakit yang dialami oleh mereka biasa kami temui di wad biasa. Tapi, kali ini pesakit kami ini sangat kecil. Belum cukup matang untuk mengenal erti sakit. Sungguh hebat ujian yang perlu mereka tempuhi. Sentiasa dimasukkan ubat dan sentiasa dicucuk walaupun sukar untuk menemui 'vein' mereka. Mereka dipegang bagi mengelakkan mereka mencabut tiub dan jarum di tangan mereka. Begitulah situasi yang kami saksikan di sini dan kami belajar untuk memberi khidmat sebagai nurse dengan sebaik mungkin.


~gambar hiasan~

Wad kanak-kanak Melor 2 di tingkat 8 hoshas menempatkan pesakit kanak-kanak berusia antara 1bulan-14 tahun. Wad m2 ini adalah wad 'medical'-maksudnya semua penyakit-penyakit yang berkaitan perubatan, mereka akan dirawat di sini.Antaranya-Tuberculosis(TB),Chicken Pox, sakit jantung, broncholitis(jangkitan kuman pada paru-paru) dan sebagainya. Melur 1 pula adalah wad multidisiplin-wad kanak-kanak yang didera, yang akan & telah menjalani pembedahan & masalah-masalah lain.


~gambar hiasan~

Tiada gambar yang dapat saya tunjukkan di sini kerana kami tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam wad. Minggu pertama praktikal kami di wad pediatrik ini memberi seribu erti. Walaupun pada hari terakhir praktikal di sini, kami hanya bekerja sampai petang oleh kerana sedikit masalah birokrasi yang berlaku, tapi kami tetap gembira kerana dapat belajar sesuatu dari pesakit-pesakit & staff nurse di sini.
Sesungguhnya kanak-kanak adalah anugerah Allah yang suci bersih, mereka pasti mudah mengikut serta meniru apa yang baik daripada kita. Untuk nurse, doktor & ibu bapa yang berhadapan dengan anak-anak yang sakit, jagalah mereka sepenuh hati, berharaplah hanya kepada Allah agar mereka cepat sembuh. inshaAllah, DIA yang mendatangkan penyakit, pasti ada penawarnya. Wallahualam.

Wednesday, August 11, 2010

Seronoknye Puasa!



Assalamua'alaikum warahmatullah.

"Allahumma bariklana fi shahri Ramadhan."

Ramadhan 1431 H kembali menjenguk lagi. Tibalah saat kita berusaha sedaya upaya untuk kebaikan kita di dunia sebagai bekalan menuju akhirat. Sebagai peringatan bersama, bagaimana untuk mendidik hati kita supaya sentiasa ingat mati. Syikh Ibrahim bin Adham pernah ditanya oleh seorang lelaki:"Bagaimana cara engkau mencapai darjat zuhud?" Maka beliau menjawab, "Dengan 3 hal.Pertama,aku melihat kuburan itu sunyi dan menakutkan, sedang aku tidak menemukan orang yang dapat mententeramkan hatiku di sana. Kedua, aku melihat perjalanan hidup menuju akhirat itu amat jauh, sedangkan aku tidak memiliki bekalan yang cukup. Ketiga, aku melihat Rabb yang Maha Kuasa menetapkan satu keputusan atasku, sedangkan aku tidak punya alasan menolak keputusan itu.

Begitulah Syeikh Ibrahim mendidik hati untuk mencapai darjat zuhud.Dalam sibuk melakukan ibadah, memperbanyakkan amalan di bulan mulia ini, jagalah niat kita agar tetap di jalan yang betul iaitu IKHLAS kerana Allah. Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah, kita memang susah nak ikhlas dalam apa pun yang kita lakukan, jadi dengan mendidik hati dengan mengigati MATI mungkin lebih berkesan supaya kita ingat sebesar manapun kita, amalan2 yang kita lakukan semuanya akan dihisab oleh Allah. Akhir sekali nanti kita akan dimasukkan ke lubang kubur dihadapkan kepada Allah dan tiada siapa yang dapat membantu kita ketika itu. Semoga menjadi pengajaran kita bersama.Wallahua'alam.

Jom!Ceriakan hari-hari Ramadhan ini dengan amalan-amalan yang mendekatkan kita kepada-Nya. Rebutlah PROMOSI hebat yang Allah tawarkan untuk kita yang hanya ada sekali dalam setahun, tempohnya hanya 30 hari. Cepat sebelum terlambat!


Semoga kita terus bersemangat untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini serta meningkatkan ibadah kita kepada Allah.Semoga amalan kita diterima oleh-Nya.

Salam Ramadhan Kareem buat semua sahabat serata dunia. Salam mujahadah=)

Friday, July 9, 2010

Pilihlah Dengan Pilihan Tuhan

Dipetik dari: www.iluvislam.com
Oleh: mzulhairi
Editor: cincaugoreng



Assalamualaikum wrhmt. saya amat tertarik dengan artikel ini. Ia menceritakan keadaan yang jelas apabila seseorang di dalam keadaan buntu dan tidak dapat membuat keputusan dengan tepat untuk memilih sesuatu. Sesungguhnya Allah mahu kita mengadu terus kepada-Nya,Allah mahu kita dekat denga-Nya. Apabila diuji barulah hamba-Nya tahu yang Allah sentiasa mendengar rintihan, rayuan & harapan seorang hamba yang kerdil.Kita juga hendaklah sentiasa berusaha untuk menjernihkan hati kita dan bersangka baik dengan Allah, bukan sekadar berkata di mulut, akulah muslim sejati tanpa diuji sedikit pun. Semoga bermanfaat untuk kita semua.inshaAllah

Maksud firman Allah SWT :
"...Barang siapa yang bertawakal kepada Allah tentu diadakanNya jalan keluar baginya, dan memberinya rezki dari pintu yang tidak diduga-duga olehnya. Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Tuhan akan mencukupkan keperluannya. Bahkan sesungguhNya Allah pelaksana semua peraturanNya. Dan Allah juga telah menjadikan segala-galanya serba berukuran " (At-Talaq : 2 - 3)


Maha suci Allah, Tuhan sekalian alam, Pencipta Agung Pentadbir Semesta, ucapkanlah syukur, ungkapkanlah puji, tiada ruginya merperhambakan diri kepada tuhan. Baginda junjungan, sosok agung, peribadi mulia, Muhammad Rasulullah, hiasilah hari-hari dengan selawat dan salam buat kekasih tercinta.

Keizinan dari Allah diperoleh lagi untuk saya menarikan jemari di Wadi al Qurra', Alhamdulillah. Melihat kepada kehidupan sebagai manusia, sahabat-sahabat sekalian, kepada saya sendiri terutamanya, ia berkitar tentang pelbagai perkara, dan setiap perkara itulah yang bakal mentarbiah diri untuk lebih bersedia dengan hari-hari muka. Pendidikan kehidupan ini adalah tarbiah yang tidak langsung dari Allah, adakalanya ia sangat seronok, adakalanya ia sangat memilukan, adakalanya ia amat mengelirukan sehingga membuat kita buntu.

Dalam meniti pelbagai ragam kehidupan, ada masanya ia menuntut untuk kita membuat pilihan. Saya senang hati mengatakan sememangnya hidup ini kitarannya tidak lari daripada menuntut kita untuk membuat pilihan, dengan pilihan itulah yang bakal membuat kita sedih, gembira, atau bertambah keliru. Hidup ini adalah pilihan, bagaimana kita mahu hidup, dengan suka, duka atau lainnya, yang memilihnya adalah diri sendiri. Berbicara soal pilihan, adakalanya ia hanya untuk diri sendiri, ada masanya ia perlu melibatkan yang lain, ikutlah situasi, dan pertimbangkanlah sebaiknya.

Qurra' yang dikasihi,

Segala permasalahan manusia, soal pilihan atau apa saja, jika hanya difikirkan dengan akal, ilmu dan perasaan semata tanpa meletakkan tuhan ditempatnya, maka tunggulah masanya untuk merasa kesalnya. Sebagai muslim, bagi membuat satu-satu pilihan, ia bukan sekadar bergantung kepada kebijakan, tetapi lebih utama lagi adalah panduan Allah. Saya yakin terhadap sahabat saya sekaliannya, semua pasti tahu bahawa mengharapkan pandangan Allah itulah yang utama, itulah sebabnya perkataan ISTIKHARAH tidak lekang di bibir kita.



Namun, suka untuk saya membahagikan beberapa situasi yang sering kita hadapi tatkala perkataan ISTIKHARAH masih tidak lekang dibibir :


1. Membuat istikharah dalam keadaan betul-betul mengharap, mendapat petunjuk dan mengikutinya dengan keyakinan yang penuh, merealisasikan ayat FAIZA AZAMTA, FATAWAKKAL 'ALALLAH!, setelah mendapat keyakinan teguhkan pendirian dan bertawakkallah kepada Allah. Jika istikharah, inilah yang sepatutnya dilakukan, jangan diragukan petunjuk Allah, telah dilorongkan kita terhadap sesuatu, maka ambillah, jangan biar nafsu dan perasaan menguasai.
2. Membuat istikharah dalam keadaan betul-betul mengharap, akhirnya diberi satu petunjuk, tetapi tidak sesuai dengan apa yang kita mahu, maka kita mengenepikan ia. Inilah yang bakal menimbulkan kecelakaan yang besar, memohon petunjuknya, tetapi mudah-mudah saja menolak keputusan dari Allah kerna hati tidak suka terhadap perkara yg ditunjukkan, jadi apa gunanya beristikharah, adakah ia sekadar penyedap kata, bila ditanya org, boleh lah menjawab, ya, saya sudah istikharah!
3. Membuat istikharah dalam keadaan mahu tidak mahu, hanya pelengkap syarat saja. Maka jika ini yang dilakukan, jadi apa kita sangka Petunjuk Allah sesuatu barang ciciran yang boleh diperoleh di tepian jalan? Usahlah bersusah payah jika ini keadaannya.
4. Membuat istikharah sedangkan sudah cenderung benar terhadap sesuatu, nafsu dan perasaan sudah pun mengatakan ya pada awalnya lagi, maka natijahnya nanti biasanya akan sesuailah dengan nafsu dan gelojak perasaan semata. Maksudnya disini, membuat istikharah tetapi tidak mengharap sepenuhnya pada Allah, maka keputusan yang diperoleh nanti hanyalah mengikut apa yg dimahukan nafsu dan perasaan semata.
5. Membuat istikharah dan diberikan petunjuk, cumanya hati masih ragu, maka cubalah ulangi istikharah itu agar hati benar-benar mantap, pintalah keyakinan dengan sebenar-benarnya, jangan ragu lagi selepas itu, jangan biarkan kita salah seorang yang menolak hidayah Allah!


Saya sengaja meletakkan beberapa situasi seperti di atas, ia berdasarkan pengalaman sendiri dan pegalaman sahabat yang lain. Itulah hakikatnya manusia, berbeza-beza. Tidak perlu untuk saya lanjutkan dengan mengulas lebih panjang terhadap situasi yang telah disenaraikan, semua sudah arif benar rasanya untuk menilai yang mana satu cara sebetulnya bila mahu istikharah.

Sahabat yang dikasihi,

Setelah istikharah, ramai benar yang mahu menunggu mimpi, saya ingin tegaskan bahawa petunjuk, ilham atau apa pun namanya bukan hanya datang melalui mimpi. Ada perlunya untuk kita bermusyawarah dengan mereka yang lebih arif, lebih berpengalaman, terhadap masalah yang dihadapi, lihatlah pendapat mereka secara keseluruhannya, tapislah yang terbaik dan jadikanlah ia sebagai pelengkap keyakinan, sesungguhnya petunjuk dan ilham dari Allah boleh juga datang dalam bentuk musyawarah atau perbincangan.

Kepastian dan keyakinan yang timbul di dalam hati juga adalah bentuk ilham serta petunjuk Allah. Ia akan membuatkan kita berasa yakin dalam membuat sesuatu keputusan, carilah keyakinan dan kepastian itu. Selain itu, petunjuk dan ilham dari Allah juga datang dalam bentuk keadaan serta suasana, dalam keadaan tidak disangka, dihadirkan kita dengan satu keadaan, memandu kita ke arah sesuatu, memudahkan bukan menyusahkan, maka itu jua salah satu cara Allah membantu hambaNya membuat pilihan.

Sebenarnya ramai di antara kita yg suka memohon petunjuk, istikharah dan sebagainya, namun ada suatu masalah yang timbul, kita tidak sedar hadirnya petunjuk itu akibat daripada masalah hati dan dosa. Allah telah membuka ruang yang luas untuk kita, memberi petunjuk yang jelas, tetapi hati kita sukar mentafsir, gelap, tidak mampu membaca, melihat saja petunjuk itu berlalu pergi, alangkah meruginya jika ini yang terjadi. Pohonlah jua kepada Allah untuk menjernihkan hati, agar senang dan mudah memahami. Jika sudah nampak, jangan pula biarkan, kita mesti menyahutnya.

Maksud firman Allah SWT :

"Katakanlah : Aku berlindung kepada tuhan (yang mengusai dan memelihara) manusia, raja manusia, sembahan manusia, dari kejahatan bisikan was-was pembisik (syaitan) yang biasa bersembunyi"
(An-Nas : 1 - 4)


Jika benar istikharah kita, jangan bicara soal keraguan, kerna keraguan itu datangnya dari syaitan, jika hati masih ragu, berasa tidak enak, timbul masalah masalah yang lain pula, maka ada baiknya untuk menilai kembali, kerna pasti ada sesuatu yang tidak kena. Kadang-kadang kita merasakan apa yang diputuskan itu telah benar sekali, apatah lagi setelah istikharah, cumanya rasa benar itu bukan datang dari Allah, cuma dari nafsu dan perasaan, maka akan adalah lanjutannya dengan rasa tidak kena, timbul hal-hal yang kurang sesuai berlaku, maka ini juga caranya Allah mahu mengingatkan kita sebenarnya. Janganlah menyamakan antara keputusan mainan perasaan dengan keputusan dari Allah, ia amat berbeza, yang datang dari perasaan cuma pasti akan menambah keliru, tetapi jika ia benar-benar datang dari Allah, maka ia pasti akan lancar saja dan tiada lagi rasa tidak kenanya, hati akan tenang, insyaAllah.

Maksud firman Allah SWT :

"Dan aku akan benar-benar menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka.."
(An-Nisa' : 119)

Berusaha!



Assalamua'alaikum wrhmt..buat semua sahabat. semoga kita sentiasa di dalam rahmat & kasih sayang Allah. kita sekarang telah melangkah masuk ke tahun tiga. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus berjuang di dalam bidang yang kita ceburi ini sebagai bekalan amal untuk kita ke sana kelak. Menjelang semester baru bermula, mari kita bersama-sama ikhlaskan hati kita agar dapat memberi sepenuh perhatian kepada tanggung jawab kita yang sentiasa banyak. Tidak dinafikan terkadang kita terlalai atau terlupa dengan tugas & tanggung jawab yang diamanahkan kepada kita disebabkan oleh sedikit masalah yang kita hadapi. Hanya masalah yang kecil menyebabkan kita mengabaikan tanggung jawab yang besar. Oleh itu, saya hanya ingin berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat...BANGKITLAH SETELAH REHAT SEBENTAR! Kerana tanggung jawab kita sememangnya banyak untuk dibilang.Melebihi dari masa yang ada. Walaupun kita rasa lemah semangat pada satu-satu masa disebabkan oleh sesuatu perkara yang berlaku tanpa diduga. namun, YAKINlah duhai sahabat! Allah tidak menguji hanya dengan percuma.Iman kita mesti sentiasa diuji & kita hidup untuk diuji.

Saya petik kata-kata penulis novel, Hilal Asyraf,"Yang saya tahu bukan semua inci dalam makanan itu manis.Kalau makanan itu semuanya manis, mesti ia tidak sedap. Begitu juga kalau semuanya pahit, masin,masam. Dalam makanan ada semua rasa itu sebenarnya. Ia menjadikan satu makanan itu boleh dimakan.

Begitu juga kehidupan. Suka duka itu menjadikan kehidupan. Kalau kehidupan manusia senang sepanjang masa, tanpa ada kesusahan sedikit pun, Maka dia tidak hidup dalam erti kata sebenar. begitulah sebaliknya."


~Mujahadah pahit untuk dapat syurga yang manis~

Semoga kata-kata ini memberi kekuatan untuk semua sahabat-sahabat terus berjuang, walau dalam apa jua yang kalian lakukan. Khusus untuk sahabat-sahabat Nursing, walaupun assignment ini sukar untuk disiapkan kerana melalui bermacam-macam ujian. Walaupun baru seminggu melangkah ke semester baru, kita dah dapat hampir 10 assignment. Bersabar ye semua. Semoga terus bersemangat!Teruskan usaha kalian!
Buat semua...
Semoga ujian-ujian yang kalian lalui mematangkan kalian dan mendekatkan diri kepada Allah. Teruskan berusaha mencapai cita-cita kalian sejauh yang mungkin. inshaAllah!

sRikandi_Nurse
JHC, Kuantan

Friday, June 25, 2010

"Benarkan saya pergi ayah?"




Cerita ini adalah perkongsian daripada seorang sahabat di Yahoogroups Alumni Imtiaz KB. semoga bermanfaat untuk kita semua.

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?".
"Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya.
Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya.
Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu.
Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali.
Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan.
Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan.
Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada


selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara
kamu!

TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!

Wassallam

Monday, June 21, 2010

PROMOSI:Rehlah Ta'ruf Beliawanis PEMBINA 2010



Assalamualaikum.. Sempena pembukaan semester baru kali ini, pihak BELIAWANIS PEMBINA Pahang akan mengadakan program tahunan REHLAH TAARUF BELIAWANIS PAHANG 2010 yang bakal menceriakan semester baru anda..

* Penyertaan TERBUKA KEPADA SEMUA MAHASISWI SEKITAR PAHANG.
* Pelbagai aktiviti HEBAT DAN MENARIK akan disediakan seperti :-Explorace Kau Ilhamku, Diriku untuk Dirimu, Merentas Samudera Indah & Teruskan Langkahmu dan Slot Sirah: Mari mengenal tokoh-tokoh Islam Qudwah Hasanah.
* Ayuh eratkan lagi jalinan ukhuwah antara kita..

"Ukhuwwah Terjalin, Hidup Bermakna."

Untuk menyertai perkhelahan ini, hubungi segera

NOR ASYIKIN (UIAM)-0139433625
NUR AFIQAH(KIPSAS)-0145007026

Jom kita sama-sama memeriahkan perkhelahan ini.Semoga kita beroleh manfaat!


TENTATIF

17 Julai 2010

7.30am : Pendaftaran peserta

8.00am : Ucapan alu-aluan pengerusi majlis

8.20am : Tazkirah & Bacaan doa

8.40am : Explorace Kau Ilhamku

9.30am : Aktiviti 1- Diriku Untuk Dirimu

10.00am : Rehat, minum pagi

10.15am : Tazkirah (Tokoh 1)

10.30am : Aktiviti 2 (sukaneka)

11.00am : Rehat & Minum (Tokoh 2)

11.20am : Aktiviti 3 (sukaneka)

11.40pm : Ayuh bersama PEMBINA!

12.00pm : Pembahagian Hadiah

: Sesi Perkongsian Hati ke Hati- Antara dakwah & kerjaya

12.40pm : Makan tengahari, Tazkirah (Tokoh 3)

Solat &Bersurai

sRikandiNurse

Saturday, June 19, 2010

Setia Seorang Isteri



Perkongsian pengalaman di hOSHAS, praktikal pada 12 April-11 Jun 2010

Sejak bermulanya praktikal pelajar-pelajar Nursing tahun dua d Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, ketahanan mental & fizikal semakin mencabar.Terasa bagai musafir yang merantau jauh mencari ilmu menimba pengalaman demi memantapkan diri untuk menjadi seorang Nurse yang berhemah lagi bijaksana di masa depan. Kami seramai 44 orang pelajar Nursing batch ke-5 terus berusaha untuk terus berkhidmat di sini selama lebih 2 bulan berbekalkan ilmu Nursing yang dipelajari sepanjang 2 tahun. Sepanjang minggu pertama kami bertugas di wad perubatan(medical), kerja yang dilakukan tidak jauh berbeza dari hari ke hari. Antara ilmu yang dapat kami garap daripada praktikal yang dilalui sepanjang bertugas di wad ini berupa Ilmu tentang kehidupan yang banyak kami pelajari dari pesakit, ilmu tentang akhlak mulia yang kami pelajari apabila berhadapan dengan orang atasan seperti sister, matron, doktor & pakar serta ilmu untuk merawat pesakit dengan sama ada dengan ubat-ubatan atau dengan kata-kata perangsang. Suatu kisah menarik untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat, semoga dapat menjadi iktibar untuk kita bersama. Memandangkan tidak banyak kisah yang dapat diceritakan daripada apa yang dilalui di sini, saya merasakan kisah ini boleh menjadi pengajaran buat kita bersama. inshaAllah.


~keluarga Islam bahagia idaman semua insan~


Pada pagi yang hening, seorang lelaki berusia 50-an yang telah dimasukkan ke wad kerana menghidap penyakit barah otak. Beliau sedang merenung jauh bagai memikirkan apa yang akan berlaku kepada dirinya selepas ini. Hanya matanya yang terbuka buat beberapa ketika, kemudian dia menutup kembali matanya. Separuh sedar. Apabila isterinya membisikkan sesuatu ke telinganya, dia seolah-olah mengerti dan ingin menyatakan sesuatu tetapi dia tidak dapat meluahkan kata-kata tersebut. Kadang-kadang dilihat air mata mengalir membasahi pipinya. Tetapi yang menghairankan, tiada seorang pun anak-anak mereka berada di situ. Mungkin semua anak-anak beliau bekerja di luar kawasan & sedang berusaha untuk pulang melihat bapanya yang sakit tenat itu. Setelah genap seminggu pesakit tersebut berada di wad tersebut, keadaannya semakin membimbangkan. Bacaan jantung beliau menunjukkan keadaan beliau kritikal. Sehinggalah tengahari pada hari yang sama, bacaan oksigen didalam darah(SPO2) beliau menurun secara mendadak dan ramai doktor H.O(houseman), staff nurse serta pakar yang berusaha untuk menyelamatkan nyawa pak cik tersebut. Saat seorang hamba Allah sedang bertarung dengan kesakitan ketika Malaikat Izrail menarik nyawanya, si isteri tidak berhenti membaca zikir dan ayat-yat Al-Qur’an agar Allah mempermudahkan perjalanan suaminya menghadapi sakaratul maut dan untuk mententeramkan hatinya menghadapi ujian tersebut. Namun, tidak kelihatan pun kelibat anak-anak mereka. Mungkin mereka dalam perjalanan. Innalillahi wainna ilaihi raji’un! Seorang nurse melafazkan. Sayup-sayup terdengar tangisan isterinya. Doktor pakar lantas keluar untuk menjelaskan sesuatu kepada si isteri dan kelihatan si isteri menangis teresak-esak. Dalam keadaan keseorangan berada dihospital, melihat suami meninggal di depan mata.tanpa anak-anak di sisi. Bayangkanlah, betapa perit dan pedih hati seorang isteri & ibu yang berdepan dengan keadaan itu. Kami yang melihat ia sebagai situasi yang sangat kejam & tidak patut dilakukan oleh seorang insan bergelar anak. Sepuluh orang anak sekalipun tidak akan dapat mengatasi kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu & ayah. Begitulah kata orang tua. Lalu, salah seorang dari kami bertindak sebagai ‘anak sementara’ pergi memujuk si isteri dan mengajaknya membaca Ya’sin bersama-sama. Dalam kekalutan itu, kami terus menyediakan barang-barang untuk membersihkan mayat sebelum dihantar ke bilik mayat. Prosedur ini dinamakan “last office(LO).” Peristiwa ini merupakan peristiwa terakhir yang kami lalui bersama-sama sepanjang menjalani praktikal di wad medical. Perasaan sedih bercampur kecewa apabila tiada seorang pun anak pesakit tersebut datang pada waktu itu sehinggalah mayat dibawa ke bilik jenazah dimandikan, dikafankan dan dibawa ke rumah untuk disolatkan. Semoga Allah memberi keizinan untuk mereka melihat wajah ayah mereka sebelum ayah mereka dikebumikan. Semoga mereka mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh para solihin. Semoga mereka menjadi anak yang soleh/solehah dan insaf dengan perbuatan yang tidak sepatutnya mereka lakukan terhadap ibu bapa mereka. Ini antara doa yang terbit dari hati kami.


~Ibu bapa mengharapkan doa dari anak yang soleh & solehah~

Walaupun kita tidak tahu bagaimana kesudahan kita apabila menghadapi sakaratul maut kelak, tetapi percayalah sahabat..Amalan baik yang kita lakukan di dunia ini inshaAllah akan menjadi penyelamat kita saat kita berhadapan dengan malaikat maut. Berdoalah setiap hari agar kita dapat berada di sisi ibu bapa kita tatkala mereka dijemput Allah untuk kembali. Ingatlah, secebis pengorbanan kita lakukan buat mereka takkan pernah menyamai jasa & budi mereka mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga kita menjadi seperti sekarang ini.
Semoga rohnya dicucuri rahmat..Ameen.
Pesanan: Hargailah ibu bapa kalian, Buatlah apa sahaja yang kalian suka. Selagi ibu bapa kalian redha, inshaAllah redha Allah mengiringi setiap langkah perjuangan kalian.Wallahua'alam.

sRikandi_Nurse
HOSHAs,
Temerloh, Bandar Ikan Patin.

Friday, May 7, 2010

Berkata Baik Atau Diam.

Perkongsian dari seorang sahabat di laman FB..



~Berkata Baik atau diam..kucing ni diam & comel~


Bismillahirrahmanirrahim.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:" Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam.." (HR Bukhari dan Muslim)

Sahabat-sahabat yang dicintai kerana-Nya,

Inilah mutiara yang ditinggalkan Rasulullah kepada kita, bahkan lebih bernilai daripada itu. Manakan tidak, jika diturutkan kata hati, lidah yang tidak bertulang ini akan semahunya melontarkan kata-kata walaupun yang buruk dan tidak membawa erti dan manfaat pada diri mahupun orang lain.
Selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w. yang amat menyintai ummatnya.

Bahana lisan sangat membarah di kalangan masyarakat kini. Kesukaan mereka; hiburan, gosip, artis dan macam-macam lagi perbualan remeh yang semuanya hanya menjurus kepada pembicaraan tentang dunia. Sesuailah seperti apa yang dikatakan Rasulullah kepada para sahabat yang mafhumnya bahawa suatu masa nanti umat Islam itu ramai, namun ramainya ibarat buih-buih di lautan. Puncanya kerana umat Islam ketika itu diserang penyakit wahn iaitu cintakan dunia dan takutkan mati.

Teringat juga pada satu video tentang illuminati yang bertajuk The Arrival, yang menunjukkan bahawa hiburan yang sedang diperhebat oleh Barat bukanlah dibuat saja-saja.Namun, di situ adanya usaha untuk meruntuhkan akhlak umat Islam malah menjauhkan kita daripada Al-Qur'an.Itulah ghazwul Fikri (serangan pemikiran) yang kita telah terbiasa dengar namun adakah kita menyedari samada kita telah terkena ataupun tidak.Fikir-fikirkanlah..

Ada juga mendengar kata-kata yang menyatakan bahawa Facebook yang dicipta oleh Yahudi adalah untuk mereka mengetahui dan mengesan minat serta kecenderungan Umat Islam kini melalui pembicaraan dan perbualan mereka di facebook. Andai ini benar, lihatlah pada setiap profil ahli. Pasti akan jumpa jawapannya dengan mudah.Letak saja kenyataan di 'wall' pasti meleretlah perbualan dan perbincangannya. Yang bila terbaca, merasakan ia tidak perlu untuk diperkatakan apatah lagi dipanjangkan jalan ceritanya. Di mana erti keseriusan?



~Laman FB yang sangat meluas.apa pun yang kita tulis dapat dibaca keseluruh dunia~

Ikhwati Fillah,

Sedar ataupun tidak, sesungguhnya apa sahaja yang dituturkan atau dituliskan itu melambangkan peribadi seseorang (fahamilah dan renungilah kata-kata ini dengan penuh hikmah dan keinsafan). Ayat-ayat yang disusunnya, perbualannya dengan lisan mahupun kata-katanya dalam bentuk penulisan semuanya boleh ditafsir yang memberi gambaran kepada keperibadian kita.

Sahabat,
Moganya, hari demi hari yang berlalu, menjadikan kita lebih mengenali yang haq dan bathil. Moganya,setiap batas waktu yang berlalu menjadikan kita matang dalam setiap perbuatan kita. Moganya, setiap lontaran kata-kata adanya buah-buah tazkiyyah (penyucian) dan diam kita adalah diam yang sarat dengan zikrullah. Amin.

Wallahua'lam.

-cebisan untuk renungan diri.

* Hidup memerlukan keseriusan.

Friday, April 23, 2010

Kisah Seorang Nurse...

Bahagian 1- Perjuangan kita belum selesai!


~Nurse mesti sentiasa tersenyum walaupun penat~

Kisah yang berlaku pada tahun 2009, kali pertama pelajar-pelajar Nursing UIAM(batch ke-5) menjalani praktikal di HTAA selama 2 bulan setengah. Berkat kesabaran, akhirnya praktikal ini berjaya dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Ini hanyalah secebis perkongsian dari seorang pelajar Nursing. Sesungguhnya bagi kami, jalan untuk menjadi seorang Profesional & Islamic Nurse yang betul-betul mantap masih jauh & panjang.Baca & hayatilah serta berfikirlah dengan mata hati. Selamat menghayati kisah ini


~Nurse berusaha yang terbaik untuk kesihatan peaskit~

Bermulanya minggu praktikal pelajar-pelajar nursing UIA tahun satu selepas bercuti selama seminggu. Tidak seperti kuliah lain, kami langsung tidak mempunyai cuti yang panjang sepanjang tempoh belajar 4 tahun kat UIA ni. Paling lama pun,seminggu. Deputy Dean Academic yang sangat menekankan ttg pengorbanan. “You have to sacrifice more than others because you serve the creation of Allah.They need you to support them, they also do not want to be ill…. so on, so forth” itulah yang terkesan dihati. Jadi selepas final exam kami dipeningkan pula dengan posting.



Memandangkan semasa posting,kami tidak disibukkan dengan assignment,kuiz, exam & sebagainya, maka tiada kedengaran walau sepatah pun istilah ‘study’ waktu ini,kalau ada pun,kami hanya buka buku teks balik untuk cek beberapa ‘procedure’ yang tidak berapa yakin untuk dilakukan kerana belum dipelajari. Alhamdulillah, Biro Dakwah & Tarbiyyah NURSS yang dianggotai oleh kebanyakan pelajar DQ telah bertindak bijak merancang untuk mengadakan halaqah sepanjang posting selama 2 minggu. Selepas kami berbincang, esoknya kumpulan halaqah diumumkan di dalam kelas dan satu mesyuarat diadakan dikalangan fasi yang dilantik. Walaupun pada mulanya,kami buntu memikirkan tentang konsep yang bagaimana perlu diwujudkan dalam halaqah ini? Bagaimana hendak membahagikan kumpulan kerana syif berbeza dan berbagai masalah yang timbul.Namun, berkat pertolongan Allah dan semangat sahabat-sahabat seperjuangan, akhirnya halaqah posting ini berjalan seperti yang dirancang. Sedikit perkongsian sepanjang terlibat menolong biro DnT(Dakwah & Tarbiyyah) untuk mengadakan halaqah ni. Sebenarnya pada awalnya, ramai yang kurang bersetuju dengan halaqah posting. Antara alasannya ; letihlah… nak buat bila? Mana sempat balik dari wad mesti semua penat… Syif kita xsama… kita buat tazkirah biasa-biasa dahlah dlm kelas,halaqah sokmo dah kan…. (Sokmo bila pun xtahu lah)

Ya Allah…bukan senang nak ajak orang wat baik ni kan? Sampai dikalangan dak2 DnT sendiri pun, tiada yang semangat nak buat. Senior-senior yang cakapnya berdegar-degar semasa mesyuarat pertama hari tu pun diam seribu bahasa, tiada sebarang tindakan walaupun posting semakin dekat. Akhirnya kami bertekad untuk buat jugak halaqah ni, kita mesti bertindak walau apa pun cabaran mendatang. Tetapi halaqah ini hanya dibuat untuk pelajar tahun satu shaja kerana kami tiada masa untuk berjumpa senior sebelum masa posting tersebut. Kami akan menganalisa dahulu sebelum halaqah ini berjalan serta kami mendapatkan maklum balas dari rakan sekelas…Antara elemen dalam halaqah:

1. Al-Qur’an(tjwid, tafsir n fadhilat srh2 pillihan)
2. Tazkirah. Fokus peranan nurse Muslim & pengalaman dlm ward.
3.Fiqh Ibadah.Fokus pada rukhsah solat & ibadah untuk pesakit semasa di dalam ward.

Alhamdulillah,halaqah ini berjalan dengan lancar. Banyak manfaat yang kami dapat.
Selepas halaqah pertama selesai, kami menyiapkan serba sedikit strategi untuk ‘approach’ pesakit supaya mereka solat. Kami menerangkan tentang kewajipan solat ke atas Muslim dalam keadaan apa sekalipun. Tolong wudhu’kan, ajar cara solat dan sebagainya. Keesokan harinya, kami bekerja pada syif petang. Bermula pukul 2 petang- 9malam. Bayangkan, 4 waktu solat yang perlu dilalui. Jadi,tanggung jawab siapakah untuk mengajak pesakit solat? Berapa besarkah dosa meninggalkan solat? Bukan orang yang tidak solat itu sahaja yang berdosa.Malah, org yang tahu mereka tidak solat tetapi tidak menyuruh & tidak mengajak,juga berdosa…MashaAllah, sangat besar tanggungjawab menjadi nurse kerana mereka yang bersama pesakit sepanjang masa & sepanjang hari.

Hari pertama kami bekerja syif petang sungguh mencabar. ‘operasi solat’ kami kurang berjaya. Tapi Alhamdulillah..ada juga pesakit kami yang nak solat lepas dengar penerangan kami..
“Aii..Nampaknya susahlah akak..macam kita dibenci je.Tanye je ‘patient’ tu nak gi mana,dia cakap nak gi toilet tapi tak pandang pun muka kita...” Mimi mengeluh.
“Ala..mane taknye..tengok je muka korang..ni mesti nk suruh aku solat ni.mestilah dia tak nak pandang..”Ezah.

Ya Allah...berilah kami kekuatan. Tanya je pesakit,macam2 alasan walaupun mereka boleh sangat nak solat.dah 'explain' panjang lebar ni..angguk2 kepala..last2 refuse jugak.siap offer nak tolong ambikkan air,nak tolong wudhu’kan....tak nak jugak. Takpelah.at least ade yang nak.Tak baik pulak kecewa sebab hati manusia kan Allah yang pegang. Cuma nak kongsilah.Antara jawapan2 dari pesakit kami ni…

“Takpelah nak,anak makcik dah solat kat rumah.Kalau sihat nanti,makcik qadha’ lah…”
“Takpe,makcik ada pampers ni.camane nk solat…”
“makcik sakit tekak lah”
“makcik ade jarum kat tgn ni..susahlah nk wudhu’.Makcik solat lah kalau sihat.xpe2..”
“Makcik ada beg najis(stoma beg ) ni.. mane boleh solat.xpelah, Allah kan Maha Pengasih..”

Ini adalah mentaliti masyarakat kita. Bila sakit, tidak wajib solat.
Untuk pengetahuan sahabat-sahabat,kesemua keadaan di atas langsung tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak solat kerana solat WAJIB ditunaikan oleh Muslim yang mencukupi syarat-syaratnya, 5 kali sehari walau dalam apa jua keadaan. Dalam satu hadith Riwayat Muslim; Nabi Muhammad S.A.W bersabda: Sesungguhnya perbezaan di antara seseorang itu dan diantara syirik dan kufur ialah meninggalkan solat.

Namun, Islam sangat mudah. Islam tidak membebankan ummatnya. Dalam beribadah, Islam menganjurkan rukhsah (kemudahan) supaya tidak membebankan ummatnya yang musafir, sakit dan berada dalam keadaan mudharat. Allah berfirman:

‘Dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu di dalam agama suatu kesempitan.’ {Al-Hajj:78}

‘Allah mengkehendaki kemudahan bagimu, dan Dia tidak mengkehendaki kesukaran bagimu.’ {Al-Baqarah: 185}

Agama Islam adalah agama yang mudah diamalkan oleh segenap manusia, bersesuaian dgn fitrah manusia dan universal. Umat Islam digesa untuk mengambil rukhsah yang dianjurkan oleh Islam dan dalam masa yang sama, hendaklah menjauhi sikap bermudah-mudahan dan mengikut hawa nafsu.

Baiklah,sebelum ‘approach’ pesakit untuk solat, kita hendaklah meneliti (assess) terlebih dahulu keadaan pesakit tersebut; adakah dia cukup syarat untuk solat. Antara syarat2 sah solat ialah:
1. Suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
2. suci badan, pakaian dan tempat solat.
3. menghadap kiblat dan menutup aurat.

Kami pun bergerak mengikut cubicle(petak2 dalam wad, 1 petak = 1 cubicle)kami bertugas. Kami bertanya kepada pesakit yang nampak ‘relax’ dan tiada tetamu. Setelah penerangan dibuat dan pesakit faham, pesakit yang setuju untuk solat, biasanya akan cakap; “tapi makcik tak ada telekung lah dik.” “ok,takpe, sy ada.” “Kiblat macam mana ye dik?” Tuk soalan ni, mengikut yang saya tanya pada ustaz-ustaz & bincang dengan kawan-kawan, apabila seseorang itu berupaya untuk bergerak, mencukupi syarat seperti kita, tetapi mugkin hanya mempunyai jarum di tangan( IV Drip, branula) pesakit wajib menghadap kiblat. Tetapi, kalau pesakit itu tidak boleh bergerak, kita wudhu’kan dia atas katil dan dia boleh solat tanpa mengikut kiblat,hanya mengikut arah katilnya sahaja. Kepada sahabat-sahabt yang lebih a’rif, dialu-alukan untuk berkongsi ilmu.

Selepas itu, semasa hendak wudhu’kan pesakit, berdasarkan apa yang dipelajari semasa di Kem Imam Muda kat N9 dulu, kita hanya wudhu’kan anggota wudhu’ yang wajib: muka,tangan,kepala & kaki. Minta pesakit niat semasa membasuh muka. Kalau pesakit tu tidak boleh bangun, dia boleh bersandar pada katil. Naikkan katil di bahagian kepala dan kita lap 4 anggota badan itu,dengan syarat kita ambil air dan lalukan atas kain bukan celup di dalam air yang sama. Boleh juga kalau nak guna penyembur air (yang kita guna untuk iron baju).Buat sekali sahaja, tidak perlu sampai 3kali. Selesai wudhu’, ajar pesakit solat. Sama ada dengan cara duduk atau baring. Solat cara duduk kita dah biasa. Tapi hanya untuk pesakit yang boleh bangun. Kalau pesakit tidak boleh bangun, boleh solat cara baring.

Solat Cara Baring


~Solat baring cara telentang~


~Solat baring cara mengiring~


Solat cara baring sama ada baring atas rusuk kanan. Kalau tidak mampu, baring secara terlentang.
Setiap kali berdiri(dlm solat biasa), mata buka macam biasa.
Rukuk,tutup mata separuh,
Iktidal angkat balik kelopak mata dengan niat melakukan Iktidal.
Sujud,tutup mata sepenuhya dgn niat melakukan sujud.
Duduk antara dua sujud dgn angkat kembali kepala atau buka kembali kelopak mata.
Akhir sekali,beri salam dengan menggerakkan kepala atau mata ke kanan dan ke kiri.

Begitulah sempurna dan indahnya Islam kerana memudahkan ummatnya untuk melakukan ibadah kepada Allah tanpa rasa terbeban sedikitpun. Cuma tinggal kita sahaja yang mesti mendalami Islam supaya kita faham dan dapat mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Namun, untuk mengajak pesakit solat tidak semudah yang disangka sebab sudah menjadi kebiasaan, apabila sakit, tidak perlu solat. Semoga sedikit yang dikongsi ini dapat kita manfaatkan bersama. Salam juang untuk semua!


~Nurse senyum selalu~

• Sumber Rujukan: Artikel Panduan Ibadah Solat Pesakit (dnT Nurss UIAM)
• Slide Power Point Ustaz Abd al-Razzaq Mutalib Ahmad (B.A (hons) Islamic Revealed Knowledge IIUM, Diploma Da’wa, Institute Training of Iman & Preachers., Muslim World League, Mecca.)
• Al-Qur’an Terjemahan Syaamil.

sRikandi Mumarridhah~
IMC,
UIAM Kuantan Campus

Monday, April 12, 2010

Sultan Muhammad Al-Fateh & Pembukaan Konstantinopel

Nabi Muhammad bersabda,”Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yg menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yg berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan.
(H.R. Ahmad bin HanbalAl-Musnad 4/335)


~Sultan Muhammad Al-Fateh pemimpin yang baik,mempunyai tentera yang baik dan rakyat yang baik~



HADIS RASULLAH SAW TENTANG PEMBEBASAN CONSTANTINOPLE

Sabda Rasulullah s.a.w. ketika menggali Parit Khandaq; “..Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Di bawah ini adalah satu artikel yang dikirimkan kepada saya oleh seorang rakan. Disiarkan semula di sini untuk tatapan pembaca. Ditambah beberapa keping gambar yang diambil dari Turki untuk dikongsikan.

_________________________________________________________

Umat Islam berlumba-lumba membebaskan Constantinople untuk mendapatkan penghormatan yang dijanjikan oleh Allah swt di dalam Hadis tersebut. Walau bagaimanapun, kesemua kempen yang dilancarkan menemui kegagalan. Di antaranya, 5 kempen di zaman Kerajaan Umayyah, 1 kempen di zaman Kerajaan Abbasiyah dan 2 kempen di zaman Kerajaan Usmaniyah.

Di dalam salah sebuah kempen semasa zaman Kerajaan Umayyah, seorang sahabat besar Nabi saw iaitu Abu Ayyub Al Ansary ra telah syahid dan dimakamkan di bawah dinding kubu Kota Constantinople di atas wasiatnya sendiri. Apabila ditanya kenapa beliau ingin dimakamkan di situ maka beliau menjawab, “Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang akan mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Constantinople”. Begitulah teguhnya iman seorang sahabat besar Nabi saw.

Hadis Nabi saw ini direalisasikan hampir 800 tahun kemudiannya oleh Sultan Muhammad Al Fatih, khalifah ke-7 Kerajaan Usmaniyyah dan 150,000 orang tenteranya.

Siapakah Sultan Muhammad Al Fatih? Apakah kehebatan Baginda dan tentera-tenteranya sehingga disebut “sebaik-baik raja” dan “sebaik-baik tentera” di dalam hadis tersebut.

PENGENALAN

Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 Masihi di Adrianapolis (sempadan Turki – Bulgaria). Walau bagaimanapun, sejarah hidup Baginda sebenarnya telah bermula hampir 800 tahun sebelum kelahirannya kerana telah disebut sebagai “sebaik-baik raja” di dalam Hadis tadi. Baginda juga dikenali dengan gelaran Muhammad Al Fatih kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Baginda menaiki takhta ketika berusia 19 tahun dan memerintah selama 30 tahun (1451 – 1481). Baginda merupakan seorang negarawan ulung dan panglima tentera agung yang memimpin sendiri 25 kempen peperangan. Baginda mangkat pada 3 Mei 1481 kerana sakit gout. Ada ahli sejarah berpendapat Baginda mangkat diracun.

PENDIDIKAN

Baginda menerima pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu. Di dalam bidang keagamaan, gurunya adalah Syeikh Shamsuddin Al Wali dikatakan dari keturunan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq ra. Di dalam ilmu peperangan pula, Baginda diajar tentang tektik peperangan, memanah dan menunggang kuda oleh panglima-panglima tentera.

Guru al-fatih berserban putih di sebelah kuda

Wahai Sultan Murad (ayahanda Sultan Muhammad)Bukan tuanku yang akan membebaskan konstantinopel tapi anak yang di dalam buaian itu(Sultan Muhammad)"
-Syeikh Syamsudin Al Wali

Di dalam bidang akademik pula, Baginda adalah seorang cendekiawan ulung di zamannya yang fasih bertutur dalam 7 bahasa iaitu Bahasa Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew. Di dalam bidang Ilmu Pemerintahan pula, ayahanda Baginda , Sultan Murad II, dengan tujuan mendidik, semasa pergi bersuluk ke Pulau Magnesia, telah melantik Baginda yang baru berusia 12 tahun memangku jawatan Khalifah. Dalam usia semuda ini Baginda telah matang menangani tipu helah musuh.

KEPERIBADIAN

Baginda sentiasa bersifat tawadhu’ dan rendah diri . Semasa membina Benteng Rumeli Hissari, Baginda membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulamak-ulamak dan menteri-menteri terpaksa ikut sama bekerja

Baginda seorang yang sentiasa tenang, pendiam, berani, sabar, tegas dan kuat menyimpan rahsia pemerintahan. Baginda sangat cintakan ulamak dan selalu berbincang dengan mereka tentang permasalahan negara.

PERSIAPAN AWAL MEMBEBASKAN CONSTANTINOPLE

Selama 2 tahun selepas menaiki takhta, Baginda mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahannya. Baginda juga mengkaji sebab-sebab kegagalan kempen-kempen terdahulu serta berbincang dengan panglima-panglima perangnya tentang tentang strategi yang sesuai untuk digunakan.

Baginda mengarahkan dibina peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kg sejauh 1 batu. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Constantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu. Benteng ini mengawal rapi kapal-kapal yang melintasi Selat Bosphorus. Perjanjian damai dibuat dengan pihak Wallachia, Serbia dan Hungary untuk memencilkan Constantinople apabila diserang nanti.

Baginda membawa bersama para ulamak dan pakar motivasi ke medan perang bagi membakar semangat jihad tenteranya. Sebaik sahaja menghampiri dinding kubu Kota Constantinople, Baginda mengarahkan dilaungkan Azan dan solat berjemaah. Tentera Byzantine gentar melihat 150,000 tentera Islam bersolat di belakang pemimpin mereka dengan laungan suara takbir memecah kesunyian alam.

MELANCARKAN SERANGAN KE ATAS CONSTANTINOPLE

Setelah segala persiapan lengkap diatur, Baginda menghantar utusan kepada Raja Bizantin meminta beliau menyerah. Keengganan beliau mengakibatkan kota tersebut dikepung. Pada 19 April 1453, serangan dimulakan. Kota tersebut hujani peluru meriam selama 48 hari. Setengah dinding luarnya rosak tetapi dinding tengahnya masih teguh.

Menara Bergerak

Seterusnya Baginda mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine dan memuatkan ratusan tentera. Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut setelah ianya menembusi dinding tengah kubu mereka.

Bantuan Dari Pope Vatican




Pope di Rome menghantar bantuan 5 buah armada yang dipenuhi dengan senjata dan tentera. Perairan Teluk Golden Horn direntang dengan rantai besi untuk menghalang kemaraan armada Usmaniyah. Ini menaikkan semula semangat tentera Bizantin.


rantai merentang teluk horn

Melancarkan Kapal Perang Dari Puncak Gunung

Kegembiraan mereka tidak lama. Keesokan paginya, mereka dikejutkan dengan kehadiran 72 buah kapal perang Usmaniyah di perairan Teluk Golden Horn. Ini adalah hasil kebijaksanaan Baginda mengangkut kapal-kapal ke atas gunung dan kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Tektik ini diakui sebagai antara tektik peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota.


kapal merentasi gunung-laluan coklat di blakang kanan

Kapal-kapal perang tentera Byzantin habis terbakar kerana bedilan meriam Usmaniyah. Pertahanan Byzantin menjadi semakin lemah. Baginda mengambil kesempatan pada malamnya dengan memberikan semangat kepada tenteranya serta mengingatkan mereka kepada Hadis Rasulullah saw dan bersama-sama berdoa kepada Allah swt.

Memanjat dan Melastik Dinding Kota

Keesokan paginya tentera Usmaniyah cuba memanjat dinding dalam kubu dengan tangga dan cuba merobohkannya dengan lastik besar. Tentangan sengit pihak Byzantin menyebabkan ramai yang syahid. Baginda memerintahkan tenteranya berundur dan bedilan meriam diteruskan sehingga tengahari.

Karisma Seorang Pemimpin



Pengepungan selama 53 hari tanpa sebarang tanda-tanda kejayaan telah menimbulkan rasa bosan dan menghilangkan keyakinan tentera Baginda. Pada saat yang genting ini Baginda berucap menaikkan semangat tenteranya, “Wahai tenteraku, aku bersedia untuk mati di jalan Allah. Sesiapa yang mahu syahid ikutlah aku!”.

Mendengarkan itu, Hasan Ulubate, salah seorang tentera Baginda mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ. Mereka kesemuanya gugur syahid setelah dihujani anak panah musuh. Kemudian tentera-tentera Islam menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah Allahu Akbar.

Penawanan Constantinople

Pada 29 Mei 1453, Kota Constantinople jatuh ke tangan Islam. Baginda menukar namanya kepada Islambol (Islam keseluruhan) . Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofiya. Baginda dengan tawadhuknya melumurkan tanah ke dahinya lalu melakukan sujud syukur. Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al Fatih” iaitu yang menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

SEBAIK-BAIK RAJA DAN SEBAIK-BAIK TENTERA

Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.

Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian Baginda bertanya lagi, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sultan Muhammad Al-Fatih sendiri. Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh . Inilah dia anak didikan Syeikh Shamsuddin Al Wali. Bagindalah sebaik-baik raja yang telah diisyaratkan oleh Rasulullah saw di dalam Hadisnya itu.


~Kota Konstantinopel ditukarkan menjadi Istanbul setelah Islam menapak di sana~

* Sahabat-sahabatku, inilah kisah seorang pejuang muda Islam yang bertekad untuk membebaskan Kota Konstantinopel, Sultan Muhammad Al-Fateh. Cita-cita beliau tercapai ketika beliau berusia 22 tahun. Tarbiyyah yang bagaimana telah beliau lalui sehingga lahir mujahid berjiwa Rabbani seperti beliau.Kisah kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh, keperibadian yang beliau miliki, kebijaksanaan beliau mengatur strategi perang, kekuatan iman serta semangat beliau untuk menawan kota Konstantinopel patut dihayati oleh jiwa-jiwa muda masa kini. Tinggalan sejarah inilah membuktikan kepada kita bahawa Islam mampu menguasai seluruh dunia dengan syarat usaha dari kita sendiri untuk menyebarluaskan Islam sehingga kalimah Islam benar-benar tertegak di seluruh dunia. Semoga kita dapat menjadikan semangat Sultan Muhammad Al-Fateh ini sebagai pendorong untuk kita berusaha dengan lebih gigih menyampaikan serta memperjuangkan kalimah Allah di muka bumi ini. Wallahua'alam.

~sRikandi Mumarridhoh~

Sumber:Blog Ustaz Fauzi
satuperkongsian.wordpress.com