Friday, September 24, 2010

Wad Pediatrik Menuntut SABAR


~gambar hiasan~

Demam praktikal melanda kembali. Selepas raya, semua pelajar Nursing tahun 3 & 4 memulakan sesi praktikal bagi semester 1(2010/2011) di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah(hoshas). Kumpulan saya telah dipilih untuk menjalani praktikal di wad pediatrik. Wad kanak-kanak yang begitu mencabar. Pertama kali belajar di sini & kami sugguh kekok pada mulanya. Masuk saja kami terus mendengar jeritan & tangisan kanak-kanak. Apabila melihat jrannya menangis dengan hebat sekali dan dia turut ikut menangis. Begitulah seterusnya, kanak-kanak di sini berterus-terusan menangis dan menjerit meminta ibu memahami bisikan hatinya... "adik sakit mak..tolonglah...." "Dr ngan misi tu jahat..habis lebam tangan adik ni mama...."
"adik kuat lagi tak sakit pun...Lepas ni kita boleh balik la ummi.."

Sesungguhnya hati seorang ibu pasti sayu & pilu dengan kata-kata seperti ini. Itu baru saja lihat budak-budak yang sudah pandai bercakap, belum lagi melihat keadaan bayi-bayi yang penuh dengan wayar & tiub. Ada yang sedar, separuh sedar, ada yang mengalami kekejangan otot. Ada yang xberhenti menangis kerana keadaan yang tidak selesa.MashaAllah, Sugguh pilu berada di sini.Memang penyakit-penyakit yang dialami oleh mereka biasa kami temui di wad biasa. Tapi, kali ini pesakit kami ini sangat kecil. Belum cukup matang untuk mengenal erti sakit. Sungguh hebat ujian yang perlu mereka tempuhi. Sentiasa dimasukkan ubat dan sentiasa dicucuk walaupun sukar untuk menemui 'vein' mereka. Mereka dipegang bagi mengelakkan mereka mencabut tiub dan jarum di tangan mereka. Begitulah situasi yang kami saksikan di sini dan kami belajar untuk memberi khidmat sebagai nurse dengan sebaik mungkin.


~gambar hiasan~

Wad kanak-kanak Melor 2 di tingkat 8 hoshas menempatkan pesakit kanak-kanak berusia antara 1bulan-14 tahun. Wad m2 ini adalah wad 'medical'-maksudnya semua penyakit-penyakit yang berkaitan perubatan, mereka akan dirawat di sini.Antaranya-Tuberculosis(TB),Chicken Pox, sakit jantung, broncholitis(jangkitan kuman pada paru-paru) dan sebagainya. Melur 1 pula adalah wad multidisiplin-wad kanak-kanak yang didera, yang akan & telah menjalani pembedahan & masalah-masalah lain.


~gambar hiasan~

Tiada gambar yang dapat saya tunjukkan di sini kerana kami tidak dibenarkan mengambil gambar di dalam wad. Minggu pertama praktikal kami di wad pediatrik ini memberi seribu erti. Walaupun pada hari terakhir praktikal di sini, kami hanya bekerja sampai petang oleh kerana sedikit masalah birokrasi yang berlaku, tapi kami tetap gembira kerana dapat belajar sesuatu dari pesakit-pesakit & staff nurse di sini.
Sesungguhnya kanak-kanak adalah anugerah Allah yang suci bersih, mereka pasti mudah mengikut serta meniru apa yang baik daripada kita. Untuk nurse, doktor & ibu bapa yang berhadapan dengan anak-anak yang sakit, jagalah mereka sepenuh hati, berharaplah hanya kepada Allah agar mereka cepat sembuh. inshaAllah, DIA yang mendatangkan penyakit, pasti ada penawarnya. Wallahualam.

Wednesday, August 11, 2010

Seronoknye Puasa!



Assalamua'alaikum warahmatullah.

"Allahumma bariklana fi shahri Ramadhan."

Ramadhan 1431 H kembali menjenguk lagi. Tibalah saat kita berusaha sedaya upaya untuk kebaikan kita di dunia sebagai bekalan menuju akhirat. Sebagai peringatan bersama, bagaimana untuk mendidik hati kita supaya sentiasa ingat mati. Syikh Ibrahim bin Adham pernah ditanya oleh seorang lelaki:"Bagaimana cara engkau mencapai darjat zuhud?" Maka beliau menjawab, "Dengan 3 hal.Pertama,aku melihat kuburan itu sunyi dan menakutkan, sedang aku tidak menemukan orang yang dapat mententeramkan hatiku di sana. Kedua, aku melihat perjalanan hidup menuju akhirat itu amat jauh, sedangkan aku tidak memiliki bekalan yang cukup. Ketiga, aku melihat Rabb yang Maha Kuasa menetapkan satu keputusan atasku, sedangkan aku tidak punya alasan menolak keputusan itu.

Begitulah Syeikh Ibrahim mendidik hati untuk mencapai darjat zuhud.Dalam sibuk melakukan ibadah, memperbanyakkan amalan di bulan mulia ini, jagalah niat kita agar tetap di jalan yang betul iaitu IKHLAS kerana Allah. Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah, kita memang susah nak ikhlas dalam apa pun yang kita lakukan, jadi dengan mendidik hati dengan mengigati MATI mungkin lebih berkesan supaya kita ingat sebesar manapun kita, amalan2 yang kita lakukan semuanya akan dihisab oleh Allah. Akhir sekali nanti kita akan dimasukkan ke lubang kubur dihadapkan kepada Allah dan tiada siapa yang dapat membantu kita ketika itu. Semoga menjadi pengajaran kita bersama.Wallahua'alam.

Jom!Ceriakan hari-hari Ramadhan ini dengan amalan-amalan yang mendekatkan kita kepada-Nya. Rebutlah PROMOSI hebat yang Allah tawarkan untuk kita yang hanya ada sekali dalam setahun, tempohnya hanya 30 hari. Cepat sebelum terlambat!


Semoga kita terus bersemangat untuk menjalani ibadah puasa pada tahun ini serta meningkatkan ibadah kita kepada Allah.Semoga amalan kita diterima oleh-Nya.

Salam Ramadhan Kareem buat semua sahabat serata dunia. Salam mujahadah=)

Friday, July 9, 2010

Pilihlah Dengan Pilihan Tuhan

Dipetik dari: www.iluvislam.com
Oleh: mzulhairi
Editor: cincaugoreng



Assalamualaikum wrhmt. saya amat tertarik dengan artikel ini. Ia menceritakan keadaan yang jelas apabila seseorang di dalam keadaan buntu dan tidak dapat membuat keputusan dengan tepat untuk memilih sesuatu. Sesungguhnya Allah mahu kita mengadu terus kepada-Nya,Allah mahu kita dekat denga-Nya. Apabila diuji barulah hamba-Nya tahu yang Allah sentiasa mendengar rintihan, rayuan & harapan seorang hamba yang kerdil.Kita juga hendaklah sentiasa berusaha untuk menjernihkan hati kita dan bersangka baik dengan Allah, bukan sekadar berkata di mulut, akulah muslim sejati tanpa diuji sedikit pun. Semoga bermanfaat untuk kita semua.inshaAllah

Maksud firman Allah SWT :
"...Barang siapa yang bertawakal kepada Allah tentu diadakanNya jalan keluar baginya, dan memberinya rezki dari pintu yang tidak diduga-duga olehnya. Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, maka Tuhan akan mencukupkan keperluannya. Bahkan sesungguhNya Allah pelaksana semua peraturanNya. Dan Allah juga telah menjadikan segala-galanya serba berukuran " (At-Talaq : 2 - 3)


Maha suci Allah, Tuhan sekalian alam, Pencipta Agung Pentadbir Semesta, ucapkanlah syukur, ungkapkanlah puji, tiada ruginya merperhambakan diri kepada tuhan. Baginda junjungan, sosok agung, peribadi mulia, Muhammad Rasulullah, hiasilah hari-hari dengan selawat dan salam buat kekasih tercinta.

Keizinan dari Allah diperoleh lagi untuk saya menarikan jemari di Wadi al Qurra', Alhamdulillah. Melihat kepada kehidupan sebagai manusia, sahabat-sahabat sekalian, kepada saya sendiri terutamanya, ia berkitar tentang pelbagai perkara, dan setiap perkara itulah yang bakal mentarbiah diri untuk lebih bersedia dengan hari-hari muka. Pendidikan kehidupan ini adalah tarbiah yang tidak langsung dari Allah, adakalanya ia sangat seronok, adakalanya ia sangat memilukan, adakalanya ia amat mengelirukan sehingga membuat kita buntu.

Dalam meniti pelbagai ragam kehidupan, ada masanya ia menuntut untuk kita membuat pilihan. Saya senang hati mengatakan sememangnya hidup ini kitarannya tidak lari daripada menuntut kita untuk membuat pilihan, dengan pilihan itulah yang bakal membuat kita sedih, gembira, atau bertambah keliru. Hidup ini adalah pilihan, bagaimana kita mahu hidup, dengan suka, duka atau lainnya, yang memilihnya adalah diri sendiri. Berbicara soal pilihan, adakalanya ia hanya untuk diri sendiri, ada masanya ia perlu melibatkan yang lain, ikutlah situasi, dan pertimbangkanlah sebaiknya.

Qurra' yang dikasihi,

Segala permasalahan manusia, soal pilihan atau apa saja, jika hanya difikirkan dengan akal, ilmu dan perasaan semata tanpa meletakkan tuhan ditempatnya, maka tunggulah masanya untuk merasa kesalnya. Sebagai muslim, bagi membuat satu-satu pilihan, ia bukan sekadar bergantung kepada kebijakan, tetapi lebih utama lagi adalah panduan Allah. Saya yakin terhadap sahabat saya sekaliannya, semua pasti tahu bahawa mengharapkan pandangan Allah itulah yang utama, itulah sebabnya perkataan ISTIKHARAH tidak lekang di bibir kita.



Namun, suka untuk saya membahagikan beberapa situasi yang sering kita hadapi tatkala perkataan ISTIKHARAH masih tidak lekang dibibir :


1. Membuat istikharah dalam keadaan betul-betul mengharap, mendapat petunjuk dan mengikutinya dengan keyakinan yang penuh, merealisasikan ayat FAIZA AZAMTA, FATAWAKKAL 'ALALLAH!, setelah mendapat keyakinan teguhkan pendirian dan bertawakkallah kepada Allah. Jika istikharah, inilah yang sepatutnya dilakukan, jangan diragukan petunjuk Allah, telah dilorongkan kita terhadap sesuatu, maka ambillah, jangan biar nafsu dan perasaan menguasai.
2. Membuat istikharah dalam keadaan betul-betul mengharap, akhirnya diberi satu petunjuk, tetapi tidak sesuai dengan apa yang kita mahu, maka kita mengenepikan ia. Inilah yang bakal menimbulkan kecelakaan yang besar, memohon petunjuknya, tetapi mudah-mudah saja menolak keputusan dari Allah kerna hati tidak suka terhadap perkara yg ditunjukkan, jadi apa gunanya beristikharah, adakah ia sekadar penyedap kata, bila ditanya org, boleh lah menjawab, ya, saya sudah istikharah!
3. Membuat istikharah dalam keadaan mahu tidak mahu, hanya pelengkap syarat saja. Maka jika ini yang dilakukan, jadi apa kita sangka Petunjuk Allah sesuatu barang ciciran yang boleh diperoleh di tepian jalan? Usahlah bersusah payah jika ini keadaannya.
4. Membuat istikharah sedangkan sudah cenderung benar terhadap sesuatu, nafsu dan perasaan sudah pun mengatakan ya pada awalnya lagi, maka natijahnya nanti biasanya akan sesuailah dengan nafsu dan gelojak perasaan semata. Maksudnya disini, membuat istikharah tetapi tidak mengharap sepenuhnya pada Allah, maka keputusan yang diperoleh nanti hanyalah mengikut apa yg dimahukan nafsu dan perasaan semata.
5. Membuat istikharah dan diberikan petunjuk, cumanya hati masih ragu, maka cubalah ulangi istikharah itu agar hati benar-benar mantap, pintalah keyakinan dengan sebenar-benarnya, jangan ragu lagi selepas itu, jangan biarkan kita salah seorang yang menolak hidayah Allah!


Saya sengaja meletakkan beberapa situasi seperti di atas, ia berdasarkan pengalaman sendiri dan pegalaman sahabat yang lain. Itulah hakikatnya manusia, berbeza-beza. Tidak perlu untuk saya lanjutkan dengan mengulas lebih panjang terhadap situasi yang telah disenaraikan, semua sudah arif benar rasanya untuk menilai yang mana satu cara sebetulnya bila mahu istikharah.

Sahabat yang dikasihi,

Setelah istikharah, ramai benar yang mahu menunggu mimpi, saya ingin tegaskan bahawa petunjuk, ilham atau apa pun namanya bukan hanya datang melalui mimpi. Ada perlunya untuk kita bermusyawarah dengan mereka yang lebih arif, lebih berpengalaman, terhadap masalah yang dihadapi, lihatlah pendapat mereka secara keseluruhannya, tapislah yang terbaik dan jadikanlah ia sebagai pelengkap keyakinan, sesungguhnya petunjuk dan ilham dari Allah boleh juga datang dalam bentuk musyawarah atau perbincangan.

Kepastian dan keyakinan yang timbul di dalam hati juga adalah bentuk ilham serta petunjuk Allah. Ia akan membuatkan kita berasa yakin dalam membuat sesuatu keputusan, carilah keyakinan dan kepastian itu. Selain itu, petunjuk dan ilham dari Allah juga datang dalam bentuk keadaan serta suasana, dalam keadaan tidak disangka, dihadirkan kita dengan satu keadaan, memandu kita ke arah sesuatu, memudahkan bukan menyusahkan, maka itu jua salah satu cara Allah membantu hambaNya membuat pilihan.

Sebenarnya ramai di antara kita yg suka memohon petunjuk, istikharah dan sebagainya, namun ada suatu masalah yang timbul, kita tidak sedar hadirnya petunjuk itu akibat daripada masalah hati dan dosa. Allah telah membuka ruang yang luas untuk kita, memberi petunjuk yang jelas, tetapi hati kita sukar mentafsir, gelap, tidak mampu membaca, melihat saja petunjuk itu berlalu pergi, alangkah meruginya jika ini yang terjadi. Pohonlah jua kepada Allah untuk menjernihkan hati, agar senang dan mudah memahami. Jika sudah nampak, jangan pula biarkan, kita mesti menyahutnya.

Maksud firman Allah SWT :

"Katakanlah : Aku berlindung kepada tuhan (yang mengusai dan memelihara) manusia, raja manusia, sembahan manusia, dari kejahatan bisikan was-was pembisik (syaitan) yang biasa bersembunyi"
(An-Nas : 1 - 4)


Jika benar istikharah kita, jangan bicara soal keraguan, kerna keraguan itu datangnya dari syaitan, jika hati masih ragu, berasa tidak enak, timbul masalah masalah yang lain pula, maka ada baiknya untuk menilai kembali, kerna pasti ada sesuatu yang tidak kena. Kadang-kadang kita merasakan apa yang diputuskan itu telah benar sekali, apatah lagi setelah istikharah, cumanya rasa benar itu bukan datang dari Allah, cuma dari nafsu dan perasaan, maka akan adalah lanjutannya dengan rasa tidak kena, timbul hal-hal yang kurang sesuai berlaku, maka ini juga caranya Allah mahu mengingatkan kita sebenarnya. Janganlah menyamakan antara keputusan mainan perasaan dengan keputusan dari Allah, ia amat berbeza, yang datang dari perasaan cuma pasti akan menambah keliru, tetapi jika ia benar-benar datang dari Allah, maka ia pasti akan lancar saja dan tiada lagi rasa tidak kenanya, hati akan tenang, insyaAllah.

Maksud firman Allah SWT :

"Dan aku akan benar-benar menyesatkan mereka, dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka.."
(An-Nisa' : 119)

Berusaha!



Assalamua'alaikum wrhmt..buat semua sahabat. semoga kita sentiasa di dalam rahmat & kasih sayang Allah. kita sekarang telah melangkah masuk ke tahun tiga. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk terus berjuang di dalam bidang yang kita ceburi ini sebagai bekalan amal untuk kita ke sana kelak. Menjelang semester baru bermula, mari kita bersama-sama ikhlaskan hati kita agar dapat memberi sepenuh perhatian kepada tanggung jawab kita yang sentiasa banyak. Tidak dinafikan terkadang kita terlalai atau terlupa dengan tugas & tanggung jawab yang diamanahkan kepada kita disebabkan oleh sedikit masalah yang kita hadapi. Hanya masalah yang kecil menyebabkan kita mengabaikan tanggung jawab yang besar. Oleh itu, saya hanya ingin berpesan kepada diri saya dan sahabat-sahabat...BANGKITLAH SETELAH REHAT SEBENTAR! Kerana tanggung jawab kita sememangnya banyak untuk dibilang.Melebihi dari masa yang ada. Walaupun kita rasa lemah semangat pada satu-satu masa disebabkan oleh sesuatu perkara yang berlaku tanpa diduga. namun, YAKINlah duhai sahabat! Allah tidak menguji hanya dengan percuma.Iman kita mesti sentiasa diuji & kita hidup untuk diuji.

Saya petik kata-kata penulis novel, Hilal Asyraf,"Yang saya tahu bukan semua inci dalam makanan itu manis.Kalau makanan itu semuanya manis, mesti ia tidak sedap. Begitu juga kalau semuanya pahit, masin,masam. Dalam makanan ada semua rasa itu sebenarnya. Ia menjadikan satu makanan itu boleh dimakan.

Begitu juga kehidupan. Suka duka itu menjadikan kehidupan. Kalau kehidupan manusia senang sepanjang masa, tanpa ada kesusahan sedikit pun, Maka dia tidak hidup dalam erti kata sebenar. begitulah sebaliknya."


~Mujahadah pahit untuk dapat syurga yang manis~

Semoga kata-kata ini memberi kekuatan untuk semua sahabat-sahabat terus berjuang, walau dalam apa jua yang kalian lakukan. Khusus untuk sahabat-sahabat Nursing, walaupun assignment ini sukar untuk disiapkan kerana melalui bermacam-macam ujian. Walaupun baru seminggu melangkah ke semester baru, kita dah dapat hampir 10 assignment. Bersabar ye semua. Semoga terus bersemangat!Teruskan usaha kalian!
Buat semua...
Semoga ujian-ujian yang kalian lalui mematangkan kalian dan mendekatkan diri kepada Allah. Teruskan berusaha mencapai cita-cita kalian sejauh yang mungkin. inshaAllah!

sRikandi_Nurse
JHC, Kuantan

Friday, June 25, 2010

"Benarkan saya pergi ayah?"




Cerita ini adalah perkongsian daripada seorang sahabat di Yahoogroups Alumni Imtiaz KB. semoga bermanfaat untuk kita semua.

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam
dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu
dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya
Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar
seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?".
"Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada
anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah
hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun
yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan
risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya.
Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya.
Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu.
Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali.
Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan.
Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan.
Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an.
Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.
"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat
sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya
hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling
bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam
memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak
menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah
perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini
yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk
pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim.
Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan
dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi
saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap
anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu
lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba
loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa
pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi
lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini
setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi
ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu.
Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf
saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan
makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah
yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu
dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang
hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka.
Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi
hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini
dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat
kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada


selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang
berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya
yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah
yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang
sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada
makhlukNya yang penyayang

Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara
kamu!

TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!

Wassallam

Monday, June 21, 2010

PROMOSI:Rehlah Ta'ruf Beliawanis PEMBINA 2010



Assalamualaikum.. Sempena pembukaan semester baru kali ini, pihak BELIAWANIS PEMBINA Pahang akan mengadakan program tahunan REHLAH TAARUF BELIAWANIS PAHANG 2010 yang bakal menceriakan semester baru anda..

* Penyertaan TERBUKA KEPADA SEMUA MAHASISWI SEKITAR PAHANG.
* Pelbagai aktiviti HEBAT DAN MENARIK akan disediakan seperti :-Explorace Kau Ilhamku, Diriku untuk Dirimu, Merentas Samudera Indah & Teruskan Langkahmu dan Slot Sirah: Mari mengenal tokoh-tokoh Islam Qudwah Hasanah.
* Ayuh eratkan lagi jalinan ukhuwah antara kita..

"Ukhuwwah Terjalin, Hidup Bermakna."

Untuk menyertai perkhelahan ini, hubungi segera

NOR ASYIKIN (UIAM)-0139433625
NUR AFIQAH(KIPSAS)-0145007026

Jom kita sama-sama memeriahkan perkhelahan ini.Semoga kita beroleh manfaat!


TENTATIF

17 Julai 2010

7.30am : Pendaftaran peserta

8.00am : Ucapan alu-aluan pengerusi majlis

8.20am : Tazkirah & Bacaan doa

8.40am : Explorace Kau Ilhamku

9.30am : Aktiviti 1- Diriku Untuk Dirimu

10.00am : Rehat, minum pagi

10.15am : Tazkirah (Tokoh 1)

10.30am : Aktiviti 2 (sukaneka)

11.00am : Rehat & Minum (Tokoh 2)

11.20am : Aktiviti 3 (sukaneka)

11.40pm : Ayuh bersama PEMBINA!

12.00pm : Pembahagian Hadiah

: Sesi Perkongsian Hati ke Hati- Antara dakwah & kerjaya

12.40pm : Makan tengahari, Tazkirah (Tokoh 3)

Solat &Bersurai

sRikandiNurse

Saturday, June 19, 2010

Setia Seorang Isteri



Perkongsian pengalaman di hOSHAS, praktikal pada 12 April-11 Jun 2010

Sejak bermulanya praktikal pelajar-pelajar Nursing tahun dua d Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, ketahanan mental & fizikal semakin mencabar.Terasa bagai musafir yang merantau jauh mencari ilmu menimba pengalaman demi memantapkan diri untuk menjadi seorang Nurse yang berhemah lagi bijaksana di masa depan. Kami seramai 44 orang pelajar Nursing batch ke-5 terus berusaha untuk terus berkhidmat di sini selama lebih 2 bulan berbekalkan ilmu Nursing yang dipelajari sepanjang 2 tahun. Sepanjang minggu pertama kami bertugas di wad perubatan(medical), kerja yang dilakukan tidak jauh berbeza dari hari ke hari. Antara ilmu yang dapat kami garap daripada praktikal yang dilalui sepanjang bertugas di wad ini berupa Ilmu tentang kehidupan yang banyak kami pelajari dari pesakit, ilmu tentang akhlak mulia yang kami pelajari apabila berhadapan dengan orang atasan seperti sister, matron, doktor & pakar serta ilmu untuk merawat pesakit dengan sama ada dengan ubat-ubatan atau dengan kata-kata perangsang. Suatu kisah menarik untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat, semoga dapat menjadi iktibar untuk kita bersama. Memandangkan tidak banyak kisah yang dapat diceritakan daripada apa yang dilalui di sini, saya merasakan kisah ini boleh menjadi pengajaran buat kita bersama. inshaAllah.


~keluarga Islam bahagia idaman semua insan~


Pada pagi yang hening, seorang lelaki berusia 50-an yang telah dimasukkan ke wad kerana menghidap penyakit barah otak. Beliau sedang merenung jauh bagai memikirkan apa yang akan berlaku kepada dirinya selepas ini. Hanya matanya yang terbuka buat beberapa ketika, kemudian dia menutup kembali matanya. Separuh sedar. Apabila isterinya membisikkan sesuatu ke telinganya, dia seolah-olah mengerti dan ingin menyatakan sesuatu tetapi dia tidak dapat meluahkan kata-kata tersebut. Kadang-kadang dilihat air mata mengalir membasahi pipinya. Tetapi yang menghairankan, tiada seorang pun anak-anak mereka berada di situ. Mungkin semua anak-anak beliau bekerja di luar kawasan & sedang berusaha untuk pulang melihat bapanya yang sakit tenat itu. Setelah genap seminggu pesakit tersebut berada di wad tersebut, keadaannya semakin membimbangkan. Bacaan jantung beliau menunjukkan keadaan beliau kritikal. Sehinggalah tengahari pada hari yang sama, bacaan oksigen didalam darah(SPO2) beliau menurun secara mendadak dan ramai doktor H.O(houseman), staff nurse serta pakar yang berusaha untuk menyelamatkan nyawa pak cik tersebut. Saat seorang hamba Allah sedang bertarung dengan kesakitan ketika Malaikat Izrail menarik nyawanya, si isteri tidak berhenti membaca zikir dan ayat-yat Al-Qur’an agar Allah mempermudahkan perjalanan suaminya menghadapi sakaratul maut dan untuk mententeramkan hatinya menghadapi ujian tersebut. Namun, tidak kelihatan pun kelibat anak-anak mereka. Mungkin mereka dalam perjalanan. Innalillahi wainna ilaihi raji’un! Seorang nurse melafazkan. Sayup-sayup terdengar tangisan isterinya. Doktor pakar lantas keluar untuk menjelaskan sesuatu kepada si isteri dan kelihatan si isteri menangis teresak-esak. Dalam keadaan keseorangan berada dihospital, melihat suami meninggal di depan mata.tanpa anak-anak di sisi. Bayangkanlah, betapa perit dan pedih hati seorang isteri & ibu yang berdepan dengan keadaan itu. Kami yang melihat ia sebagai situasi yang sangat kejam & tidak patut dilakukan oleh seorang insan bergelar anak. Sepuluh orang anak sekalipun tidak akan dapat mengatasi kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu & ayah. Begitulah kata orang tua. Lalu, salah seorang dari kami bertindak sebagai ‘anak sementara’ pergi memujuk si isteri dan mengajaknya membaca Ya’sin bersama-sama. Dalam kekalutan itu, kami terus menyediakan barang-barang untuk membersihkan mayat sebelum dihantar ke bilik mayat. Prosedur ini dinamakan “last office(LO).” Peristiwa ini merupakan peristiwa terakhir yang kami lalui bersama-sama sepanjang menjalani praktikal di wad medical. Perasaan sedih bercampur kecewa apabila tiada seorang pun anak pesakit tersebut datang pada waktu itu sehinggalah mayat dibawa ke bilik jenazah dimandikan, dikafankan dan dibawa ke rumah untuk disolatkan. Semoga Allah memberi keizinan untuk mereka melihat wajah ayah mereka sebelum ayah mereka dikebumikan. Semoga mereka mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh para solihin. Semoga mereka menjadi anak yang soleh/solehah dan insaf dengan perbuatan yang tidak sepatutnya mereka lakukan terhadap ibu bapa mereka. Ini antara doa yang terbit dari hati kami.


~Ibu bapa mengharapkan doa dari anak yang soleh & solehah~

Walaupun kita tidak tahu bagaimana kesudahan kita apabila menghadapi sakaratul maut kelak, tetapi percayalah sahabat..Amalan baik yang kita lakukan di dunia ini inshaAllah akan menjadi penyelamat kita saat kita berhadapan dengan malaikat maut. Berdoalah setiap hari agar kita dapat berada di sisi ibu bapa kita tatkala mereka dijemput Allah untuk kembali. Ingatlah, secebis pengorbanan kita lakukan buat mereka takkan pernah menyamai jasa & budi mereka mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga kita menjadi seperti sekarang ini.
Semoga rohnya dicucuri rahmat..Ameen.
Pesanan: Hargailah ibu bapa kalian, Buatlah apa sahaja yang kalian suka. Selagi ibu bapa kalian redha, inshaAllah redha Allah mengiringi setiap langkah perjuangan kalian.Wallahua'alam.

sRikandi_Nurse
HOSHAs,
Temerloh, Bandar Ikan Patin.