Assalamua’laikum warahmatullah
kepada semua pembaca blog dan blogger yang setia. Semoga kita semua dilimpahi
rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa. Alhamdulillah, syukur kerana sehingga
saat ini Allah masih mengurniakan nikmat iman dan Islam di dalam hati kita. Dia
jualah yang melimpahkan kasih sayang di dalam hati dan jiwa setiap insan agar merasai
ketenangan dan kedamaian. Semoga apa jua pun ujian dan dugaan yang kita hadapi
saat ini tidak mematahkan semangat kita untuk terus berjuang dan berjihad
menempuh pancaroba dunia demi beroleh syurga abadi kelak, inshaAllah sama-sama
kita usahakan.
~Tuntutlah ilmu selagi nyawa dikandung badan~
Alhamdulillah thummalhamdulillah…
InshaAllah perkongsian saya pada
kali ini adalah tentang perjalanan hidup saya sebagai insan biasa dan juga sebagai penuntut ilmu selama lebih kurang 10
tahun. Sangat singkat namun di sebalik perjalanan hidup ini tersingkap pelbagai
cerita suka duka, kisah pengajaran yang boleh diambil sebagai pedoman. Setiap
insan punya cerita sendiri dan saya tidak terkecuali. Ini kisah saya. Diri ini
tidak bermaksud untuk berbangga dengan apa yang ada, apa yang telah dicapai dan
sedang digapai. Hanyalah sebagai pengajaran dan pedoman buat sahabat-sahabat
dan juga adik-adik. Tiada apapun yang istimewa dalam kisah saya. Hanyalah
perjalanan seorang insan biasa yang berusaha mencapai yang terbaik dalam setiap
peluang dan nikmat yang DIA berikan. InshaAllah segalanya ditujukan untuk
mencapai redha ALLAH. Ambillah nilai-nilai yang baik dan jadikan pengajaran
dari kisah-kisah kehidupan ini.
Memandangkan semangat saya untuk
berkongsi tentang perjalanan hidup sebagai pelajar, maka wajarlah saya
berkongsi tentang semangat saya untuk belajar sewaktu saya di bangku sekolah
menengah lagi. Kenapa sekolah menengah?
Sebab semasa sekolah rendah, saya kurang semangat untuk belajar, tidak nampak
matlamat hidup dan saya pergi ke sekolah hanya kerana memenuhi kehendak ibu dan
ayah sahaja.Belajar untuk dapat A. Itu sahaja.
Tetapi semangat juang saya
disuntik semasa berada di tingkatan satu di sebuah sekolah agama di Kemaman.
Sebab saya bangga dengan sekolah saya ini, saya nyatakan nama sekolah saya ini
iaitu Sekolah Menengah Agama Al-Falah. Walaupun sekolah saya ini tidaklah
terkenal hebat dengan sebarang rekod, namun saya merasa tarbiyyah saya di sini
memberi kesan besar dalam hidup saya. Saya telah ditakdirkan untuk bertemu
dengan guru-guru yang sangat bagus, kawan-kawan yang bersemangat untuk belajar
dan suasana yang menggalakkan saya belajar. Alhamdulillah, saya bersyukur
kerana ditakdirkan bersekolah di sini di saat saya melalui zaman remaja yang
sangat hebat ujiannya. Ujian yang pasti menjengah ke jiwa setiap remaja.
Alhamdulillah, dengan bia’h (suasana) yang agak terjaga ini, saya mendidik diri
saya untuk sentiasa istiqamah dengan akhlak dan pakaian sebagai seorang
muslimah, inshaAllah.
Saya kurang pasti dengan keadaan sekolah ini
sekarang. Apa yang pasti, pada waktu itu saya agak aktif melibatkan diri dalam
musabaqah peringkat sekolah dan daerah, menyertai kem-kem dan memegang jawatan
di dalam kelas untuk beberapa kali. Kalau nak diimbau kenangan sangatlah
banyak. Di sekolah ini, pergaulan antara pelajar lelaki dan perempuan agak
terjaga kerana kelas kami dipisahkan mengikut blok. Hati saya rasa sangat
tenang dan diri saya terjaga. Walaupun ada sahaja kawan-kawan yang ber’couple’
sering mengaturkan ‘perjumpaan HARAM’ di sebalik tiang, di belakang tangga,
dekat pagar asrama dan sebagainya. Pada saya, mereka adalah golongan yang
sangat RUGI. Mereka menyalahkan undang-undang sekolah sedangkan mereka tidak
sedar yang mereka telah melanggar undang-undang ALLAH. Wallahua’lam.
هو
الذي خلق لكم ما في الأرض جميعاً ثم استوى إلى السماء فسواهن سبع سموات وهو بكل
شيء عليم
(البقرة : 29)
(البقرة : 29)
Maksudnya: “Dialah yang menjadikan segala yang di bumi
untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikannya tujuh langit
dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”. (
Al-Baqarah 2 : 29 )
Apa yang terkesan di hati saya
sehingga kini adalah sewaktu berada di kelas pertama semasa tingkatan 3. Guru
kelas saya pada waktu itu adalah seorang ustazah yang sangat lemah lembut dan
sopan. Saya masih ingat nama beliau sehingga kini. Beliau juga mengajar saya
matapelajaran pendidkan Islam. Saya sangat meminati cara pengajaran dan cara
beliau menasihati pelajar-pelajarnya. Saya masih ingat satu nasihat beliau yang
dituju tepat kepada saya semasa di dalam kelas. Saya ada menampal satu doa sebelum
dan selepas belajar pada meja saya dan saya hanya kongsikan dengan sahabat
karib yang duduk di sebelah meja saya, Hafizah. Saya tak pula kongsikan dengan
kawan-kawan sekelas yang lain.
“ Ashikin, kalau kita nak jadi
baik, biar kita ajak ramai-ramai orang untuk jadi baik. Manalah tahu, antara
ramai-ramai tu, ada yang betul-betul ikhlas nak jadi baik dan kita dapat pahala
sebab tolong dia untuk jadi baik. Macam tu jugak kalau kita ada ilmu, kongsikan
ilmu tu dengan semua orang supaya ramai orang yang dapat belajar ilmu itu dan
amalkannya. InshaAllah, pada kita takkan berkurang sedikit pun. Lagi bertambah
ilmu dan pahala kita. Kalau kita nak berjaya, kita kongsi ilmu sama-sama dengan
kawan-kawan. Baru bermakna kejayaan kita itu. Kita pun nak sama-sama masuk
syurga kan? ”
Terkedu jugaklah mendengar
nasihat itu. Sambil mengangguk, saya tersenyum membalas senyuman ustazah. Oleh
kerena nasihat itu sangat berhikmah, penuh kelembutan ditambah “perencah” senyuman manis ustazah, saya berasa sangat
dihargai sebagai seorang “anak” di hatinya. Selepas ustazah keluar, terus saya
sebarkan doa itu kepada semua kawan-kawan sekelas. Dengan penuh harapan, semoga
saya dan kawan-kawan sekelas akan berjaya dengan cemerlang di dalam peperiksaan
PMR pada tahun itu. Selain itu, berkat usaha belajar dan membaca Ya’sin setiap
malam pada tahun itu, kami tenang menghadapi peperiksaan. Alhamdulillah, kami
semua mencapai kejayaan cemerlang di dalam PMR. Pada saya, saya tidak merasakan
kejayaan kami itu hanya kerana usaha kami semata-mata. Tetapi kejayaan itu berkat
doa guru yang disantuni. Sebagai pelajar yang inginkan keberkatan dalam
belajar, membantu guru adalah kerja paling mulia. Semasa di tingkatan 3, saya
terfikir tentang teori ini…”BANTU GURU, IN SHAA ALLAH BERJAYA.”
Bukan saya katakan yang belajar itu tak penting. Belajar tetap penting. Tetapi, apabila kita ada sifat suka membantu guru ini, secara automatik hubungan kita dengan guru tersebut akan menjadi lebih rapat. Guru akan mendoakan kita sebaik kita membantu dia dan terbitlah nasihat-nasihat istimewa dari hati seorang guru. Dari situ, kasih sayang kita terhadap guru tersebut pasti memuncak dan semangat belajar kita pun kian bertambah. Ini secara praktikal yang telah saya dan sahabat saya amalkan. Alhamdulillah, kini kami berjaya menjadi seorang insan. Insan yang pernah terkesan dengan ajaran dan akhlak guru ini bakal mencorakkan masa depan ummat kelak, inshaAllah. Walaupun saat ini saya baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Kejururawatan di UIA Kuantan dan sahabat saya juga baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Bahasa Arab di UNISZA, inshaAllah kami bakal berkhidmat untuk memberi “sinar” kepada masyarakat yang memerlukan.
Bukan saya katakan yang belajar itu tak penting. Belajar tetap penting. Tetapi, apabila kita ada sifat suka membantu guru ini, secara automatik hubungan kita dengan guru tersebut akan menjadi lebih rapat. Guru akan mendoakan kita sebaik kita membantu dia dan terbitlah nasihat-nasihat istimewa dari hati seorang guru. Dari situ, kasih sayang kita terhadap guru tersebut pasti memuncak dan semangat belajar kita pun kian bertambah. Ini secara praktikal yang telah saya dan sahabat saya amalkan. Alhamdulillah, kini kami berjaya menjadi seorang insan. Insan yang pernah terkesan dengan ajaran dan akhlak guru ini bakal mencorakkan masa depan ummat kelak, inshaAllah. Walaupun saat ini saya baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Kejururawatan di UIA Kuantan dan sahabat saya juga baru sahaja menamatkan pengajian Ijazah Bahasa Arab di UNISZA, inshaAllah kami bakal berkhidmat untuk memberi “sinar” kepada masyarakat yang memerlukan.
Selepas PMR, saya menerima
tawaran di Kolej Islam Sains Terengganu (KIST) yang kini dikenali sebagai
Sekolah Menengah IMTIAZ Kuala Berang. Saat itu, saya terpisah dengan sahabat
terbaik dalam hidup saya, namun tautan hati kami tetap utuh. Hingga kini, in shaa
Allah selamanya dan sampai syurga. Itu doa kami.
Semasa di KIST, saya dapat
rasakan yang saya sedikit “hilang pedoman” dalam belajar. Semangat belajar
biasa-biasa saja. Saya ceritakan apa yang pernah saya lalui ini kerana ini
kisah saya. Kisah insan biasa yang pernah alpa, pernah lalai, pernah
bersemangat, pernah tersilap, pernah berjaya, pernah jatuh dan bangun semula.
Begitulah kisah seorang insan biasa.
Mungkin juga kejutan budaya yang
agak tidak baik seperti kelas bercampur antara lelaki dan perempuan, disiplin
pemakaian yang kurang ketat dan kurang nilai-nilai agama yang diterapkan kepada
pelajar menyebabkan suasana islamik kurang terbina di sekolah itu pada waktu
itu. Namun, sekarang ini, sejak dikenali sebagai Sekolah Menengah IMTIAZ,
keadaan di sekolah ini sudah menjadi baik, malah berubah 360 darjah dari
keadaan dulu. Tetapi, setakat yang saya tahu, belum pernah ada lagi masalah
sosial yang teruk di dalam sekolah. Alhamdulillah, keadaannya terjaga cuma
kurang ketat kalau nak dibandingkan dengan sekolah agama lain. Namun,
disebabkan terikat dengan peraturan asrama (kerana ia sekolah berasarama
penuh), kami diwajibkan solat berjemaah di surau dan mengaji selepas solat.
Mahu atau tidak, silalah lakukan walaupun hati tak ikhlas.
Semasa di tingkatan
4 dan awal tingkatan 5, saya pernah jugak menjadi “ahli persidangan” setiap
kali ahli-ahli parlimen tak bertauliah
bersidang di sudut belakang surau. Seronok lah bila masing-masing membuka
cerita, ditambah dengan gelak tawa. Tetapi, disebabkan teguran seorang ustaz
yang agak menikam kalbu kami, maka sejak itu, tiada lagi “persidangan” surau
itu. Saya kurang ingat intipati nasihat ustaz itu, Cuma ingat ekspresi muka
ustaz itu sampai sekarang. Hebat ustaz tu sebab buat saya teringat muka dia sampai sekarang~~~ Tetapi
yang pasti beliau menyatakan yang perbuatan itu kurang sopan sebab kami berada
di surau, sama mulia seperti rumah Allah. Sepatutnya tiada urusan dunia yang
patut dibincangkan di situ. Ustaz itu baru bertugas di sekolah itu, jadi beliau
melaksanakan halaqah Qur’an yang diwajibkan ke atas semua pelajar. Waktunya
adalah antara maghrib dan isya’. Maka, berkuburlah ‘mesyuarat-mesyuarat ahli parlimen’ di surau sejak halaqah Qur’an
berjalan di surau itu.
Alhamdulillah, terisi jugak hati kami dengan Al-Qur’an. Terasa I’zzah tatkala ustaz membacakan ayat Al-Qur’an bersama terjemahan diikuti penerangan dan contoh yang menusuk kalbu. Itulah cara mendidik anak-anak dengan Al-Qur’an. Bacakan dan terangkan supaya mereka faham dan hayati. Mudah-mudahan amalkan. Nak harap baca Al-Qur’an kat bilik, tak usah cakaplah. Godaan dunia yang sangat hebat- KATIL. Empuk pulak tu. Kalau tak tidur pun, berborak, makan dan macam-macam lah. Begitu suasana yang saya terjemahkan kurang islamik. Sebenarnya diri sendiri yang tidak mencipta suasana Islamik. Tetapi, saya sangat hargai ukhuwwah yang tercipta di sini.
Ukhuwwah dengan guru-guru,
warden,kawan-kawan dan adik-adik sebilik, kakak kantin, pustakawan, orang
makmal, kerani, tukang kebun, technician dan mak cik ‘cleaner’. Semua mereka
menjadi pengganti ibu, ayah, abang dan kakak yang jauh di mata. Mereka juga
menjadi penyeri kehidupan saya sepanjang saya bersekolah di sini. Baru terasa
erti ukhuwwah dan makna berkongsi hidup. Sebelum itu saya belum pernah tinggal
di asrama, jadi saya kurang mengerti bila orang cakap ukhuwwah itu akan terasa
bila kita tinggal sebumbung. Saya tak faham kenapa saya kena kongsi barang-barang saya dengan orang lain. Tanpa
saya sedari, sifat-sifat mazmumah itu terhapus sedikit demi sedikit. Hari demi
hari. Alhamdulillah. Berkat berasrama dengan sahabat- sahabat yang baik, saya
belajar nilai-nilai baik yang mereka bawa. Saya kongsikan kehidupan saya
bersama mereka yang cukup saya hargai sepanjang saya di situ. Syukur ya RABB.

Mereka yang mendapat anugerah pelajar mithali segala macam itu
mesti lah lagi layak. Jadi, dilema itu menyebabkan saya serba salah untuk
memohon. Hinggalah suatu hari, Zu’aini (sahabat karib yang masih bersama saya
hingga kini) bertanyakan saya tentang keputusan percubaan SPM saya. Saya pun
memberitahu dia tanpa segan silu. Walaupun agak segan, tetapi perasaan yang
membuak-buak rasanya untuk memohon DQ pada waktu itu, jadi saya luahkan juga. Saya
pun meminta dia menanyakan kawan-kawan yang mengambil borang tetapi kurang
berminat untuk masuk ke DQ supaya memberi borang itu kepada saya. Selepas
meneliti satu per satu keputusan peperiksaan percubaan SPM saya bersamanya di
pondok, dia pun naik ke bilik dan meminta borang dari seorang sahabat. Sifatnya
yang agak tegas dan sedikit garang itu agak membantu saya dalam proses
mendapatkan borang itu.
Saya sebenarnya kasihan kepada kawan saya itu, tetapi
dia dengan tegas mengatakan bahawa saya lagi layak dan memang Allah takdirkan
saya layak memohon. Macam yakin je dapat~~~ Dalam bolak-balik dan gundah gulana
itu, saya pun mengisi borang itu dan menghantar kepadanya keesokan harinya.
Saya masih tidak yakin dan was-was. Bukan kerana benda itu tidak baik. Tetapi
kerana agak risau kerana saya tidak pasti patut atau tidak saya memohon. Pada
waktu itu, saya sering berdoa supaya Allah beri yang terbaik untuk saya dan
kehidupan saya akan datang.
“Ya Allah, Jika Engkau
mentakdirkan aku untuk menghafaz dan memegang Kalam-Mu, Engkau izinkanlah aku
untuk diterima masuk ke Darul Qur’an.
Jika aku tidak layak, maka berilah yang terbaik untukku. Aku redha dan
pasrah dengan ketentuan-Mu.”
Itu doa saya waktu itu. Kerana
sebelum itu, saya pohon kepada Allah untuk menjadi seorang Al-Hafizah
(penghafaz Al-Qur’an). Tetapi saya telah ditakdirkan Allah untuk tidak layak
masuk ke Maa’had Tahfiz Padang Midin (sekarang Institut Qur’an Terengganu) kerana
surat tawaran temuduga lisan tidak sampai ke rumah saya. Surat tersebut sampai
ke rumah jiran sebelah kerana namanya sama dengan ayah saya. Agak ‘complicated’
la jugak nak diceritakan di sini. Apa yang pasti, pada hari temuduga tersebut,
nama saya diumumkan di sekolah ketika saya sedang sibuk menyusun buku di
perpustakaan. Lalu, saya bergegas ke bilik temuduga dengan larian sepantas
‘cheetah’. Apabila sampai di bilik
temuduga tersebut, ustaz penemuduga itu melihat keadaan saya yang
termengah-mengah dan beliau meminta dokumen yang sepatutnya dibawa. Saya hanya
menjawab saya tidak membawa semuanya.
Lalu, dia mengatakan bahawa saya tidak
serius dalam permohonan itu kerana tidak membawa dokumen yang penting serta
tidak bersedia menghafaz sebelum sesi temuduga. Hati saya tetap tegar untuk
meneruskan temuduga itu kerana saya yakin yang saya boleh buat. Malangnya, saya
langsung tak dapat fokus untuk menghafaz satu muka Qur’an dalam masa setegah
jam yang diberi. Saya tak nampak ayat Qur’an itu sebaliknya terngiang-ngiang
suara ustaz yang mengatakan saya tidak serius itu. Juga saya terfikir, kenapa
surat itu tidak sampai ke rumah saya? Adakah posmen terlupa atau surat itu
terkena air hujan sebab mak saya lupa nak ambil dari peti surat? Saya dah tanya
mak setiap hari tentang surat tu, tapi mak cakap tiada surat saya.
Segala benda
menggangu fikiran saya waktu itu…Hanya tinggal tekad untuk menjadi seorang
hafizah dan ustazah, saya redahkan diri untuk ditemuduga juga..Tapi hati saya
dah kurang yakin untuk berjaya sebab keadaan saya pada masa itu. Saya HILANG
FOKUS. Akhirnya 2 orang kawan saya berjaya mendapat markah hampir seratus dalam
temuduga itu. Katanya markah saya hanya 78%. Saya ingat lagi kata-kata dia.
Saya pun terus pulang ke rumah dengan perasaan yang penuh kecewa. Remuk redam
hati saya pada waktu itu.
Hanya Allah yang tahu betapa saya
kecewa. Ibu menjadi pendengar setia saya saat itu. Setiap saat dalam hidup
saya, saat itu lah mungkin paling sedih saya rasakan. Saya rasa seperti sudah
tiada arah lagi. Kerana masuk ke ma’had itu adalah HARAPAN saya. Menghafaz Al-Qur’an
adalah IMPIAN saya sejak saya berumur 5 tahun lagi. Saya bersekolah di PASTI
waktu itu. Mengambil jurusan syariah di Mesir adalah CITA-CITA saya sejak saya
di sekolah rendah. Sekarang di depan mata saya… HARAPAN, IMPIAN dan CITA-CITA
saya hancur lebur begitu saja.Saya telah merancang untuk menjadi ustazah suatu
hari nanti. Saya ingin berceramah dengan ilmu yang saya ada. Impian kanak-kanak
saya telah saya bawa hingga ke peringkat sekolah menengah. Hingga saya mendapat
peluang memohon ke ma’had tahfiz selepas PMR. Namun, ia tidak terjadi seperti
yang saya rancangkan. Waktu itu, saya cuba memujuk hati dengan ayat Al-Qur’an;
Manusia merancang dan Allah jua
merancang. Sesungguhnya perancangan Allah adalah yang terbaik. Namun, saat itu
saya tetap kecewa. Jiwa remaja saya
menjadi marah.
~Kenapa Engkau beri aku gagal begini? Aku yakin sangat boleh buat
interview tadi betul-betul kalau aku siap sedia…Kenapa,kenapa dan
kenapa???~
Pelbagai persoalan menerjah saat
itu. Perasaan yang sukar digambarkan. Hilang
segala keceriaan apabila bersama kawan-kawan. Namun, mereka mengerti yang saya
sedang dalam fasa kesedihan. Malah, ramai juga sahabat-sahabat yang memberi
suntikan semangat saat itu. Sebaik saya pulang ke rumah, anak jiran saya
menghantar surat tawaran temuduga itu lengkap dengan setem dan surat itu belum
terbuka. Saya terus mengoyak surat itu dan menangis semahunya. Berhari-hari
jugaklah sya melalui fasa kesedihan itu. Sedih, kecewa dan punah segala
harapan. Itulah perasaan yang terbit dari hati saya saat itu. Masa terus
berlalu. Hanya doa yang mampu saya panjatkan sekiranya Allah mentakdirkan saya
untuk memegang kalam-Nya, in shaa Allah Dia akan bukakan jalan untuk saya. Begitu
tekad hati saya.

Dan hari ini, saya ingin memohon
lagi buat kali kedua. Saya sendiri kurang pasti yang saya boleh mengambil
jurusan agama atau tidak apabila mengambil persijilan tahfiz ini. Dengan segala
HARAPAN dan DOA yang dikumpul semula, saya bertekad untuk melakukan yang
terbaik bagi memastikan saya layak untuk diterima masuk ke Darul Qur’an. Sejak
itu, saya kuatkan azam untuk sentiasa solat dhuha dan qiyamullail. Saya
peruntukkan masa yang lama untuk membaca dan mentadabbur ayat Al-Qur’an.
Semangat saya seperti ditiup-tiup. Alhamdulillah. Saya menghubungi ibu memohon
agar ibu mendoakan saya berjaya. Ibu turut membuat sedikit majlis solat hajat
di surau kampung saya untuk memohon orang kampung mendoakan kejayaan saya
menuntut di Darul Qur’an.
Maka, tibalah hari temuduga
kemasukan ke Darul Qur’an……….Teruskan berjuang srikandi Al-hafizah=)
#sambungan dalam entry selepas ini in shaa Allah=)
sRikandi_mumarridhah
Baitul Raqaiq
Bandar Baru Bangi
sRikandi_mumarridhah
Baitul Raqaiq
Bandar Baru Bangi