Saturday, June 19, 2010

Setia Seorang Isteri



Perkongsian pengalaman di hOSHAS, praktikal pada 12 April-11 Jun 2010

Sejak bermulanya praktikal pelajar-pelajar Nursing tahun dua d Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, ketahanan mental & fizikal semakin mencabar.Terasa bagai musafir yang merantau jauh mencari ilmu menimba pengalaman demi memantapkan diri untuk menjadi seorang Nurse yang berhemah lagi bijaksana di masa depan. Kami seramai 44 orang pelajar Nursing batch ke-5 terus berusaha untuk terus berkhidmat di sini selama lebih 2 bulan berbekalkan ilmu Nursing yang dipelajari sepanjang 2 tahun. Sepanjang minggu pertama kami bertugas di wad perubatan(medical), kerja yang dilakukan tidak jauh berbeza dari hari ke hari. Antara ilmu yang dapat kami garap daripada praktikal yang dilalui sepanjang bertugas di wad ini berupa Ilmu tentang kehidupan yang banyak kami pelajari dari pesakit, ilmu tentang akhlak mulia yang kami pelajari apabila berhadapan dengan orang atasan seperti sister, matron, doktor & pakar serta ilmu untuk merawat pesakit dengan sama ada dengan ubat-ubatan atau dengan kata-kata perangsang. Suatu kisah menarik untuk dikongsikan bersama sahabat-sahabat, semoga dapat menjadi iktibar untuk kita bersama. Memandangkan tidak banyak kisah yang dapat diceritakan daripada apa yang dilalui di sini, saya merasakan kisah ini boleh menjadi pengajaran buat kita bersama. inshaAllah.


~keluarga Islam bahagia idaman semua insan~


Pada pagi yang hening, seorang lelaki berusia 50-an yang telah dimasukkan ke wad kerana menghidap penyakit barah otak. Beliau sedang merenung jauh bagai memikirkan apa yang akan berlaku kepada dirinya selepas ini. Hanya matanya yang terbuka buat beberapa ketika, kemudian dia menutup kembali matanya. Separuh sedar. Apabila isterinya membisikkan sesuatu ke telinganya, dia seolah-olah mengerti dan ingin menyatakan sesuatu tetapi dia tidak dapat meluahkan kata-kata tersebut. Kadang-kadang dilihat air mata mengalir membasahi pipinya. Tetapi yang menghairankan, tiada seorang pun anak-anak mereka berada di situ. Mungkin semua anak-anak beliau bekerja di luar kawasan & sedang berusaha untuk pulang melihat bapanya yang sakit tenat itu. Setelah genap seminggu pesakit tersebut berada di wad tersebut, keadaannya semakin membimbangkan. Bacaan jantung beliau menunjukkan keadaan beliau kritikal. Sehinggalah tengahari pada hari yang sama, bacaan oksigen didalam darah(SPO2) beliau menurun secara mendadak dan ramai doktor H.O(houseman), staff nurse serta pakar yang berusaha untuk menyelamatkan nyawa pak cik tersebut. Saat seorang hamba Allah sedang bertarung dengan kesakitan ketika Malaikat Izrail menarik nyawanya, si isteri tidak berhenti membaca zikir dan ayat-yat Al-Qur’an agar Allah mempermudahkan perjalanan suaminya menghadapi sakaratul maut dan untuk mententeramkan hatinya menghadapi ujian tersebut. Namun, tidak kelihatan pun kelibat anak-anak mereka. Mungkin mereka dalam perjalanan. Innalillahi wainna ilaihi raji’un! Seorang nurse melafazkan. Sayup-sayup terdengar tangisan isterinya. Doktor pakar lantas keluar untuk menjelaskan sesuatu kepada si isteri dan kelihatan si isteri menangis teresak-esak. Dalam keadaan keseorangan berada dihospital, melihat suami meninggal di depan mata.tanpa anak-anak di sisi. Bayangkanlah, betapa perit dan pedih hati seorang isteri & ibu yang berdepan dengan keadaan itu. Kami yang melihat ia sebagai situasi yang sangat kejam & tidak patut dilakukan oleh seorang insan bergelar anak. Sepuluh orang anak sekalipun tidak akan dapat mengatasi kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu & ayah. Begitulah kata orang tua. Lalu, salah seorang dari kami bertindak sebagai ‘anak sementara’ pergi memujuk si isteri dan mengajaknya membaca Ya’sin bersama-sama. Dalam kekalutan itu, kami terus menyediakan barang-barang untuk membersihkan mayat sebelum dihantar ke bilik mayat. Prosedur ini dinamakan “last office(LO).” Peristiwa ini merupakan peristiwa terakhir yang kami lalui bersama-sama sepanjang menjalani praktikal di wad medical. Perasaan sedih bercampur kecewa apabila tiada seorang pun anak pesakit tersebut datang pada waktu itu sehinggalah mayat dibawa ke bilik jenazah dimandikan, dikafankan dan dibawa ke rumah untuk disolatkan. Semoga Allah memberi keizinan untuk mereka melihat wajah ayah mereka sebelum ayah mereka dikebumikan. Semoga mereka mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh para solihin. Semoga mereka menjadi anak yang soleh/solehah dan insaf dengan perbuatan yang tidak sepatutnya mereka lakukan terhadap ibu bapa mereka. Ini antara doa yang terbit dari hati kami.


~Ibu bapa mengharapkan doa dari anak yang soleh & solehah~

Walaupun kita tidak tahu bagaimana kesudahan kita apabila menghadapi sakaratul maut kelak, tetapi percayalah sahabat..Amalan baik yang kita lakukan di dunia ini inshaAllah akan menjadi penyelamat kita saat kita berhadapan dengan malaikat maut. Berdoalah setiap hari agar kita dapat berada di sisi ibu bapa kita tatkala mereka dijemput Allah untuk kembali. Ingatlah, secebis pengorbanan kita lakukan buat mereka takkan pernah menyamai jasa & budi mereka mengandungkan, melahirkan, membesarkan dan mendidik kita sehingga kita menjadi seperti sekarang ini.
Semoga rohnya dicucuri rahmat..Ameen.
Pesanan: Hargailah ibu bapa kalian, Buatlah apa sahaja yang kalian suka. Selagi ibu bapa kalian redha, inshaAllah redha Allah mengiringi setiap langkah perjuangan kalian.Wallahua'alam.

sRikandi_Nurse
HOSHAs,
Temerloh, Bandar Ikan Patin.

No comments:

Post a Comment