Tuesday, September 4, 2012

Kenangan Dakwah Terindah di Hidayah


                                                              ~Salam Aidilfitri 1433 H ~

Assalamua’laikum warahmatullah. Salam Eid Mubarak 1433 H buat semua sahabat yang dikasihi. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat serta tabi’ tabi’in. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana sehingga saat ini Dia masih memberi kita nikmat dan rahmat kasih sayang-Nya yang tidak putus-putus. Alhamdulillah, Allah masih memberi saya peluang untuk menggerakkan jari-jemari ini dan memberi izin untuk saya berkongsi cerita bersama sahabat semua, inshaAllah.

                                                                    ~Pelita hari raya~

Baru-baru ini, sebaik sahaja menghabiskan praktikal di Klinik Jaya Gading, saya telah mendapat tawaran untuk bekerja sebagai seorang kerani sementara di sebuah syarikat bahan binaan yang agak terkenal di daerah ini. Namanya cukup indah di hati-Syarikat Hidayah. 

Syarikat Hidayah dimiliki oleh seorang Melayu yang juga berasal dari Kemaman. Syarikat ini telah dibuka pada 6 tahun yang lepas (kalau tak silap), dan mengusahakan bahan binaan seperti tiang, batu-batu, pasir, tiang pagar dan pelbagai bahan binaan rumah yang lain. Kesemua barang-barang ini dibuat oleh pekerja syarikat ini. Mereka dibayar gaji mengikut barang yang mereka buat. Tidak kiralah berapa lama masa yang diambil dalam sehari untuk menyiapkan barang tersebut. Asalkan ia siap sebelum esok. Barang-barang yang dijual di sini mendapat sambutan yang hebat dari kontraktor-kontraktor, pengusaha hotel dan restoran, tukang rumah kampung dan orang-orang biasa.  Boleh dikatakan setiap hari, jualan di sini agak lumayan. Begitulah serba sedikit tentang syarikat tempat kerja saya selama sebulan ini. Niat di hati adalah untuk berkongsi pengalaman dan ilmu yang saya pelajari bersama insan-insan terpilih yang Allah temukan dengan saya sepanjang sebulan saya bekerja di sini. 

                                      Beberapa pallat batu-bata yang biasa dijual di syarikat Hidayah. 
                                                                  ~Gambar hiasan~

Kata orang, pengalaman adalah guru terbaik dalam mengajar kita untuk terus berjaya dari hari ke hari. Melalui pengalaman jugalah kita akan dapat belajar untuk menjadi lebih baik dan mencapai apa yang kita inginkan dalam hidup. Sewaktu mula-mula saya mendapat tawaran untuk menjadi kerani sementara di sini, pertama sekali saya telah memasang niat dan tekad untuk bekerja dengan seikhlas mungkin dan bersungguh-sungguh. Memanglah fikir jugak pasal gaji, cuma ia bukan benda yang utama. Yang kedua, saya juga hendak kongsikan ilmu dan pengalaman yang pernah saya pelajari sepanjang di Darul Qur’an, Matrik UIA dan UIA Kuantan bersama orang yang bakal saya temui dan yang ketiga adalah berdakwah kepada pekerja dan pelanggan yang bakal saya temui di sini. Dakwah secara umum sama ada secara lisan atau perbuatan dan akhlak (dakwah bil hal).

Alhamdulillah, niat yang pertama berjaya saya laksanakan dalam tempoh sebulan di situ tetapi saya tidak dapat bertahan lama dan terpaksa berhenti atas alasan yang tak dapat dielakkan. Sayang dan berat hati juga nak tinggalkan, tapi apakan daya. Allah hanya memberi masa yang singkat untuk saya ‘berjihad’ di situ. Misi kedua dan ketiga itu juga telah saya cuba laksanakan sebaik mungkin sepanjang sebulan itu. Alhamdulillah, ada kesan baik yang ditinggalkan walaupun tidaklah begitu besar. Wallahua’lam.
                                          Timbunan batu dan pasir di tempat bahan binaan  
                                                                    ~Gambar hiasan~
                                                           
 Kalau diikutkan, sebulan adalah masa yang sangat singkat untuk kita mahir dalam sesuatu bidang pekerjaan. Setahun pun belum tentu. Jadi, memang saya belum mahir pun bekerja di situ. Banyak je benda yang saya belum betul-betul arif. Contohnya, tiang-tiang dan pagar yang sesuai dengan ukuran yang diberi. Berapa biji longkang atau kerek yang boleh di bawa dengan lori dalam satu masa. Harga barang-barang dan sebagainya. Tapi bukan itu yang saya nak bicarakan di sini. Tetapi, saya ingin ceritakan tentang apa yang telah saya perhatikan dengan mata hati sepanjang saya bekerja di sini. Jom!

Mengenali insan-insan bertuah sepanjang saya bekerja di sini telah mengajar saya tentang erti kehidupan sebagai mukmin musleh sebenar. Dari seorang buruh kasar, kerani,  pemandu lori dan kelidannya saya telah belajar. Tidak kurang juga seorang pemilik syarikat, orang-orang politik, pemilik hotel, kilang dan restoran besar serta kontraktor hebat mengajar saya. Semua mereka yang saya temui ini beraksi dengan pelbagai ragam dan telatah. Mereka mengisi hidup saya selama saya di sini.

“Jangan letakkan harapanmu kepada manusia kerana kamu mungkin terluka. Letakkan harapanmu kepada Tuhan kerana Tuhan tidak akan menghampakanmu.”                                                                                                                   
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                    -Al-Anshari-

Seperti kata hikmah di atas, setinggi harapan kita patut disandarkan kepada Dia yang Maha Agung. Baik dalam mencari rezeki atau dalam apa keadaan sekalipun, hati kita mesti disandarkan kepada-Nya. Apabila niat untuk bekerja kerana memenuhi tuntutan dan tanggung jawab itu kita laksanakan kerana Allah, kita akan sentiasa jujur dan ikhlas dalam bekerja. Kerja yang berat terasa ringan. Hati akan puas apabila orang dapat merasa manfaat dari pekerjaan yang kita lakukan itu. Apabila tiba masa untuk mendapat gaji, kita yakin duit dan rezeki itu adalah kurniaan Allah. Majikan kita hanyalah penghubung (wasilah) dalam menyampaikan rezeki itu. “Ya Allah, terima kasih atas nikmat-Mu yang berpanjangan buatku dan keluargaku. Alhamdulillah ya Allah.”  Sayu. 

           Tenaga yang banyak diperlukan untuk membancuh simen mengunakan 'mature' ini.
                                                               ~Gambar hiasan~

Bila saya selalu memerhatikan pekerja di sini membuat kerja sehari-hari, hati saya sering tersentuh.  Sukar untuk saya ungkapkan perasaan yang terbit. Sepanjang saya hidup selama suku abad ini, saya tidak pernah berpeluang melihat keadaan ini secara langsung. Mungkin pernah. Tapi, saya tidak pernah perhatikan dengan jarak yang dekat dan tidak terasa pun hendak fikir. Tapi, sepanjang saya bekerja di sini, ‘hidangan’ mata saya setiap hari adalah orang-orang yang membanting tulang dengan melakukan kerja yang berat. Mereka membancuh simen, memasukkan batu dan pasir ke dalam mature (alat untuk bancuhan simen-xpasti betul ke tak ejaannya), mengangkat simen yang telah dibancuh, memasukkan simen ke dalam acuan barang, meyembur minyak sebelum barang kering dan mengangkat barang ke atas lori. Itu sebahagiaan kerja-kerja yang mereka lakukan. Kalau susuk tubuh itu orang yang kuat lagi gagah, tak hairanlah mereka boleh bekerja sepanjang hari. Buat kerja banyak manapun, belum habis keringatnya. Tapi, apa yang saya amati ini adalah seorang tua yang tidak mampu lagi untuk membuat pekerjaan berat sebegini. Tetapi, desakan hidup memaksa dia untuk tetap melakukannya. Bayangkan!

                                         Tapak simen slab yang perlu dikeringkan dahulu.
                                                                 ~Gambar hiasan~

Satu kisah yang ingin saya kongsikan di sini adalah kisah seorang insan mulia yang saya kenali di sini. Saya namakan sebagai Pakcik M. Umurnya dalam lingkungan 50-an. Mungkin dia insan biasa yang kita temukan di mana-mana. Hanya seorang pakcik biasa di mata kita. Dia bukan pensyarah hebat yang biasa kita temukan di bilik-bilik kuliah. Jauh sekali belajar Ijazah. Dia hanyalah seorang buruh kasar yang saya temui di sini. Walaupun secara fiziknya, orang lihat sumbangannya sangatlah kecil nak dibandingkan dengan hasil keuntungan syarikat setiap hari. Mungkin tidak memberi apa-apa makna di mata kita. Tetapi jika kita berfikir dengan mata hati, kita koreksi setiap inci yang ada pada sesusuk tubuh insan mulia ini- inshaAllah ia akan memberi kesan yang cukup bermakna buat hati kita. 

Pada hari pertama saya bekerja di sini, saya telah dikenalkan dengan semua pekerja di sini termasuk beberapa pekerja dari Indonesia. Hati saya terdetik saat saya pertama kali bertemu Pakcik M ini,  “Ya Allah, tabahnya hati pak cik ni buat kerja berat macam ni. Mulianya hati dia.”   Fatwa hati saya kuat mengatakan bahawa dia insan yang baik dan murah hati. Wajahnya tidak lekang dari senyuman walaupun dalam kepenatan. Setiap kali dia tersenyum kerana mendapat gaji atau duit pinjaman dari bos, hati saya jadi sayu. Saya tidak dapat mengelak dari mengalirkan air mata. “ Ya Allah, kalau aku ada duit, nak je bagi pakcik ni. Tak nak bagi dia buat kerja berat macam ni.” Tak sanggup nak tengok setiap kali dia kunyah makanan dengan penuh kelaparan, minum dengan penuh kedahagaan. Bayangkan, dia xmakan apa-apa sepanjang hari bekerja kerana nak jimatkan duit. Bila balik rumah belum tentu boleh makan sebab isterinya pun bekerja. Saya lihat tubuh dia seperti orang yang sakit tetapi dia paksakan diri untuk bekerja. Allahu Rabbi!

                                   Bahan binaan rumah ini menggunakan ash bin dan tiang roman. 
                                                                     ~Gambar hiasan~

Dalam diam, saya memasang tekad untuk mengenali dia dan keluarganya dengan lebih dekat. Saya nak bantu dia dengan apa yang saya ada sekarang. InshaAllah bila saya dah ada gaji tetap nanti, saya nak sentiasa bantu dia. Saya tak nak tengok dia buat kerja berat macam ni lagi. Impian saya bertambah lagi hari ini. Dengan penuh yakin, saya bertekad dalam hati. Suatu hari nanti…InshaAllah=)

Menurut cerita dari Siti (bukan nama sebenar) kerani di situ, Pakcik M adalah seorang ustaz (gelaran orang kampung) kerana dia rajin ke masjid dan sering menawarkan diri untuk menjadi bilal dan mengetuai majlis-majlis tahlil di rumah-rumah sekitar kampung tersebut. Menurut Siti, pernah suatu hari, seorang pegawai kerajaan yang kaya di daerah ini hendak mengadakan majlis keraian di masjid tetapi dia melihat Pakcik M ini sering memakai baju yang sama setiap hari. Lalu, dia menghadiahkan baju batik untuk dipakai pada majlis tersebut. Pakcik M menerima dengan hati yang terbuka sambil berkata, “Terima kasih tuan. Saya doakan tuan sentiasa dilimpahi rezeki oleh Allah dan diberkati hidup.” Ya Allah, doa yang cukup indah dan ikhlas dari hatinya. Cukup bermakna buat saya. Lagilah membuak-buak perasaan saya untuk pergi sendiri ke rumah Pakcik M ini.

                                       Pakcik M nak cari rumah kecil. Kecil macam ni ke? =)
                                                                 ~Gambar hiasan~

 Oleh kerana saya sangat berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut lagi tentang kisah pakcik M ini, Siti yang sentiasa suka ‘berceramah’ itu meneruskan ceritanya. Menurutnya, 2 tahun lepas, Pakcik M telah dihalau oleh tuan rumah yang disewanya sebelum ini. Dalam masa yang singkat, tuan rumah itu menyuruh pakcik M mengosongkan rumah sewanya atas alasan anaknya ingin duduk di situ. Lalu, terkial-kiallah pakcik M ini mencari rumah sewa sebagai tempat untuk dia sekeluarga berteduh. Tak lama selepas itu, dia berjaya mendapat rumah untuk disewa tetapi harganya sangatlah mahal. Sangatlah tidak padan dengan gaji yang diperolehi setiap bulan. Walaupun rumah tersebut agak besar tetapi dia tidak mampu untuk membayar sewa yang tinggi setiap bulan. Lalu, dia pun memohon pekerjaan di syarikat ini dan dia diterima walaupun pada awalnya bos kurang yakin dengan tenaga kerja pakcik M ini. Sampailah ke hari ini, dia masih bekerja di situ. Di sebalik timbunan pasir dan batu. Di kelilingi barang-barang yang berpotensi untuk mencederakan dirinya yang sudah kurang kudrat itu. Kadang-kadang saya cukup risau bila tengok pakcik M berdiri di antara alat-alatan memproses simen yang besar itu. Bimbang takut dia tergelincir dari jambatan kecil yang dipijaknya kerana dia macam kurang stabil bila berjalan di situ.

                                   Kawasan tempat kerja yang terdedah kepada bahaya. 
                                                                   ~Gambar hiasan.~

Suatu hari, ditakdirkan Allah…saya telah terserempak dengan Pakcik M di pasar. Kebetulan pada waktu itu, semua umat Islam sedang sibuk membeli barang-barang untuk juadah hari raya. 2 hari sebelum raya. Ketika itu, saya sedang meninjau-ninjau keadaan pasar, menanti ibu sambil memerhatikan barisan orang yang sedang beratur untuk mendapatkan daging. Bermacam-macam ragamlah mereka ni. Ada yang buat-buat pandang kat tempat lain sambil memotong barisan. Mencuit hati=)

Tiba-tiba pandangan mata saya tertancap pada sesusuk tubuh yang saya kenali di celah-celah orang ramai di pasar itu. Lalu, cepat-cepat saya menyorok dengan niat untuk memerhatikan Pakcik M dari jauh. Hati saya lega kerana mendapat tempat yang strategik untuk menyorok. Sekurang-kurangnya orang-orang di situ tidak memandang pelik dengan apa yang saya tengah buat dan Pakcik M pun tak nampak saya perhatikan dia=) Kemudian, saya lihat dia masuk ke sebuah kedai runcit untuk membeli kacang dan bawang. ‘Owh, nak buat kuah nasi himpit.’ Ditangannya dia memegang seplastik daging. Dalam sekilo agaknya. ‘Nak buat rendang kot.’

                                           Pasar basah yang sangat sibuk menjelang raya.
                                                                   ~Gambar hiasan.~

Dia mengeluarkan dompetnya dan membelek-belek beberapa keping wang kertas  di dalamnya. Tak nampaklah ada berapa ringgit duit kat dalam. Tetapi ekspresi mukanya yang berkerut-kerut dan sayu itu cukup memberi gambaran kepada saya bahawa dah tak banyak duit kat dalam dompetnya itu. Dia mengambil sekeping duit lima ringgit untuk diberikan kepada penjual tersebut. Penjual tersebut menanti lagi. Tak cukup mungkin. Pakcik M pun memasukkan tangan ke poket t-shirtnya disebelah kiri. Tiada wang. Kemudian, die menyeluk poket seluarnya. Juga tiada wang. Lalu, dia membuka kembali dompetnya dan mengeluarkan sekeping wang kertas sepuluh ringgit. Dengan berat hati dia berikan kepada penjual itu. Penjual tersebut mengambil duit itu dengan cepat dan memulangkan baki kepada Pakcik M. Pakcik M berlalu pergi dengan wajah yang sungguh duka. Entah lah apa yang ada dalam fikirannya waktu itu. Saya yang memerhatikan gerak gerinya dari tadi seolah-olah tidak sanggup melihat keadaan itu. Air mata yang tumpah tak dapat dielakkan lagi.
Gambar pasar.

“Tak boleh jadi ni..” Perasaan saya masa tu macam nak pergi je hulur duit kat dia. Allah je yang tahu. Tapi tak boleh. Saya tak boleh tergesa-gesa. Nanti mesti dia pelik, “Macam mane pulak lah kerani ni dapat tahu aku tengah sesak?” Jauh di sudut hati saya, ‘Mesti pak cik tak nak ambik.’ Sebab Siti pun pernah cerita sebelum ni...

Ada penjual nasi lemak yang simpati dengan keadaan dia. Makcik tu selalu la bagi nasi lemak dan air setiap kali Pakcik M ke gerainya. Alih-alih dia dah tak pergi gerai nasi lemak makcik tu sebab malu nak ambik nasi lemak dan air percuma setiap hari. Setiap kali dia nak bayar, makcik tu tolak. Semua pelanggan nasi lemak kat situ macam dah tahu je. Mungkin orang lain tak kisah je. Niat makcik tu pun memanglah baik. Baik sangat. Tapi, Pakcik M tak nak hidup dalam keadaan orang bersimpati pada dia. Jadi, dia pun dah tak pergi dah gerai makcik tu. Kesimpulannya, saya tak boleh buat macam tu.  Saya nak dia terima saya dengan hati yang terbuka. Saya tak nak dia rasa segan. Saya nak kenal pakcik M dengan lebih dekat. Saya nak ziarah dia nanti. Itu harapan dan impian saya buat kesekian kalinya. Saya nak dia doakan saya jugak.

                                        ~Pasar yang menjual sayur-sayuran segar. Gambar hiasan.~

Ok, kita teruskan kisah ‘mengintip’ yang tak habis lagi ni. Semasa berjalan hendak ke gerai sayur di sebelah atas pasar, saya lihat Pakcik M mebuka dompetnya berkali-kali. Padahal, tempat tu tak jauh pun. Lagipun, kalau dia tengok duit tu banyak kali pun, bukan boleh berubah pun.  

“Owh, entah-entah dia berkira-kira..”   

‘berapa ringgit je aku boleh belanja beli sayur ni?, esok mesti ada lagi barang yang isteri aku nak. Mesti kena simpan jugak duit ni. Sayur ni xboleh beli banyak, nanti mahal.’ 

Dialog yang aku reka sendiri itu ditambah dengan ekspresi muka pakcik M yang risau membuat dadaku sesak lagi. Namun, dia tetap tenang dan tersenyum sambil menghulurkan duit kepada penjual sayur. Sejuk hati. Pandangan mataku tak beralih sedikit pun dari gerak geri Pakcik M. Aku nampak dia berlalu pergi setelah membeli sayur. Dalam hiruk-pikuk dan kesibukan pasar basah itu, dengan kebingitan suara penjual-penjual ayam dan sayur mempromosikan barang-barang jualan mereka, saya melihat Pakcik M memasukkan barang ke dalam raga motornya dan berlalu pergi. “ Ya Allah…”    

Sebaik pulang ke rumah, saya asyik terfikir dan teringatkan peristiwa yang saya saksikan di pasar tadi. Hati saya sentiasa terasa ingin tahu, ‘Macam manalah keadaan pakcik M sekeluarga ye?’  

Mungkin kita sebenarnya banyak je tengok orang yang hidup susah malah tak dapat makan pun setiap hari. Kita akan rasa simpati dan empati. Kita pun tolong sekadar yang kita mampu. Tapi, kali ni saya sendiri tak tahu kenapa saya nak sangat pergi ziarah pakcik M ni dan saya nak tengok macam mana keadaan dia sekeluarga. Tiba-tiba saya teringat, tadi yang pakcik M ada pinjam duit dengan bos, dia nak bayar duit rumah sewa kot. “Habis tu, tinggal berapa je dia nak belanja raya? Anak lagi..Hmm…” 

Habislah kat situ kisah ‘pegintipan’ di bulan Ramadhan. Rasa jugak bersalah buat macam tu tapi tak boleh tahan dari perasaan ingin tahu. Tak salah kot =) Alhamdulillah Syawal pun tiba dan semua umat Islam menyambut dengan penuh syukur dan bersesar hati. Semua pekerja di situ mendapat cuti selama seminggu. Tetapi, pekerja bahan binaan termasuk pakcik M dah masuk kerja pada hari raya ketiga. Hati saya melonjak. Tak sabar nak jumpa Pakcik M sebab nak cari alasan nak pergi beraya rumah dia. Bestnya. Mungkin dia akan pelik lah sikit. 

‘Kenapa budak ni beria sangat nak pegi beraya rumah aku ni?’ 

Tapi xpe, alasannya adalah “Inikan raya pakcik. Semua orang digalakkan berziarah. Betul kan?”  

                                        ~Raya kali ini yang sungguh bermakna. Alhamdulillah~

Akhirnya, pada hari terakhir saya bekerja, saya berpeluang bercakap dengan pakcik M di tempat kerja dan saya berjaya meyakinkan dia yang saya memang nak datang beraya di rumahnya. Alhamdulillah saya berjaya mencapai impian dan harapan untuk menziarahi keluarga pakcik M. 

Sebelum pulang, pakcik cakap, “Pakcik doakan kamu dimurahkan rezeki dan hidup diberkati ya.” Terharunya dengan doa yang indah itu. Ia lahir dari hati yang tulus. 

Saya menjawab, "Terima kasih pakcik. Pakcik doakan saya cepat dapat jadi ‘misi’ ye. Nanti kalau pakcik sakit, senang saya nak rawat pakcik..hehe”   

Syukur ya Allah kerana Engkau menemukan aku dengan insan semulia pakcik M. Kudoakan dia dimurahkan rezeki dan mendapat pekerjaan sesuai dengan kudratnya sekarang. 

Saya tahu, kalau kita baca kisah orang yang susah, ramai je. Ramai sangat yang hidup kais pagi, tapi cukup untuk sekali makan je. Kadang-kadang xcukup pun. Terpaksa meminta-minta. Tapi, apa yang kita boleh buat adalah, KITA BANTU MEREKA SEKADAR YANG KITA MAMPU.  

Memanglah…nak kata, kita ni kaya-raya, xdelah. Tapi, dari segi keperluan asas, pada saya kita semua dah cukup. Malah lebih dari cukup pun. Kalau kita nak tunggu sampai kita kaya baru kita nak bantu orang susah, memang takkan sampai masa tu. Bila kita kaya nanti, kita tak pasti pun Allah masih bukak hati kita untuk berfikir macam apa yang kita fikir sekarang ke tak. Nau’zubillah. 

Dengan apa yang kita ada sekarang, kita boleh gembirakan orang yang hidup susah. Kita akan merasa puas bila tengok anak-anak dia gembira dan boleh makan macam apa yang kita makan. Seronok kan?

“Tidak ada seorang pun yang pernah diberikan kehormatan atas apa yang diterimanya. Kehormatan diberikan sebagai imbalan atas apa yang diberikan.”
                                                                                                                            
                                                                                                                        –Calvin Coolidge- 
                                                                                                            Bekas Presiden Amerika Syarikat.

                         Tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.
                                                                         ~inshaAllah~

Kita memang tidak mengharapkan apa pun balasan setiap dari pemberian kita sebab kita tahu hanya Allah yang layak untuk menilainya. Sama-sama kita memohon doa agar terhindar dari perasaan riyak dan ujub atas kebaikan yang telah kita lakukan. Nau’zubillah. Setakat ini sahaja cerita yang dapat saya kongsikan bersama sahabat di sini. Semoga Allah sentiasa melimpahkan perasaan Al-Wahhab (Maha Pemberi) dengan mengaktifkan jiwa kita untuk sentiasa bersyukur dengan setiap pemberian-Nya, amin. 

“Ya Tuhanku, berilah aku ilham supaya aku tetap mensyukuri nikmat-nikmatmu yang Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua-dua orang tuaku.Tetapkan diriku bagi mengerjakan amal soleh yang engkau redhai dan masukkanlah aku dengan rahmatMu dalam kelompok hamba-hambaMu yang soleh.”                                                                                                              
                                                                                                                       Surah An-Naml: 19


Maaf saya pohonkan andai ada hati yang terluka dengan tulisan yang tak seberapa ini. Semoga bermanfaat untuk kita amalkan bersama, inshaAllah. 

                                                         JOM infak harta kerana Allah!

Selamat berusaha dan selamat beramal. Moga amal kita diterima Allah, amin. 

sRikandi_Nurse=)
16 Syawal 1433 H
Baiti Jannati.
Kemaman, Terengganu.