Friday, January 4, 2013

Suka Duka Jalan Kehidupanku



      Assalamua’laikum warahmatullah kepada semua pembaca blog dan blogger yang setia. Semoga kita semua dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa. Alhamdulillah, syukur kerana sehingga saat ini Allah masih mengurniakan nikmat iman dan Islam di dalam hati kita. Dia jualah yang melimpahkan kasih sayang di dalam hati dan jiwa setiap insan agar merasai ketenangan dan kedamaian. Semoga apa jua pun ujian dan dugaan yang kita hadapi saat ini tidak mematahkan semangat kita untuk terus berjuang dan berjihad menempuh pancaroba dunia demi beroleh syurga abadi kelak, inshaAllah sama-sama kita usahakan. 

                                      
                                          ~Tuntutlah ilmu selagi nyawa dikandung badan~

Alhamdulillah thummalhamdulillah…
InshaAllah perkongsian saya pada kali ini adalah tentang perjalanan hidup saya sebagai insan biasa dan juga  sebagai penuntut ilmu selama lebih kurang 10 tahun. Sangat singkat namun di sebalik perjalanan hidup ini tersingkap pelbagai cerita suka duka, kisah pengajaran yang boleh diambil sebagai pedoman. Setiap insan punya cerita sendiri dan saya tidak terkecuali. Ini kisah saya. Diri ini tidak bermaksud untuk berbangga dengan apa yang ada, apa yang telah dicapai dan sedang digapai. Hanyalah sebagai pengajaran dan pedoman buat sahabat-sahabat dan juga adik-adik. Tiada apapun yang istimewa dalam kisah saya. Hanyalah perjalanan seorang insan biasa yang berusaha mencapai yang terbaik dalam setiap peluang dan nikmat yang DIA berikan. InshaAllah segalanya ditujukan untuk mencapai redha ALLAH. Ambillah nilai-nilai yang baik dan jadikan pengajaran dari kisah-kisah kehidupan ini.


Memandangkan semangat saya untuk berkongsi tentang perjalanan hidup sebagai pelajar, maka wajarlah saya berkongsi tentang semangat saya untuk belajar sewaktu saya di bangku sekolah menengah lagi.  Kenapa sekolah menengah? Sebab semasa sekolah rendah, saya kurang semangat untuk belajar, tidak nampak matlamat hidup dan saya pergi ke sekolah hanya kerana memenuhi kehendak ibu dan ayah sahaja.Belajar untuk dapat A. Itu sahaja.





Tetapi semangat juang saya disuntik semasa berada di tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Kemaman. Sebab saya bangga dengan sekolah saya ini, saya nyatakan nama sekolah saya ini iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Falah. Walaupun sekolah saya ini tidaklah terkenal hebat dengan sebarang rekod, namun saya merasa tarbiyyah saya di sini memberi kesan besar dalam hidup saya. Saya telah ditakdirkan untuk bertemu dengan guru-guru yang sangat bagus, kawan-kawan yang bersemangat untuk belajar dan suasana yang menggalakkan saya belajar. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana ditakdirkan bersekolah di sini di saat saya melalui zaman remaja yang sangat hebat ujiannya. Ujian yang pasti menjengah ke jiwa setiap remaja. Alhamdulillah, dengan bia’h (suasana) yang agak terjaga ini, saya mendidik diri saya untuk sentiasa istiqamah dengan akhlak dan pakaian sebagai seorang muslimah, inshaAllah.


Saya kurang pasti dengan keadaan sekolah ini sekarang. Apa yang pasti, pada waktu itu saya agak aktif melibatkan diri dalam musabaqah peringkat sekolah dan daerah, menyertai kem-kem dan memegang jawatan di dalam kelas untuk beberapa kali. Kalau nak diimbau kenangan sangatlah banyak. Di sekolah ini, pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan agak terjaga kerana kelas kami dipisahkan mengikut blok. Hati saya rasa sangat tenang dan diri saya terjaga. Walaupun ada sahaja kawan-kawan yang ber’couple’ sering mengaturkan ‘perjumpaan HARAM’ di sebalik tiang, di belakang tangga, dekat pagar asrama dan sebagainya. Pada saya, mereka adalah golongan yang sangat RUGI. Mereka menyalahkan undang-undang sekolah sedangkan mereka tidak sedar yang mereka telah melanggar undang-undang ALLAH.   Wallahua’lam. 

     هو الذي خلق لكم ما في الأرض جميعاً ثم استوى إلى السماء فسواهن سبع سموات وهو بكل شيء عليم 
  (البقرة : 29)
Maksudnya:   “Dialah yang menjadikan segala yang di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikannya tujuh langit dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”.                                                                                                                                 ( Al-Baqarah 2 : 29 )


Apa yang terkesan di hati saya sehingga kini adalah sewaktu berada di kelas pertama semasa tingkatan 3. Guru kelas saya pada waktu itu adalah seorang ustazah yang sangat lemah lembut dan sopan. Saya masih ingat nama beliau sehingga kini. Beliau juga mengajar saya matapelajaran pendidkan Islam. Saya sangat meminati cara pengajaran dan cara beliau menasihati pelajar-pelajarnya. Saya masih ingat satu nasihat beliau yang dituju tepat kepada saya semasa di dalam kelas. Saya ada menampal satu doa sebelum dan selepas belajar pada meja saya dan saya hanya kongsikan dengan sahabat karib yang duduk di sebelah meja saya, Hafizah. Saya tak pula kongsikan dengan kawan-kawan sekelas yang lain.

“ Ashikin, kalau kita nak jadi baik, biar kita ajak ramai-ramai orang untuk jadi baik. Manalah tahu, antara ramai-ramai tu, ada yang betul-betul ikhlas nak jadi baik dan kita dapat pahala sebab tolong dia untuk jadi baik. Macam tu jugak kalau kita ada ilmu, kongsikan ilmu tu dengan semua orang supaya ramai orang yang dapat belajar ilmu itu dan amalkannya. InshaAllah, pada kita takkan berkurang sedikit pun. Lagi bertambah ilmu dan pahala kita. Kalau kita nak berjaya, kita kongsi ilmu sama-sama dengan kawan-kawan. Baru bermakna kejayaan kita itu. Kita pun nak sama-sama masuk syurga kan?  


Terkedu jugaklah mendengar nasihat itu. Sambil mengangguk, saya tersenyum membalas senyuman ustazah. Oleh kerena nasihat itu sangat berhikmah, penuh kelembutan ditambah “perencah”  senyuman manis ustazah, saya berasa sangat dihargai sebagai seorang “anak” di hatinya. Selepas ustazah keluar, terus saya sebarkan doa itu kepada semua kawan-kawan sekelas. Dengan penuh harapan, semoga saya dan kawan-kawan sekelas akan berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan PMR pada tahun itu. Selain itu, berkat usaha belajar dan membaca Ya’sin setiap malam pada tahun itu, kami tenang menghadapi peperiksaan. Alhamdulillah, kami semua mencapai kejayaan cemerlang di dalam PMR. Pada saya, saya tidak merasakan kejayaan kami itu hanya kerana usaha kami semata-mata. Tetapi kejayaan itu berkat doa guru yang disantuni. Sebagai pelajar yang inginkan keberkatan dalam belajar, membantu guru adalah kerja paling mulia. Semasa di tingkatan 3, saya terfikir tentang teori ini…”BANTU GURU, IN SHAA ALLAH BERJAYA.”

Bukan saya katakan yang belajar itu tak penting. Belajar tetap penting. Tetapi, apabila kita ada sifat suka membantu  guru ini, secara automatik hubungan kita dengan guru tersebut akan menjadi lebih rapat. Guru akan mendoakan kita sebaik kita membantu dia dan terbitlah nasihat-nasihat istimewa dari hati seorang guru. Dari situ, kasih sayang kita terhadap guru tersebut pasti memuncak dan semangat belajar kita pun kian bertambah. Ini secara praktikal yang telah saya dan sahabat saya amalkan. Alhamdulillah, kini kami berjaya menjadi seorang insan. Insan yang pernah terkesan dengan ajaran dan akhlak guru ini bakal mencorakkan masa depan ummat kelak, inshaAllah. Walaupun saat ini saya baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Kejururawatan di UIA Kuantan dan sahabat saya juga baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Bahasa Arab di UNISZA, inshaAllah kami bakal berkhidmat untuk memberi “sinar” kepada masyarakat yang memerlukan. 

 

Selepas PMR, saya menerima tawaran di Kolej Islam Sains Terengganu (KIST) yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah IMTIAZ Kuala Berang. Saat itu, saya terpisah dengan sahabat terbaik dalam hidup saya, namun tautan hati kami tetap utuh. Hingga kini, in shaa Allah selamanya dan sampai syurga. Itu doa kami.

 Semasa di KIST, saya dapat rasakan yang saya sedikit “hilang pedoman” dalam belajar. Semangat belajar biasa-biasa saja. Saya ceritakan apa yang pernah saya lalui ini kerana ini kisah saya. Kisah insan biasa yang pernah alpa, pernah lalai, pernah bersemangat, pernah tersilap, pernah berjaya, pernah jatuh dan bangun semula. Begitulah kisah seorang insan biasa.


Mungkin juga kejutan budaya yang agak tidak baik seperti kelas bercampur antara lelaki dan perempuan, disiplin pemakaian yang kurang ketat dan kurang nilai-nilai agama yang diterapkan kepada pelajar menyebabkan suasana islamik kurang terbina di sekolah itu pada waktu itu. Namun, sekarang ini, sejak dikenali sebagai Sekolah Menengah IMTIAZ, keadaan di sekolah ini sudah menjadi baik, malah berubah 360 darjah dari keadaan dulu. Tetapi, setakat yang saya tahu, belum pernah ada lagi masalah sosial yang teruk di dalam sekolah. Alhamdulillah, keadaannya terjaga cuma kurang ketat kalau nak dibandingkan dengan sekolah agama lain. Namun, disebabkan terikat dengan peraturan asrama (kerana ia sekolah berasarama penuh), kami diwajibkan solat berjemaah di surau dan mengaji selepas solat. Mahu atau tidak, silalah lakukan walaupun hati tak ikhlas. 


Semasa di tingkatan 4 dan awal tingkatan 5, saya pernah jugak menjadi “ahli persidangan” setiap kali  ahli-ahli parlimen tak bertauliah bersidang di sudut belakang surau. Seronok lah bila masing-masing membuka cerita, ditambah dengan gelak tawa. Tetapi, disebabkan teguran seorang ustaz yang agak menikam kalbu kami, maka sejak itu, tiada lagi “persidangan” surau itu. Saya kurang ingat intipati nasihat ustaz itu, Cuma ingat ekspresi muka ustaz itu sampai sekarang. Hebat ustaz tu sebab buat saya  teringat muka dia sampai sekarang~~~ Tetapi yang pasti beliau menyatakan yang perbuatan itu kurang sopan sebab kami berada di surau, sama mulia seperti rumah Allah. Sepatutnya tiada urusan dunia yang patut dibincangkan di situ. Ustaz itu baru bertugas di sekolah itu, jadi beliau melaksanakan halaqah Qur’an yang diwajibkan ke atas semua pelajar. Waktunya adalah antara maghrib dan isya’. Maka, berkuburlah ‘mesyuarat-mesyuarat  ahli parlimen’ di surau sejak halaqah Qur’an berjalan di surau itu. 




         Alhamdulillah, terisi jugak hati kami dengan Al-Qur’an. Terasa I’zzah tatkala ustaz membacakan ayat Al-Qur’an bersama terjemahan diikuti penerangan dan contoh yang menusuk kalbu. Itulah cara mendidik anak-anak dengan Al-Qur’an. Bacakan dan terangkan supaya mereka faham dan hayati. Mudah-mudahan amalkan. Nak harap baca Al-Qur’an kat bilik, tak usah cakaplah. Godaan dunia yang sangat hebat- KATIL. Empuk pulak tu. Kalau tak tidur pun, berborak, makan dan macam-macam lah. Begitu suasana yang saya terjemahkan kurang islamik.  Sebenarnya diri sendiri yang tidak mencipta suasana Islamik. Tetapi, saya sangat hargai ukhuwwah yang tercipta di sini.

           Ukhuwwah dengan guru-guru, warden,kawan-kawan dan adik-adik sebilik, kakak kantin, pustakawan, orang makmal, kerani, tukang kebun, technician dan mak cik ‘cleaner’. Semua mereka menjadi pengganti ibu, ayah, abang dan kakak yang jauh di mata. Mereka juga menjadi penyeri kehidupan saya sepanjang saya bersekolah di sini. Baru terasa erti ukhuwwah dan makna berkongsi hidup. Sebelum itu saya belum pernah tinggal di asrama, jadi saya kurang mengerti bila orang cakap ukhuwwah itu akan terasa bila kita tinggal sebumbung. Saya tak faham kenapa saya kena kongsi  barang-barang saya dengan orang lain. Tanpa saya sedari, sifat-sifat mazmumah itu terhapus sedikit demi sedikit. Hari demi hari. Alhamdulillah. Berkat berasrama dengan sahabat- sahabat yang baik, saya belajar nilai-nilai baik yang mereka bawa. Saya kongsikan kehidupan saya bersama mereka yang cukup saya hargai sepanjang saya di situ. Syukur ya RABB. 

      Alhamdulillah berkat doa yang tidak putus-putus untuk menjadi seorang ‘hamlatul Qur’an’ (pembawa amanah menghafaz Al-Qur’an) sejak kecil, akhirnya Allah mentakdirkan permulaan kehidupan saya untuk memegang amanah ini bermula di bumi KIST yang dicintai itu. Seorang bapa kepada sahabat karib saya, Zu’aini telah menelefon pengetua sekolah kami. Beliau meminta pengetua kami menghadiri satu mesyuarat antara JAKIM dan sekolah-sekolah agama Negeri Terengganu untuk mengambil borang kemasukan ke Darul Qur’an JAKIM. Program yang ditawarkan adalah Program Persijilan Tahfiz dengan kerjasama antara JAKIM dan UIAM. Saya sendiri kurang faham tentang program ini pada waktu itu. Saya juga hampir-hampir tidak dapat mengisi borang Darul Qur’an  kerana ianya telah habis. Ia sangat terhad rupanya. Saya agak kurang cakna dengan tarikh keluarnya borang itu sebab saya kurang yakin dengan keputusan peperiksaan percubaan SPM saya. Saya hanya duduk di kelas kedua dan masih ramai lagi pelajar-pelajar hebat yang layak memohon. 

           Mereka yang mendapat anugerah pelajar mithali segala macam itu mesti lah lagi layak. Jadi, dilema itu menyebabkan saya serba salah untuk memohon. Hinggalah suatu hari, Zu’aini (sahabat karib yang masih bersama saya hingga kini) bertanyakan saya tentang keputusan percubaan SPM saya. Saya pun memberitahu dia tanpa segan silu. Walaupun agak segan, tetapi perasaan yang membuak-buak rasanya untuk memohon DQ pada waktu itu, jadi saya luahkan juga. Saya pun meminta dia menanyakan kawan-kawan yang mengambil borang tetapi kurang berminat untuk masuk ke DQ supaya memberi borang itu kepada saya. Selepas meneliti satu per satu keputusan peperiksaan percubaan SPM saya bersamanya di pondok, dia pun naik ke bilik dan meminta borang dari seorang sahabat. Sifatnya yang agak tegas dan sedikit garang itu agak membantu saya dalam proses mendapatkan borang itu. 

        Saya sebenarnya kasihan kepada kawan saya itu, tetapi dia dengan tegas mengatakan bahawa saya lagi layak dan memang Allah takdirkan saya layak memohon. Macam yakin je dapat~~~ Dalam bolak-balik dan gundah gulana itu, saya pun mengisi borang itu dan menghantar kepadanya keesokan harinya. Saya masih tidak yakin dan was-was. Bukan kerana benda itu tidak baik. Tetapi kerana agak risau kerana saya tidak pasti patut atau tidak saya memohon. Pada waktu itu, saya sering berdoa supaya Allah beri yang terbaik untuk saya dan kehidupan saya akan datang.

“Ya Allah, Jika Engkau mentakdirkan aku untuk menghafaz dan memegang Kalam-Mu, Engkau izinkanlah aku untuk diterima masuk ke Darul Qur’an.  Jika aku tidak layak, maka berilah yang terbaik untukku. Aku redha dan pasrah dengan ketentuan-Mu.”


Itu doa saya waktu itu. Kerana sebelum itu, saya pohon kepada Allah untuk menjadi seorang Al-Hafizah (penghafaz Al-Qur’an). Tetapi saya telah ditakdirkan Allah untuk tidak layak masuk ke Maa’had Tahfiz Padang Midin (sekarang Institut Qur’an Terengganu) kerana surat tawaran temuduga lisan tidak sampai ke rumah saya. Surat tersebut sampai ke rumah jiran sebelah kerana namanya sama dengan ayah saya. Agak ‘complicated’ la jugak nak diceritakan di sini. Apa yang pasti, pada hari temuduga tersebut, nama saya diumumkan di sekolah ketika saya sedang sibuk menyusun buku di perpustakaan. Lalu, saya bergegas ke bilik temuduga dengan larian sepantas ‘cheetah’.  Apabila sampai di bilik temuduga tersebut, ustaz penemuduga itu melihat keadaan saya yang termengah-mengah dan beliau meminta dokumen yang sepatutnya dibawa. Saya hanya menjawab saya tidak membawa semuanya. 

           Lalu, dia mengatakan bahawa saya tidak serius dalam permohonan itu kerana tidak membawa dokumen yang penting serta tidak bersedia menghafaz sebelum sesi temuduga. Hati saya tetap tegar untuk meneruskan temuduga itu kerana saya yakin yang saya boleh buat. Malangnya, saya langsung tak dapat fokus untuk menghafaz satu muka Qur’an dalam masa setegah jam yang diberi. Saya tak nampak ayat Qur’an itu sebaliknya terngiang-ngiang suara ustaz yang mengatakan saya tidak serius itu. Juga saya terfikir, kenapa surat itu tidak sampai ke rumah saya? Adakah posmen terlupa atau surat itu terkena air hujan sebab mak saya lupa nak ambil dari peti surat? Saya dah tanya mak setiap hari tentang surat tu, tapi mak cakap tiada surat saya. 

           Segala benda menggangu fikiran saya waktu itu…Hanya tinggal tekad untuk menjadi seorang hafizah dan ustazah, saya redahkan diri untuk ditemuduga juga..Tapi hati saya dah kurang yakin untuk berjaya sebab keadaan saya pada masa itu. Saya HILANG FOKUS. Akhirnya 2 orang kawan saya berjaya mendapat markah hampir seratus dalam temuduga itu. Katanya markah saya hanya 78%. Saya ingat lagi kata-kata dia. Saya pun terus pulang ke rumah dengan perasaan yang penuh kecewa. Remuk redam hati saya pada waktu itu. 



         Hanya Allah yang tahu betapa saya kecewa. Ibu menjadi pendengar setia saya saat itu. Setiap saat dalam hidup saya, saat itu lah mungkin paling sedih saya rasakan. Saya rasa seperti sudah tiada arah lagi. Kerana masuk ke ma’had itu adalah HARAPAN saya. Menghafaz Al-Qur’an adalah IMPIAN saya sejak saya berumur 5 tahun lagi. Saya bersekolah di PASTI waktu itu. Mengambil jurusan syariah di Mesir adalah CITA-CITA saya sejak saya di sekolah rendah. Sekarang di depan mata saya… HARAPAN, IMPIAN dan CITA-CITA saya hancur lebur begitu saja.Saya telah merancang untuk menjadi ustazah suatu hari nanti. Saya ingin berceramah dengan ilmu yang saya ada. Impian kanak-kanak saya telah saya bawa hingga ke peringkat sekolah menengah. Hingga saya mendapat peluang memohon ke ma’had tahfiz selepas PMR. Namun, ia tidak terjadi seperti yang saya rancangkan. Waktu itu, saya cuba memujuk hati dengan ayat Al-Qur’an;

Manusia merancang dan Allah jua merancang. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik. Namun, saat itu saya tetap kecewa.  Jiwa remaja saya menjadi marah.  
~Kenapa Engkau beri aku gagal begini? Aku yakin sangat boleh buat interview tadi betul-betul kalau aku siap sedia…Kenapa,kenapa dan kenapa???~ 


       Pelbagai persoalan menerjah saat itu. Perasaan yang sukar digambarkan.  Hilang segala keceriaan apabila bersama kawan-kawan. Namun, mereka mengerti yang saya sedang dalam fasa kesedihan. Malah, ramai juga sahabat-sahabat yang memberi suntikan semangat saat itu. Sebaik saya pulang ke rumah, anak jiran saya menghantar surat tawaran temuduga itu lengkap dengan setem dan surat itu belum terbuka. Saya terus mengoyak surat itu dan menangis semahunya. Berhari-hari jugaklah sya melalui fasa kesedihan itu. Sedih, kecewa dan punah segala harapan. Itulah perasaan yang terbit dari hati saya saat itu. Masa terus berlalu. Hanya doa yang mampu saya panjatkan sekiranya Allah mentakdirkan saya untuk memegang kalam-Nya, in shaa Allah Dia akan bukakan jalan untuk saya. Begitu tekad hati saya. 

 

        Dan hari ini, saya ingin memohon lagi buat kali kedua. Saya sendiri kurang pasti yang saya boleh mengambil jurusan agama atau tidak apabila mengambil persijilan tahfiz ini. Dengan segala HARAPAN dan DOA yang dikumpul semula, saya bertekad untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan saya layak untuk diterima masuk ke Darul Qur’an. Sejak itu, saya kuatkan azam untuk sentiasa solat dhuha dan qiyamullail. Saya peruntukkan masa yang lama untuk membaca dan mentadabbur ayat Al-Qur’an. 

Semangat saya seperti ditiup-tiup. Alhamdulillah. Saya menghubungi ibu memohon agar ibu mendoakan saya berjaya. Ibu turut membuat sedikit majlis solat hajat di surau kampung saya untuk memohon orang kampung mendoakan kejayaan saya menuntut di Darul Qur’an.


Maka, tibalah hari temuduga kemasukan ke Darul Qur’an……….Teruskan berjuang srikandi Al-hafizah=)



#sambungan dalam entry selepas ini in shaa Allah=)

 sRikandi_mumarridhah
Baitul Raqaiq
Bandar Baru Bangi