Monday, February 7, 2011

KEMM 2011 & Cuti yang Bermakna.

~Konvensyen penuh bersejarah.~

Assalamua’laikum warahmatullah dan salam sejahtera buat semua sahabat-sahabat. Semoga cuti yang kita baru kita lalui bermakna dan memberi manfaat kepada kita.

Alhamdulillah, sebelum cuti raya cina baru-baru ni, saya dan sahabat-sahabat telah menghadiri satu lagi program ‘high impact’ anjuran ISMA & PEMBINA Melaka iaitu Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka bertempat di Universiti Teknikal Malaysia, Durian Tunggal, Melaka. Kontinjen dari Pahang adalah seramai lebih kurang 80 orang (2 buah bas) terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi IPT sekitar Pahang yang sungguh luas ini. Tidak dapat digambarkan betapa kami semua sugguh teruja untuk menghadiri program ini kerana..

Yang pertama, nak tahu denganlebih mendalam tentang isu yang semakin hangat yang dibawa oleh ISMA ini iaitu isu Melayu Sepakat, Islam Berdaulat. Yang kedua, sebab kami tak pernah pun dapat peluang menjejakkan kaki ke Melaka selepas lawatan masa sekolah rendah dulu. Itulah kali terakhir saya melawat negeri yang penuh dengan hikayat & tinggalan sejarah ini. Bila tanya-tanya kat kawan-kawan lain, diorang pun pergi lawatan ke Melaka masa darjah 6 dulu je.

Kami bertolak ke Melaka pada 28 Januari 2011, Jumaat malam. Hari Jumaat tu, kami (pelajar-pelajar Nursing) baru saja habis peperiksaan pertengahan semester. Setelah penat dan pening, Alhamdulillah kami rasa lega sebab dapat peluang untuk menimba ilmu sebelum pulang bercuti ke kampung halaman masing-masing.

Alhamdulillah kami sampai di Masjid di Melaka pada pukul 5 pagi. Kami khidmat diri dan solat Subuh berjemaah di situ. (tak nampak apa nama masjid). Selepas itu, kami terus bertolak ke UTEM kerana program dijangkakan bermula jam 8 pagi. Maklumlah, kami datang dari jauh, mesti lah datang mendaftar awal untuk mengelakkan kesesakan orang ramai. Sepanjang perjalanan ke UTEM..seronok! Bagi saya, Melaka ni bandar yang kemas dan cantik. Kami sangat seronok menyaksikan keindahan Bandar Melaka dengan pokok-pokok yang menghijau dan bunga-bungaan menghiasi taman-taman di sepanjang perjalanan kami menuju ke UTEM. Banyak juga tempat-tempat yang boleh kita lawati seperti Taman rama-rama, Zoo Melaka dan kota-kota tinggalan sejarah di Melaka ini. Macam promosi Melaka pulak. Memang betullah, kami sangat teruja dapat sampai ke Melaka=)

Sampai di UTEM, kami mendaftar dan masuk ke dalam dewan . Kami antara yang terawal sampai di situ. Jadi sempatlah kami bergambar kenangan dan ada antara kawan-kawan yang sempat tolong siapkan booth i-Medic (persatuan pelajar-pelajar perubatan, kejururawatan, farmasi , sains bersekutu & pergigian) sebagai sayap kanan ISMA. Konvensyen bermula pagi itu walaupun agak terlambat sedikit dari waktu yang dijangkakan.

Barisan VIP konvensyen, dari kiri Sdr Zaizul Azizi Zaman, Presiden PEMBINA; Ustaz Muhammad Fauzi, Naib Presiden II ISMA; En Abdul Rahman, Timb Presiden ISMA dan Ustaz Abdullah Zaik, Presiden ISMA. Turut kelihatan dalam gambar, Ustaz Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden I ISMA dan Sdr Norzafry Norhalim, Timb Presiden PEMBINA. (Gambar ihsan MediaISMA)

Pembentangan pertama berkisar perjalanan sejarah- “Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka.” Disampaikan oleh YBhg. Prof Emeritus Datuk Dr. Yusuf bin Hashim. Kemudian majlis berhenti rehat seketika dan di selangi oleh persembahan pidato iaitu Pidato Kegemilangan Melaka yang cukup hebat oleh Saudara Badrul Sani . (Boleh rujuk youtube:http://www.youtube.com/watch?v=uKzw9skuCfI&feature=player_embedded ).

Pidato yang disampaikan sungguh terkesan di hati,macam nak bergegar dewan. Rasa macam nak bangun dan terus angkat senjata pergi berperang. Sangat menyentuh hati dan bersemangat waja! Kemudian majlis disambung dengan pembentangan kedua oleh YBhg. Dato Dr. Hassan Ahmad, mantan Pengarah DBP bertajuk “Kejatuhan Melaka suatu pelajaran penting kepada bangsa Melayu Hari ini.” Tajuk yang cukup positif dalam menafsirkan kejatuhan Melaka. Walaupun pada awalnya tajuk yang diberi oleh penganjur, Kejatuhan Melayu Suatu Tragedi kepada Jatidiri Bangsa Melayu dan Islam. Beliau membawa tajuk ini dengan bersemangat tetapi cukup lembut.

Saya cukup tertarik dengan cara penyampaian beliau apabila beliau menceritakan tentang keadaan Melayu Melaka sebelum Portugis menyerang sehingga Melaka diserang Rujukan-rujukan yang beliau gunakan serta fakta-fakta sebenar ditekankan dalam pembentangan beliau adalah rujukan yang sohih. Sangat banyak manfaat dari apa yang beliau ceritakan ini. Dapatlah disimpulkan di sini bahawa Kejatuhan Melaka bukanlah suatu tragedi kepada bangsa Melayu tetapi ia merupakan rahmat Allah. Daripada 2 tinggalan sejarah oleh pemikir Melayu-Melaka Johor iaitu Sejarah Melayu@ Sulalat al Salatin(SM) dan Hikayat Hang Tuah(HHT), kita dapat mempelajari fakta sejarah sebenar tentang kenapakah kota Melaka dapat dikalahkan oleh Portugis.

Daripada Sejarah melayu(SM), kita diingatkan prinsip keadilan kerajaan, bahawa pemerintah (raja atau sesiapapun) adalah seperti pohon atau payung yang melindungi rakyat, bukan sebagai ‘diktator.’Rakyat bukan hanya hamba pemerintah tetapi akar atau tonggak kerajaan. Pengarang HHT akhirnyamembina satu visi besar bangsa melayu iaitu Melayu tidak akan hilang di dunia selepas kota Melaka diserang oleh Portugis 500 tahun dahulu.

Sebelum berakhir, Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, beliau sangat menitik beratkan tentang kepentingan 2 karya agung yang wajib dibaca oleh orang melayu hari ini dan mesti dijadikan bacaan wajib semua pegawai kerajaan terutama para pegawai Melayu Melaka. Sejarah melayu(SM) & Hikayat Hang Tuah(HHT). Kalau Melaka tidak diserang Portugis, mungkin dua karya agung Melayu ini tidak akan wujud di dunia Melayu ini.
Alhamdulillah, kita mempunyai pemikir sejarah yang hebat seperti Prof. Dr. Yusuf Hashim, Prof. Dr. Hassan Ahmad yang gigh mengkaji, meneliti dan menyelidik fakta-fakta sejarah yang patut menjadi rujukan kita semua pada hari ini.

Sesungguhnya kita bangsa Melayu yang mendominasi Malaysia pada hari ini patut merasa bangga dengan bangsa Melayu dan berusaha untuk mempertahankan jati diri kita untuk mendaulatkan Islam di muka bumi ini. Sepanjang perbincangan bersama sahabat-sahabat, saya sedar bahawa isu yang dibawa oleh ISMA ini seperti menongkah arus kerana ia seperti bersifat mementingkan bangsa dan bukan mengangkat Islam.

~seramai 3600 peserta KEMM 2011~

Tetapi kita harus sedar, bahawa selama ini kita hanya melihat bangsa kita sebagai suatu benda yang tiada nilai. Kita sendiri merasa malu untuk bercakap bahasa bangsa kita iaitu bahasa Melayu malah lebih berbangga untuk ‘speaking’ tunggang terbalik apabila berada di dalam sesuatu majlis. Kita sendiri yang tidak menghargai apa yang ada pada bangsa kita malah kita lebih suka untuk menonjolkan isu-isu negatif yang berlaku di kalangan orang melayu seperti isu mat rempit, isu buang anak, isu jenayah dan sebagainya. Mengapa kita membiarkan orang Melayu yang sebegini ‘mempersembahkan’ cirri-ciri melayu yang tidak baik itu dan menjadi bualan orang? Mengapa tidak kita, para ustaz ustazah, para saintis, para doktor yang menonjolkan sifat muslim sebenar? Mengapa bukan golongan bijak pandai seperti kita yang mengangkat Melayu ke tempat yang tinggi? Akuilah bahawa kita mampu dan jangan malu untuk mengaku yang kita orang Melayu.

Kita sepatutnya berbangga dengan nilai Melayu yang ada pada kita. Seterusnya kita gunakan Melayu ini untuk mengangkat Islam dan kita suburkan kembali nilai-nilai Islam dalam diri kita.

Daripada pembentang ketiga dalam konvensyen ini, ustaz Fauzi Asmuni( S/U ISMA Pusat), beliau berkata bahawa, sebenarnya kejatuhan Melayu itu tidak berlaku. Tetapi yang berlaku hanyalah keruntuhan tembok-tembok dan bangunan-bangunan. Buktinya, orang Melayu berjaya mempertahankan budaya dan jati diri kaum Melayu sehingga ke hari ini. Banyak pencapaian –pencapaian hebat yang berjaya dicapai oleh orang Melayu dan usaha untuk menjadikan bangsa Melayu sebagai bangsa Melayu yang kekal sebagai orang Islam tetap berterusan hingga ke hari ini.

Jadi, sedikit perkongsian dari apa yang saya dapat daripada konvensyen ini dan menjawab secara ringkas beberapa persoalan yang ditanya oleh sahabat saya berkenaan isu yang sedang dibawa ISMA ini. Beliau mengatakan isu ketuanan Melayu ini tidak relevan kerana hanya mempertahankan bangsa Melayu bukannya agama Islam itu sendiri.

Isu yang dibawa ISMA adalah MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT.

1. Kenapa mesti letak perkataan Melayu dulu baru Islam? Seolah-olah mementingkan kaum sahaja sedangkan Islam yang sepatutnya diperjuangkan tanpa mengira kaum.
- Isu kaum Melayu ini sebenarnya bukan matlamat tetapi ISMA membawa isu Melayu ini sebagai salah satu starategi untuk menaikkan Islam. ISMA nampak yang Islam akan kuat jika orang Melayu kuat. Selain itu, ISMA ingin menggunakan Melayu untuk mendaulatkan islam. Maksudnya, Islam akan bangkit melalui kekuatan orang Melayu. Kalau diletak Islam berdaulat, Melayu maju..seolah-olah kita menggunakan Islam untuk kepentingan Melayu. Jika diperhatikan, kaum Melayu yang mendominasi Malaysia, jadi kita yang dominan ini mesti mempunyai jati diri yang hebat untuk mengangkat Islam itu sendiri ke tempat yang mulia iaitu syariat Islam dijalankan mengikut ajaran Allah dan Rasul. Wallahua’lam.
- Kita dapat lihat, perhatikan serta berfikir.. Mengapa kita ingin mengangkat kaum Melayu? Bagaimana keadaan kaum Melayu di Malaysia ini? Adakah kita mendapat hak kita sepenuhnya sebagai kaum yang mendominasi Negara? Hak orang Melayu tergadai di Negara sendiri. Cuba bandingkan berapa bilangan masjid yang ada di Malaysia dan dibandingkan dengan tokong-tokong China dan kuil? Sungguh menyedihkan..Sama-samalah kita fikirkan.

2. Kenapa perjuangkan kaum yang dominan (Melayu) sahaja? Islam bukan hak satu kaum sahaja. Semua kaum boleh beragama Islam.
- Betul, Islam untuk semua tanpa mengira kaum.
- ISMA bangkit membawa isu ketuanan Melayu bukan untuk memimggirkan kaum lain. Tetapi melihat kepada kuasa dominan yang mampu untuk mengubah keadaan Islam dari keadaan yang ditindas sekarang kepada keadaan Islam yang diiktiraf dan dipandang mulia. Syariat Islam dapat ditegakkan suatu hari nanti. inshaAllah. Inilah hanyalah satu strategi untuk jangka masa tertentu. Bukan bermakna ia kekal sebagai satu matlamat yang hakiki.
- Di dalam Islam, perkauman tidak salah selagi ia tidak berlaku pergaduhan dan memudaratkan keadaan. Rujuk buku Himpunan Risalah Imam Hasan Al-Banna, Bahagian 1- Dakwatuna (muka surat 19-45) untuk hujjah yang lebih kukuh.

3. Ada lagi beberapa soalan dan ketidak puasan hati dari beberapa teman yang saya terima. Sebenarnya saya bukanlah orang yang selayaknya bercakap tentang perkara ini, tetapi sekadar apa yang dapat saya fikirkan, saya berpendapat bahawa isu ketuanan Melayu yang kini digalas oleh ISMA sebagai NGO badan dakwah ini cukup memberi kesan kepada masyarakat Melayu Islam secara keseluruhannya. Usaha ini memerlukan sokongan dari semua pihak. Saya ada juga merujuk pendapat dari tokoh-tokoh ISMA seperti Ustaz Abdullah Zaik, Ustaz Halim dan ramai lagi untuk memahami tentang apa yang ingin dibawa ini.
InshaAllah, sahabat-sahabat boleh rujuk blog ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com & www.ismaweb.net untuk maklumat lanjut dan hujjah yang lebih kukuh.

Maaf sekiranya terdapat salah & silap dalam catatan yang tak seberapa di sini. Semoga Allah terus memberi kita peluang untuk berbakti dalam menegakkan syariat-Nya di muka bumi ini. Ameen ya Rabbal A’lamin. Wallahua’lam.
~Sidang Media Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka yang telah berlangsung di Masjid Wilayah, Jalan Duta pada 24 Januari 2011.~

~adik-adikku yang comel...turut membantu dalam jualan wanita ISMA PAHANG~


Cuti yang bermakna
Sekalian lama tidak berhubung dengan sahabat-sahabat se’angkatan’ semasa di Darul Qur’an dahulu, bila cuti-cuti sekejap ada sedikit masa untuk borak-borak ilmiah. Alhamdulillah, dapat jugak cas balik iman dan segarkan balik ukhuwwah. Walaupun isu-isu yang dibincangkan bukanlah isu berkaitan perjuangan Islam dan isu dakwah-dakwah, tetapi kami berbincang untuk mendapatkan semangat yang hilang, mendekatkan diri kepada Allah dan menguatkan hati dalam berjuang melalui hari-hari yang penuh mencabar. Kadang-kadang kita perlu untuk berhenti sekejap dari bekerja dan duduk untuk berehat seketika. Bak kata Stephen R. Covey dalam buku beliau iaitu 7 Habits of Highly Effective People, sifat orang yang berjaya dengan cemerlang mestilah ada ‘self-rejuvenation.’ Secara islamiknya, kita boleh katakana ia sebagai muhasabah diri. Dalam bukunya, habit ke-7 yang mesti ada dalam diri kita adalah –sharpen the saw. Asah kapak ke?=)


Secara keseluruhannya, beliau menyebut supaya kita mesti ada keseimbangan dalam bekerja, menjaga kesihatan diri dan mencari sumber tenaga untuk bekerja semula supaya kita dapat mencapai kejayaan untuk jangka masa yang panjang.
“The balancing and renewal of your resources, energy, and health to create a sustainable long-term effective style.” ~Stephen R. Covey~
Semiggu cuti dirasakan seperti dua hari cuti hujung miggu je. Tak cukup. Dapatlah belajar sedikit ilmu rumah tangga sebakai bekalan masa depan=)Semoga kita semua diberi kekuatan oleh Allah untuk menempuh hari-hari penuh mencabar, menjadi anak soleh solehah dan dapat berbakti kepada ISLAM tercinta.inshaAllah.

sRikandi_Nurse
JHC, Kuantan.

No comments:

Post a Comment